Wednesday, August 20, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 9

 

 "Bi nak keluar sekejap pergi kedai dekat seberang jalan tu sementara dia orang nak siapkan set tu. Sayang nak pesan apa-apa tak?"

"Err... belikan ajelah apa-apa. Ary tak kisah."

Adriana tersenyum nipis sambil menjawab dalam nada teragak-agak akan soalan Erdyzuan itu. Selepas melihat langkah suaminya yang telah mula menghilang ke kedai di seberang jalan sana, Adriana mengeluh berat. Sesungguhnya dia masih tidak biasa lagi dengan apa yang berlaku kini. Hari ini adalah 11 Januari 2002 yang bersamaan dengan hari Jumaat. Beberapa jam yang lalu, bersaksikan dua orang teman Erdyzuan dan bermas kahwinkan RM 1101.02 sen dan satu set barang kemas Habib Jewel, dia Adriana binti Ahmadi Edward telah pun selamat menjadi isteri kepada Erdyzuan bin Eusoff. Pernikahan mereka telah dijalankan pagi tadi di pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan hanya diiringi oleh emak Erdyzuan sahaja sebagai ahli keluarga mereka. Walaupun baju kebaya pernikahannya ditempahkan khas oleh Erdyzuan daripada butik seorang pereka fesyen yang sedang menempa nama dan kebetulan merupakan kenalan suaminya itu, dia tetap merasakan majlisnya itu hambar sahaja.

Majlisnya tadi sememangnya cukup ringkas. Mereka diakad nikahkan di dalam pejabat kadi dan kemudian bergambar seketika di pelamin ringkas yang disediakan di luar pejabat kadi tersebut buat seketika. Langsung tiada hantaran berdulang-dulang seperti mana majlis perkahwinan yang biasa dihadirinya, juga tiada ahli keluarga mahupun teman untuk menemaninya. Bab tiada ahli keluarga mahupun teman sebagai peneman itu dia masih boleh menerimanya kerana sedar dirinya ini hanyalah anak yatim piatu dan teman-temannya pula kena berkerja memandangkan dia bernikah pada hari Jumaat iaitu hari orang berkerja. Tetapi bila disuarakan sedikit rasa ralat tentang bab hantaran, kata suaminya tadi; semua itu tidak perlu kerana kalau hendak diikutkan hantaran itu hanyalah adat sahaja dan bukannya budaya kedua-dua mereka pun. Katanya, Adriana sendiri bukannya melayu pun memandangkan ibunya adalah daripada kaum bumiputera Sabah dan bapanya berbangsa asing berdasarkan namanya Ahmadi Edward. Tambah suaminya lagi, dia sendiri pun bukannya berdarah Melayu penuh sampai perlu menyediakan segala bagai hantaran untuk majlis mereka ini. Hanya bapanya sahaja yang Melayu, itupun sudah tidak lagi tinggal bersama mereka.

Mengenangkan hal itu, Adriana mengeluh berat. Dia sedar akan semua hakikat itu, tetapi selama ini dia sememangnya telah dididik dengan budaya Melayu oleh umi di rumah anak yatim dahulu, malah dia juga sudah terbiasa bergaul dalam kelompok orang Melayu sejak kecil lagi, maka secara tidak langsung tentu sahajalah dia sudah merasakan dirinya ini seperti orang Melayu juga. Budaya melayu sudah sebati dalam dirinya ini. Lalu apabila dia berkahwin, tentu sahajalah dia mengharapkan majlisnya ini meriah seperti mana perkahwinan kaum Melayu yang lain. Sudahlah majlis pernikahannya tadi tersangat-sangat ringkas, majlis resepsi perkahwinannya yang telah dirancangkan untuk diadakan malam ini pun juga ringkas sahaja. Sekadar majlis makan malam di Restoran Nelayan Titiwangsa dan tetamunya dihadkan untuk 100 orang tetamu sahaja.

Ada tak ada yang istimewa untuk hari perkahwinannya ini pun hanyalah sesi bergambar di studio ini sebentar lagi. Sesi bergambar dengan lapan persalinan bersama seorang jurugambar wanita dan siap dengan proses merias wajahnya oleh jurusolek wanita juga. Disebabkan tidak dapat hendak meminta hantaran macam orang lain, dia telah meminta sesi fotografi perkahwinan mereka ini dikendalikan oleh jurugambar wanita. Ialah, kalau jurugambar wanita, barulah Adriana rasa selesa nak buat segala gaya semasa bergambar dan melaram terutamanya apabila menyarungkan gaun pengantin gaya Victorian yang sememangnya seksi itu. Itupun puas juga dia bertelagah pendapat dengan Erdyzuan untuk mendapatkan khidmat jurugambar wanita apabila suaminya itu beria-ia hendak guna khidmat fotografi temannya yang semestinya adalah seorang lelaki.

Apabila memikirkan tentang majlis resepsi malam ini, baru Adriana teringat yang dia sebenarnya perlu menelefon Kerol, teman baiknya itu untuk memastikan temannya itu akan datang malam nanti. Lalu pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya daripada beg tangan dia dan mendail nombor telefon Kerol. Dalam penuh debaran, dia menunggu panggilannya itu bersambut. Dia amat berharap sangat Kerol akan menjawab panggilannya kali ini. Dia juga amat berharap sangat Kerol tidak lagi marah-marah padanya. Beberapa minggu lepas, ketika dia memberitahu Kerol yang dia telah mengambil keputusan untuk berberkahwin dengan Erdyzuan dan berniat untuk menjemput temannya itu ke majlisnya, terus sahaja Kerol marah-marahkannya dirinya ini sehinggalah ke hari ini.

Kata Kerol, dia langsung tidak percaya Adriana yang dikenalinya selama ini boleh membuat keputusan yang paling bodoh sekali iaitu menerima lamaran daripada jejaka yang hanya dikenalinya tidak sampai tiga bulan. Walaupun dia mengatakan dia yakin dengan keputusan hatinya ini, Kerol tetap menidakkan segala kata-katanya itu.

"Macam mana kau tahu dia tu sememangnya untuk kau?"

"Kerol, aku tahu dan aku yakin sebab aku dah buat sembahyang istikharah."

"Sembahyang Istikharah? Habis tu, bila kau mimpikan dia datang pada kau sambil tersenyum dan hulurkan tangannya, lalu kau pun anggap dia tu sememangnya jodoh kau? Kau tak fikir yang mungkin semua tu hanya mainan mimpi kau sebab kau tengah angau sangat dengan dia tu?"

"Aku tak ada pun mimpi benda-benda macam tu. Lagipun petunjuk yang Allah bagi bila kita beristikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi sahaja. Itu semua tipikal darama di televisyen atau dalam novel sahaja. Jawapan pada istikharah boleh datang dalam mcam-macam cara. Macam aku ni, dulu aku selalu rasa resah bila fikirkan tentang lamaran Zuan tu. Tetapi bila aku mula beristikharah, aku mula yakin akan lamaran dia. Aku tidak lagi rasa resah seperti sebelum-sebelumnya."   

Pada Adriana, dia tahu yang Kerol marahkannya kerana temannya itu sebenarnya sayangkan dirinya ini. Kerol tidak mahu dia terluka kalau-kalau pilihannya ini sebenarnya adalah pilihan yang salah. Selama mereka berkenalan, Kerol memang sentiasa bertindak protektif pada dirinya. Dia dan Kerol sememangnya sudah lama berkenalan. Sejak mereka dia Institut Teknologi Mara (ITM) lagi. Walaupun dia sebenarnya tua lebih dua tahun daripada Kerol, semua itu tidak pernah membataskan pergaulan mereka. Dia masih ingat lagi, Kerollah yang mula-mula menegur dirinya ini semasa di ITM dahulu. Pertama kali dia terserempak dengan Kerol di ITM ialah ketika dia berada di loker Perpustakaan Tun Abdul Razak 1. Pada masa itu dia tengah kelam-kabut mengambil barang-barangnya kerana telah terlambat ke kelas dan tanpa disedari dia telah pun terlanggar Kerol yang sedang meletakkan barangnya di loker itu juga lalu tercicirkan kad pengenalan pelajarnya di atas lantai. Tanpa disangka dua hari selepas itu, Kerol telah datang mencarinya dia di kolej Delima untuk memulangkan semula kad pelajarnya itu. Lalu daripada situlah hubungan mereka terus menjadi semakin rapat.

Sesungguhnya kerana kebaikan hati dan keramahan Kerol yang merupakan pelajar diploma jurusan Senibina ketika itu serta minat mereka yang sama terus mengikat hati Adriana ini untuk terus bersahabat dengannya. Kemudiannya daripada sebagai sekadar kenalan di dalam ITM sahaja, dia mula mengenali keluarga Kerol yang tidak besar mana itu iaitu bapanya uncle Kamarul dan Mak Wah, pembantu rumahnya. Persahabatan mereka itu terus berlanjutan sehingga kini walaupun masing-masing sudah pun habis belajar dan berkerja di bidang yang berlainan. Sekali-sekala iaitu sebelum Adriana mengenali Erdyzuan, mereka pasti akan habiskan masa santai mereka bersama apabila Adriana dapat bercuti di hujung minggu. Malah kalau Adriana bercuti di hari biasa pun Kerol pasti akan cuba larikan dirinya daripada pejabatnya sekadar untuk keluar dan menghabiskan masa buat seketika bersama Adriana. Lagipun bos Kerol iaitu bapanya sendiri, uncle Kamarul sememangnya tidak akan marah kalau dia tahu Kerol keluar dengan Adriana. Acara wajib mereka berdua ialah sama ada melepak di kedai buku lama-lama ataupun pergi bermain bowling.

Tetapi sejak beberapa minggu lepas, hubungan persahabatan mereka yang selama ini rapat macam isi dengan kuku mula renggang apabila Adriana mengatakan pada Kerol yang dia telah mengambil keputusan hendak berkahwin dengan Erdyzuan. Sejak itu Kerol mula menyepikan dirinya daripada Adriana.

Setelah agak lama menunggu panggilannya itu langsung tidak berjawab, terus sahaja panggilannya itu disambung ke peti simpanan suara telefon Kerol. Adriana tidak pasti sama ada sememangnya Kerol sedang terlalu sibuk ketika ini sehingga tidak dapat hendak menjawab atau sememangnya temannya itu sebenarnya sengaja tidak mahu menjawab panggilannya ini. Lalu antara mahu atau tidak mahu, Adriana meninggalkan pesanan suaranya seperti mana sejak beberapa hari yang lalu.     

"Kerol, Ary tahu Kerol mungkin masih marah dengan Ary lagi fasal Ary kata nak kahwin dengan Zuan. Ary dah pun selamat jadi isteri dia pagi tadi. Kerol, tolonglah faham perasaan Ary sekali ini. Ary harap sangat-sangat Kerol akan datang ke majlis resepsi Ary malam ini . Ary juga nak tahu walaupun Ary dah kahwin dengan Zuan, Ary tetap teman Kerol seperti dahulu. Ary masih lagi sayangkan Kerol macam dulu-dulu juga."

Ada nada sayu pada pesanan suara yang ditinggalkannya buat Kerol itu. Sememangnya hatinya ini cukup sayu dengan apa yang terjadi. Dia sayangkan Kerol sebagai sahabatnya. Dia juga semakin sayangkan Erdyzuan yang telah pun menjadi suaminya kini. Dia tidak pernah sekalipun berniat untuk meminggirkan persahabatannya dengan Kerol bila dia telah memilih Erdyzuan untuk mendiami hatinya ini. Tika itu juga, dipanjatkan doa di dalam hatinya ini. Doa yang sama bila dia beristikharah meminta petunjuk daripada Allah akan lamaran Erdyzuan dahulu.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini, baik bagi agama dan kehidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, dan berkatilah ia kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini buruk bagiku, buruk bagi agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka jauhkanlah aku daripadanya, dan berikanlah bagiku kebaikan di mana pun juga adanya, kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan pemberian itu. - (Riwayat Bukhari).

Elok sahaja dia habis berdoa dalam hati, Adriana merasakan ada tepukan lembut di bahunya. Lantas dipalingkan sedikit kepalanya ke belakang untuk melihat siapa yang menepuk bahunya itu. Di belakangnya Erdyzuan sedang berdiri dengan sebelah tangan masih berada di bahunya, sebelah lagi pula sedang memegang satu tin minuman.

"Eh, cepatnya Bi balik. Bila masanya Bi masuk semula? Ary tak perasan langsung tadi."

"Baru sahaja. Kedai tu pun dekat seberang sana sahaja. Ary telefon siapa tadi?"

"Err... Ary telefon kaw - kawan Ary. Nak tanya dia, jadi ke tidak untuk datang ke majlis resepsi kita malam ni."

"Kawan? Siapa? Bi kenal ke kawan sayang tu?"

"Err... Bi tak kenal rasanya. Kawan baik Ary dekat universiti dulu. Nama dia Ker.. err... Lina. Ha... nama dia Lina."

"Oh, Lina..."

Erdyzuan hanya mengangguk walaupun hatinya terdetik juga sedikit rasa curiga akan kenyataan isterinya itu. Lina? Bukan nama Kerol ke yang dia dengar Adriana sebut-sebutkan tadi? Entah mengapa, tiba-tiba terasa ada rasa cemburu yang mencuit hati lelakinya ini apabila memikirkan kemungkinan yang sebenarnya.

 


p/s: Lagi 2 episod yang dijanjikan maybe iejay post dalam sehari dua ni ya... dah siap tapi masih tak sempat nak semak ejaannya...

Any comment for my new blog? Please don't hesitate to do so okey...



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia