Monday, August 25, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 10

 

"Bi, kita nak pergi mana sebenarnya ni?"

Adriana sudah tidak dapat menahan hatinya lagi daripada terus tidak bertanya setelah terasa agak lama perjalanan yang mereka lalui sejak tadi. Sudahlah dia rasa tidak selesa kerana matanya ketika ini ditutup dengan tali leher Erdyzuan, ke mana arah tujuan mereka di kala waktu sudah melangkau tengah malam begini pun langsung tidak diketahuinya. Habis sahaja majlis resepsi perkahwinan mereka berdua tadi yang diadakan di Restoran Nelayan Titiwangsa sekitar jam 11.30 malam tadi, suaminya Erdyzuan terus mengajak dia pulang ke rumah dan menyuruh dia menyalin pakaian yang santai kerana katanya dia hendak membawa Adriana ke suatu tempat yang istimewa sebagai bulan madu ekspres untuk menggantikan bulan madu versi penuh mereka.

Ya bulan madu ekspres kerana sesungguhnya bulan madu edisi penuh mereka terpaksa ditangguhkan dahulu memandangkan hari Isnin ini Erdyzuan mempunyai tugas di pelantar minyak selama seminggu. Lalu kerana itulah mereka hanya mempunyai dua hari sahaja iaitu Sabtu dan Ahad untuk mengisi masa pengantin baru mereka dengan berdua-duaan. Untuk itu, kata Erdyzuan malam ini dia hendak membawa Adriana ke sebuah tempat yang istimewa sebagai mengisi masa bulan madu ekspres mereka tetapi dengan syarat mata Adriana haruslah ditutup dahulu dan dia tidak boleh bertanya ke mana arah tujuan mereka.        

"Sekejaplah sayang. Sekejap sahaja lagi kita akan sampai. Lagipun sekarang ini baru sahaja lima minit kita bergerak daripada rumah tau. Tadi kan dah janji yang sayang tak boleh bertanya selagi tak sampai?"

Mendengarkan jawapan Erdyzuan itu, Adriana terus mendiamkan dirinya. Tetapi mulutnya sedikit muncung tanda protes sebab tidak puas hati. Erdyzuan hanya tergelak kecil  sahaja apabila lirikan matanya sempat menangkap muncung Adriana dalam kelam malam itu. Namun tidak dilayannya sangat kerana dia perlu menumpukan perhatiannya pada pemanduan dia ketika ini. Adriana pula semakin tinggi muncungnya mendengarkan tawa Erdyzuan di kala matanya ini sedang tertutup begini. Kalaulah matanya kini tidak ditutup, mahunya dia mencubit-cubit paha Erdyzuan kerana rasa geramnya. Apatah lagi di saat mereka kini sudah halal untuk bersentuhan.

Isy, belum sampai 24 jam dia menjadi isteri Erdyzuan, rasanya sudah berbakul-bakul kegeraman yang terkumpul di hatinya akan suaminya ini. Geram kerana majlis nikah mereka siang tadi yang tiada berhantaran macam orang lain, geram kerana matanya kini dipaksa tutup untuk kejutan entah apa suaminya ini dan juga geram kerana majlis resepsi mereka tadi sudah jadi macam majlis untuk meraikan si Girl alias Ermilza, adik iparnya itu pula.

Mengingatkan tentang majlis mereka tadi, sememangnya membuatkan dia sakit hati sahaja rasanya. Adriana sememangnya faham mengapa dia hanya dapat menjemput beberapa orang kenalannya sahaja ke majlisnya tadi kerana tempat yang kecil seperti di Restoran Nelayan Titiwangsa itu tidak memungkinkan dia menjemput seluruh rakan sekerjanya di Parkson KLCC itu, mahupun bekas rakan kuliahnya di ITM dahulu dan juga semua jiran tetangga yang selorong dengannya semasa di rumah sewaan nya seperti mana kenduri-kendara kahwin orang lain. Sesungguhnya dia juga tidaklah terkilan sangat bila mana semasa majlisnya tadi, tetamu yang datang daripada jemputannya hanyalah dua tiga orang rakan sekerja yang rapat dengannya dan teman-teman serumahnya sahaja. Tetapi yang dia tidak faham adalah mengapa bilangan teman-teman Ermilza yang datang ke majlis resepsinya dan Erdyzuan tadi boleh melebihi daripada bilangan jemputannya sendiri? Kalaulah dibuat nisbah bilangan tetamu majlis tadi mengikut tetamu Erdyzuan, Adriana dan Ermilza pasti keputusannya adalah 50 : 15 : 35. Rasa macam hendak aje ditanyakan pada Ermilza tadi yang majlis resepsi ini sebenarnya untuk meraikan siapa? Nak raikan perkahwinan dia dan Erdyzuan ke nak raikan Ermilza?

Sedangkan ketika dia meminta dilebihkan sedikit kad jemputan daripada Erdyzuan sekitar dua minggu sebelum majlis mereka dahulu, dia diberitahu senarai jemputan mereka sudah pun cukup kuota nya. Sudahlah begitu, sepanjang majlis tadi boleh pula si Ermilza itu yang terlebih-lebih 'enter frame' bila masuk bab beramah mesra dengan para tetamu sedangkan majlis itu adalah majlis resepsi perkahwinan dia dan Erdyzuan. Erdyzuan pula langsung tidak ambil peduli akan sikap lebih sudu daripada kuah adiknya itu sementelah dia sibuk benar berbual-bual dengan teman-temannya. Akhirnya, Adriana hanya menjeruk rasa dan makan hati berulam jantung sahaja kerana dia langsung tidak terasa majlis tadi adalah majlis untuk meraikan perkahwinan dia.

"Kita dah sampai!"

Imbauan peristiwa yang berlaku semasa majlis resepsi nya tadi terus berterbangan pergi apabila mendengarkan kata-kata Erdyzuan itu.

"Dah sampai? Bolehlah Ary buka ikatan dekat mata ni kan?"

Lalu laju sahaja tangan Adriana hendak mencapai simpulan di belakang kepalanya itu untuk membuka ikatan yang telah menutupi matanya sejak tadi.

"Eh-eh, nanti dulu. Biar Bi yang bukakan ikatan dekat mata Ary tu."

Mendengarkan permintaan Erdyzuan itu, Adriana langsung tidak jadi membuka ikatannya itu dan terus berdiam diri menanti tindakan Erdyzuan seterusnya. Seketika selepas itu, dalam keadaan matanya yang masih tertutup, dapat Adriana rasakan tangan Erdyzuan begitu erat menggenggam tangannya lalu memimpin dia supaya bangun daripada duduknya di dalam kereta dan bergerak beberapa langkah menuju ke satu sudut yang tidak diketahuinya.  Kemudiannya barulah ikatan pada matanya itu mula dibuka.  

"Okay, sekarang cuba sayang padang ke hadapan."

Dalam rasa sedikit silau dan kabur kerana kornea matanya sedang cuba membiasakan diri dengan cahaya yang baru diterima setelah agak seketika tanpa cahaya sebentar tadi, Adriana sedaya-upaya cuba mengecam di mana dia sedang berada kini. Setelah agak seketika memerhati sekeliling barulah dia dapat mengecam di mana mereka berdua berada kini. Dia dan Erdyzuan kini sedang berdiri di atas puncak bukit di Seksyen 4 Wangsa Maju yang menempatkan rumah simpanan takungan air. Bukit yang selalu menjadi tempat rekreasi lewat pertemuan mereka pada hujung minggu sebelum mereka berkahwin dahulu!

"Kenapa Bi bawa Ary ke sini dan macam mana Bi boleh dapat bawa kereta masuk ke sini? Bukan ke waktu malam tempat ni ditutup?"

Setelah mula dapat mengecam destinasi bulan madu ekspres mereka ketika ini, Adriana mula melontarkan pertanyaan demi pertanyaan yang mula bermain di kepalanya. Tadi Erdyzuan kata nak bawa dia ke tempat yang istimewa, tapi apa yang istimewanya bukit yang menepatkan rumah simpanan takungan air ini pada waktu malam?

"Ary nak tahu kenapa Bi bawa Ary ke sini? Hmm... sayang ingat lagi tak, dua bulan yang lepas di sinilah tempatnya Bi lamar Ary kan? Jadi, oleh kerana Bi  tak sempat nak bawa Ary berbulan madu, maka Bi nak kita isi malam pertama kita di tempat yang istimewa seperti ini. Biarlah sekalipun tempat ini tidak segah suite bulan madu di hotel lima bintang, tapi tempat ini tetap teristimewa di hati Bi ni. Sepatutnya tempat ni memanglah ditutup waktu malam, tapi pandai-pandai lah Bi minta kebenaran daripada penjaga tempat ni sejak beberapa hari lepas lagi supaya benarkan Bi bawa Ary masuk sini pada waktu macam ini. Bi ceritalah dekat dia, yang Bi nak bawa isteri tercinta Bi ni ke sini untuk raikan malam pertama kita di sini sebab di sinilah tempatnya Bi lamar isteri Bi ini."

"Erk... Bi cerita dekat dia macam tu? Isy, seganlah Ary kalau macam ni."

"Nak segan apanya? Kan romantik macam ni. Pak cik jaga tu pun rileks aje Bi tengok masa Bi beri alasan macam tu pada dia. Siap tersengih-sengih lagi dekat Bi."

"Memanglah romantik tapi... hmm... lupakan sajalah fasal tu. Bi... sejuklah duduk dekat atas bukit kala waktu tengah malam macam ni."

Adriana segera melencongkan topik perbualan mereka daripada memperkatakan tentang rasa segannya akan cerita Erdyzuan yang begitu berterus-terang pada penjaga rumah simpanan takungan air ini akan sebab dia hendak masuk ke tempat ini pada kala tengah malam begini bersama Adriana. Rasanya tidak berguna dia terus berbalas pendapat dengan Erdyzuan tentang rasa segan akan sesetengah perkara kerana suaminya ini sah-sah adalah seorang yang keturunan separuh Melayu dan separuh baba nyonya yang langsung tidak terasa dirinya itu ada darah Melayu pada tubuhnya. Jadi manalah dia faham apa itu rasa segan seorang Melayu untuk bercerita tentang aksi romantik rumah tangganya pada orang lain sesuka hati mereka.

"Sejuk ya? Mari sini Bi peluk sayang."

Dengan rasa malu-malu kerana tidak biasa untuk memeluk seorang lelaki dan melihatkan senyuman nakal pada wajah Erdyzuan ketika itu, Adriana perlahan-lahan mendekatkan tubuhnya dengan tubuh sasa suaminya itu. Dengan penuh selesa, belakang tubuhnya itu di sandar pada dada bidang Erdyzuan dan tangan kekar Erdyzuan pula selamba sahaja melingkari pinggangnya. Di saat tubuh mereka mula bersatu, Adriana dapat  merasakan kehangatan mula meresap ke seluruh tubuh dinginnya itu sampai naik sehingga ke pipi-pipinya sekali dek rasa malu dipeluk sebegitu walaupun hakikatnya hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ ketika ini.

"Bi, yang nampak macam ada banyak lampu atas bukit dekat sana tu mesti Genting Highland kan?"

"Hmm... rasanyalah. Kenapa sayang tanya?"

"Tak ada apa-apa. Hmm... Nanti bila Bi dah boleh ambil cuti, kita nak pergi berbulan madu dekat mana ya? Selama ni kita tak pernah berbincang pun nak pergi mana lagi kan? Ary rasa kalau kita pergi Genting Highland tu pun okay juga kan? Tak adalah jauh mana sangat pun."

"Huh, tak mahulah Bi. Tempat macam tu sesuai untuk budak-budak aje lah. Nanti bila Bi dah free, kita pergi honeymoon dekat Australia. Kalau boleh Ary ambil cuti dua minggu dan kita boleh jalan puas-puas di sana. Kita pergi ke Gold Coast sekali. Lagipun papa ada bagi open ticket pergi dan balik Australia untuk dua orang sebagai hadiah perkahwinan kita."

"Huh, Australia? Gold Coast? Wah, seronoknya. Ary tak pernah sekali pun pergi mana-mana luar daripada Malaysia ni. Nanti dekat sana, kita tinggal dekat rumah papa Bi tu ke? Rasanya hari tu Bi ada ceritakan yang rumah dia dekat-dekat dengan Gold Coast tu juga kan?"

Teruja benar hati Adriana mendengarkan yang mereka akan ke Gold Coast untuk destinasi bulan madu mereka. Tidak sangka pula bapa mentua yang tidak pernah dikenalinya lagi itu akan memberi mereka suami isteri tiket penerbangan ke Australia.

"Papa memang ada suruh kita tinggal di rumah dia aje bila kita ke sana, tapi Bi rasa kita sewa hotel sajalah. Kita kan nak pergi berbulan madu. Mestilah kita perlukan privasi kan? Lagipun Bi malas lah nak menghadap bini baru papa tu."

"Kenapa pula malas nak menghadap? Bukan ke bini baru papa tu ialah Bi mak tiri Bi juga?"

"Memanglah dia tu mak tiri Bi. Tapi Ary tak pernah kenal dia lagi. Nak panggil dia emak pun rasa menyampah. Ary tahu tak perempuan tu hanya tua lima tahun aje dari umur Bi ni. Bayangkanlah macam mana nak panggil dia tu emak? Sudahlah, boleh tak kalau kita tak bercakap fasal famili Bi lagi?"

Mendengarkan suara Erdyzuan yang sudah sedikit menegang itu dan ayatv terakhir Erdyzuan itu, Adriana terus sahaja senyap. Senyap kerana arahan si suami yang nampaknya sudah mula naik angin itu dan juga senyap kerana rasa terkilan. Siapa yang tidak terkilan apabila tidak sampai 24 jam menempuhi alam perkahwinan, diri ini sudah dimarahi si suami. Siapalah juga yang tidak terkilan apabila diri ini disuruh jangan sibuk dengan perihal keluarga suaminya sendiri. Bukankah dia ini isteri Erdyzuan? Lalu bukankah keluarga Erdyzuan itu sudah menjadi keluarga dia juga?

Setelah agak seketika mendiamkan diri melayan rasa terkilan di hati sendirian, Adriana mula menarik pelukan tangan Erdyzuan pada pinggangnya dan cuba bergerak menjauhkan dirinya daripada si suami. Di saat hatinya tengah menjeruk rasa ini, dia sudah rasa tidak betah lagi hendak berlama-lama dalam pelukan suaminya itu. Erdyzuan yang juga senyap semenjak tadi melayan perasaan sendirian, mula tersedar daripada lamunannya apabila terasa pelukan tangannya cuba dileraikan oleh Adriana. Sepantas itu juga tangannya menyambar lengan Adriana sebelum sempat isterinya itu terus melangkah pergi dari sisinya.

"Sayang nak pergi mana?"

"Ary... Ary nak masuk dalam kereta. Rasa sejuk sangatlah duduk dekat luar ni."

"Hmm... kalau macam tu jom kita balik terus aje lah."

"..."

Lalu pantas sahaja langkah Adriana menuju ke kereta Erdyzuan dan duduk di tempatnya. Hatinya yang terkilan tadi terus merasa terkilan kerana si suami langsung tidak perasan akan rasa rajuk hatinya ini. Memandang pada Erdyzuan yang nampak selamba sahaja melangkah masuk ke tempat pemanduannya, ingin sekali hati Adriana berteriak akan rasa hati kecilnya ketika ini...

'Suami, payah benarkan untuk menebak hati seorang Adriana ini?' 

 

 


Maaf ya lambat post entry... janji nak masukkan entry hari khamis/jumaat tapi tak dapat nak ditunaikan sebab iejay sangat-sangat busy di ofis kebelakangan ini. Kerja tengah menimbun dan staf pula kurang kerana ramai yang bercuti. Dekat rumah pun tak ada masa nak online sebab banyak benda nak buat. Dah tu sekarang ni semenjak hari Ahad yang lalu kena demam selsema pula...Tolonggg!!! kalau boleh nak sihat sebelum bulan puasa bermula next week.

p/s: Next entry iejay dah letak tapi di set untuk posting hari jumaat ini.



iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:59 pm
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia