Friday, August 29, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 11

 

 "Selamat pagi sayang."

Mendengarkan ucapan itu, Adriana yang semenjak tadi sedang leka menonton televisyen, segera mengalihkan pandangan matanya kepada suaminya Erdyzuan yang sedang menuruni tangga rumah dan berjalan menuju ke arah dia dengan senyuman lebarnya. Baru sahaja dia mahu menjawab sapaan suaminya itu, sebuah ciuman sudah melekap di pipinya.

"Isy... apa ni Bi? Malu lah kalau orang lain tengok."

"Nak malu apanya sayang? Ee... sayang ni kan tak habis-habis asyik nak rasa malulah, seganlah. Kita kan dah kahwin. Lagipun bukan ke sekarang ni kita dalam rumah?"

Adriana hanya tersengih sahaja mendengarkan kata-kata Erdyzuan itu. Sememangnya kata-kata Erdyzuan itu ada kebenarannya, cuma mungkin disebabkan mereka baru sahaja sehari berkahwin dan dia sendiri masih lagi tidak biasa diperlakukan sebegitu, maka sebab itulah lancar sahaja bibirnya ini menegur suaminya itu tadi.

"Sayang tengok cerita apa ni? Tom & Jerry??? Ee... Tak ada cerita lain yang lebih berfaedah ke yang nak ditonton?"

"Apa salahnya tengok cerita ni? Lagipun waktu-waktu pagi Sabtu macam ni kan memang semua TV tayang cerita kartun aje."

"Tapi cerita kartun ni kan hanya untuk budak-budak sahaja."

"Siapa cakap cerita kartun untuk budak-budak sahaja? Lagipun mana ada  tertulis sebelum cerita Tom & Jerry ni bermula tadi yang cerita kartun ini hanyalah sesuai untuk tontonan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun ke bawah sahaja."

Pantas sahaja Adriana menegakkan pendapatnya apabila mendengarkan kritikan suaminya itu. Apa salahnya kalau dia menonton cerita kartun? Seronok apa tengok Tom & Jerry tu mengenakan di antara satu sama lain. Lagipun daripada tadi, dia terlalu bosan duduk seorang diri memandangkan suaminya itu masih lagi enak beradu. Dikejut bangun untuk sembahyang Subuh pun langsung tidak mahu bangkit. Emak mentuanya pula seawal jam 9 pagi tadi sudah keluar pergi ke majlis amal menurut katanya.

Ermilza? Huh, puteri seorang tu rasanya pasti sedang tidur terbongkang lagi saat ini. Mana tidaknya, ketika Adriana bangun untuk solat Subuh sekitar jam 6.30 pagi tadi, adik iparnya itu baru sahaja sampai ke rumah. Dari gayanya ketika itu yang masih lagi dengan dress seksi yang dipakai semasa majlis resepsi Adriana malam tadi, memang jelas adik kesayangan Erdyzuan itu baru sahaja balik daripada berhibur. Namun dalam keadaan separuh sedar (jelas daripada rasa tengik dan masam alkohol yang dibau oleh Adriana daripada Ermilza dan badannya yang berdiri terhuyung-hayang), sempat lagi gadis itu menegurnya dengan kata-kata yang mungkin kalau dibawa ke muka pengadilan sudah boleh diklasifikasikan sebagai ugutan.

'Seronok dah dapat kahwin... erk... dengan abang aku? Tapi jangan ingat kau... erk... boleh berbangga dapat jadi sekeluarga... erk... dengan aku. Aku akan... erk... pastikan kau... erk... tak akan bahagia seperti mana... erk... yang kau dah buat pada aku dulu.'

 Adriana sedar, walaupun Ermilza berkata-kata dalam keadaan separuh sedar dan asyik tersedu, kata-katanya itu bukanlah mainan bibir sahaja. Daripada matanya yang separuh layu ketika itu tetap jelas nampak sinar ancamannya. Lagipun daripada awal mereka diperkenalkan lagi, Ermilza jelas nampak tidak menyenangi kehadiran dirinya ini di sisi Erdyzuan. Tidak sangka Ermilza yang pernah menjadi sahabatnya lebih sepuluh tahun yang lalu dan kini adalah adik iparnya, rupanya masih lagi berdendam dengan dia akan peristiwa lalu mereka berdua.

"Sayang... Bi laparlah."

Ingatan Adriana akan perihal Ermilza pagi tadi terus bercempera pergi apabila mendengarkan rengekan Erdyzuan itu.

"Lapar? Itulah bangun lagi waktu nak dekat-dekat tengah hari macam ni. Kejut sembahyang subuh pagi tadi pun liat sungguh nak bangun."

"Apa pula dah tengah harinya? Sekarang ni baru nak masuk pukul 11 pagilah sayang. Lagipun penat sangatlah sayang. Sayang ada masak apa-apa tak?"

Erdyzuan hanya tersengih sahaja mendengarkan bebelan Adriana itu. Sebenarnya bukan dia tidak sedar ketika Adriana mengejutkan dia untuk solat Subuh tadi, tapi dia sendiri yang sengaja buat-buat tidak sedar langsung kerana malas hendak bersembahyang. Sesungguhnya dia sedar, daripada awal perkenalan mereka lagi yang Adriana adalah wanita daripada jenis yang sentiasa menjaga tata kelakuannya dan patuh pada suruhan agama. Berbeza sungguh dengan kebanyakan kenalan wanitanya selama ini yang jenis sudah terbiasa bergaul bebas dan pastinya tidak kisah sangat akan suruhan agama.

Juga sangat-sangat berbeza dengan dirinya ini yang hanya mengerjakan suruhan agama apabila terasa hendak buat sahaja. Daripada dia kecil lagi, didikan agama bukanlah satu perkara yang penting dalam keluarganya ini. Papanya yang memang sah-sah keturunan Melayu Islam itupun rasanya jarang benar dia pernah nampak bersembahyang ketika mereka masih lagi tinggal serumah dahulu. Mama nya pula yang berasal daripada keturunan Baba Nyonya dan memeluk Islam semata-mata kerana hendak berkahwin dengan papa itu lagilah apa pun tidak tahu sangat bab-bab agama ini. Jadi, apatah lagi pula dia dan Ermilza sendiri. Ada tidak ada mereka belajar tentang Islam pun hanya ketika di sekolah rendah dan menengah dahulu sahaja. Itu pun hanya tiga jam seminggu dan sekadar untuk memastikan mereka lulus peperiksaan sahaja.

Ada tidak ada pun yang dia rajin bersembahyang adalah waktu sembahyang Jumaat. Itupun hanya dibuatnya setiap tiga minggu sekali sahaja kerana dia pernah ditegur oleh seorang teman yang separuh alim suatu ketika dahulu yang mengatakan kalau tiga kali di tidak bersembahyang Jumaat, maka dia sudah dikira sebagai kafir. Sedangkan dia lupa (ataupun sebenarnya langsung tidak tahu) hukum orang yang langsung tidak bersembahyang fardhu yang hanya lima waktu sahaja itu pun sudah boleh dikira sebagai kufur juga. Itu baru bab bersembahyang. Belum lagi masuk bab berzakat, membaca Al-Quran (yang kedua-duanya dia langsung tidak tahu satu apa pun) dan berpuasa yang hanya di lakukan ketika bulan Ramadhan; sekiranya dia merasa larat hendak tahan sahaja.

Berbalik kepada perbezaan tahap kepatuhan kepada suruhan agama Islam antara dia dan Adriana tadi, sememangnya dia sedar kehadiran jurang yang besar antara mereka. Tetapi bukankah Shakespeare sendiri yang mengatakan 'Love is blind' dan kebanyakan para ahli falsafah cinta serta anda pun menyetujuinya? Jadi biarkan sahajalah jurang yang wujud antara mereka itu. Siapa tahu, mungkin melalui ikatan perkahwinan mereka ini, satu hari nanti dia akan berubah kepada kebaikan jua kerana terpengaruh dengan sifat kealiman isterinya ini. Buat masa ini, biar sahajalah Adriana menganggap yang memang benar dia sangat-sangat penat hendak bangun sembahyang Subuh pagi tadi dan tidak tahu yang suaminya ini sebenarnya langsung tidak tahu cara-cara nak bersembahyang Subuh. Harapannya, cuma janganlah nanti tiba-tiba pula isterinya ini minta dia mengimamkan sembahyang sudahlah.

"Nah, Bi makanlah ni dulu. Lagipun, ini aje yang ada dekat dapur tu."

Pantas sahaja Erdyzuan mengakhiri lamunannya sebentar tadi apabila terdengarkan teguran Adriana itu. Dilihatnya, Adriana sudahpun menghidangkan sepinggan jemput-jemput dan secawan air koko di atas meja di hadapannya itu.

"Jemput-jemput aje ke sayang?"

"Hmm... itu aje yang Ary dapat sediakan pagi ni. Tapi tu bukannya jemput-jemput biasa tapi jemput-jemput maggi."

"Jemput-jemput maggi? Isy... sedap ke maggi dibuat jemput-jemput?"

"Bi, ni banyak songehlah pula. Makan sahajalah. Itu aje yang barang yang ada dekat dapur tu. Nanti sekejap lagi lepas Bi dah sudah makan, kita pergi rumah sewa lama Ary untuk ambil barang-barang Ary yang lain ya? Lepas tu kita pergi beli barang-barang dapur dekat Carrefour."

Dalam pada itu lancar sahaja Adriana yang sudah merancang awal-awal lagi jadual mereka berdua hari ini, memberitahu perancangannya pada Erdyzuan. Ya lah, sebelum Erdyzuan membuat apa-apa cadangan dan memaksa Adriana mengikutnya, baik dia beritahu dahulu rancangan yang sudah di aturnya. Sebelum Erdyzuan kena terbang ke Sarawak untuk ke pelantar minyak syarikatnya yang terletak di dulang West Patricia esok malam, dia mahu menyelesaikan hal pemindahannya ke rumah ini dan melengkapkan segala barang keperluan di dapur rumah ini supaya mudah sedikit kerjanya ketika ketiadaan Erdyzuan nanti.

Dapur rumah keluarga Erdyzuan ini sebenarnya sudah selengkap-lengkapnya. Segala peralatan yang ada di dalamnya, semuanya sudah hampir setaraf dapur seorang chef sahaja gayanya. Daripada dapur, oven, ketuhar mikro, alat pemproses makanan, mesin pengadun kuih, acuan kuih, bread maker, ramekin, dan segala cutlery semuanya serba lengkap, serba-serbi tip-top. Penunu api (torch) untuk membuat Crème Brule pun ada juga dekat dapur rumah ini.

Di kala buat pertama kalinya Adriana melangkah ke ruang dapur rumah ini  pagi tadi, dia benar-benar terkedu apabila melihat segala peralatan serba canggih yang ada di situ. Dia yang sememangnya suka memasak ini, terasa seperti sedang melangkah ke syurga sahaja rasanya tadi.  

Tetapi sayang, sekalipun dapurnya mempunyai segala peralatan yang serba canggih, bahan-bahan untuk memasak yang ada macam rumah bujang sahaja gayanya. Semuanya bahan-bahan asas sahaja. Beras, minyak, garam-gula, maggi mee, telur, tepung dan bawang beberapa ulas. Peti ais yang ada sekalipun jenis dua pintu dan mungkin saiz yang paling besar ada di jual di kedai, kosong sahaja isi di dalamnya selain daripada air botol dan susu serta jus di dalam kotak. Kata mama mentuanya sebelum wanita itu keluar tadi, dia sendiri jarang benar memasak disebabkan anak-anaknya yang dua orang tu bukannya jenis nak makan sangat di rumah. Apatah lagi, sejak bercerai dengan papa Erdyzuan dahulu, dia sendiri lebih banyak mengisi masanya di luar sana dengan aktiviti-aktiviti amalnya.

Dengan rasa penuh senang hati kata mama mentuanya, buatlah apa sahaja yang Adriana rasa patut pada rumah ini. Memandangkan Adriana sudah menjadi menantu rumah ini, maka dengan tanpa rasa ragu-ragu dia memberi kuasa untuk Adriana menguruskan rumah ini terutamanya bahagian dapur. Lalu Adriana sendiri dengan senang hati menerima mandat besar yang telah diberikan oleh emak mentuanya itu. Dalam kepalanya kini, sudah penuh senarai barang-barang yang hendak di belinya sebentar nanti di Carrefour. Tidak lama lagi Chef Adriana akan mula mengganas di dapurnya dan siapa tahu mungkin satu hari nanti dia bakal mengalahkan idolanya di dapur selama ini iaitu Nigella Lawson.

Tersedar daripada angan-angannya, Adriana menoleh ke arah Erdyzuan yang masih di sisinya sejak tadi lagi. Tetapi di atas meja kopi di hadapan mereka kini,  yang ada hanyalah pinggan dan gelas kosong sahaja. Sepinggan penuh jemput-jemput maggi yang dibuatnya tadi, sudah licin di baham oleh suaminya. Hmm… dalam konon rasa teragak-agak nak makan tadi, akhirnya habis juga dimakan jemput-jemput magginya itu. Menyedari Adriana yang tiba-tiba merenung dirinya dan pinggan kosong di hadapan mereka silih berganti sejak tadi, pantas Erdyzuan menghulurkan pertanyaannya...

"Err... jemput-jemput maggi Ary tu ada lagi ke?"

 

 


 

 CUCUR MAGGIE KARI

 

 

 

Bahan-bahan:

1 bungkus maggi kari

1 cawan tepung gandum

10 ekor udang (lagi banyak lagi sedap kalau tak nak letak pun tak apa)

1 sudu makan serbuk kari ayam/daging (kalau nak lagi senang guna serbuk kari dlm pek maggi tu aje)

garam secukup rasa

1 biji bawang besar dipotong dadu

 

Cara memasak:

 

1.    Maggi direndam lembut dan ditoskan.

2.    Campurkan semua bahan: maggi, tepung gandum, udang, serbuk kari, garam dan bawang. Kesemua bahan ini digaul rata, campur air sedikit agak-agak macam buat cucur bawang dan sewaktu dengannya.

3. Panas kan minyak dan goreng hingga kekuningan. Lepastu angkat dan ngap!

 

p/s: gambar di atas tu gambar jemput-jemput makaroni... ini aje gambar yg ada dari arkib resepi iejay... kalau nak buat jemput2 makaroni sama sahaja caranya, makoni tu rebus dulu dan perencah kari ditukarkan dengan serbuk lada sulah... 

 

 

 

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK,

SELAMAT BERPUASA

&

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN

 

WITH WARMEST REGARD & LOVE

IEJAY

 



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:29 am
Resepi Versi Mereka (1)  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia