Friday, September 05, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 12

 

Kehidupan sebagai seorang isteri sememangnya berbeza dengan kehidupan ketika membujang. Lebih-lebih lagi apabila bergelar isteri kepada seorang Erdyzuan. Semasa di awal perkahwinannya dahulu, terasa agak kekok juga Adriana hendak menyesuaikan jadual kerjanya dengan hidup bersama Erdyzuan. Mana tidaknya, ketika bujang dia hanya perlu memikirkan dirinya sahaja, tetapi setelah berkahwin mahu atau tidak mahu dia kenalah belajar menyesuaikan jadual dan rutin hidupnya dengan jadual suaminya pula (yang termasuk melepak dengan rakan-rakannya di NZ Wangsa Maju hampir setiap malam untuk menonton bola terutamanya ketika kehangatan Piala Dunia FIFA 2002 sekalipun di rumah mereka terdapat set televisyen bersaiz 40" dan Astro Super Sport). Namun setelah lebih lima bulan dia berkahwin dengan Erdyzuan, Adriana kini telah semakin mahir menguruskan kehidupan berumah tangga nya dan juga Erdyzuan.

Jadual kerjanya sebagai floor executive Parkson yang terpaksa bekerja secara syif sememangnya menuntut Adriana untuk menyusun atur jadualnya supaya selari dengan jadual suaminya itu. Ini kerana waktu pejabat Erdyzuan adalah daripada Isnin hingga Jumaat bermula daripada jam 9.00 pagi hingga ke 6.00 petang. Untuk tempoh seminggu dalam setiap bulan pula, suaminya itu akan dihantar bertugas di pelantar minyak.

Oleh itu, sekiranya Adriana bertugas untuk syif pagi iaitu daripada jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang, maka dia akan pergi dan balik ke tempat kerjanya bersama-sama suaminya. Tetapi sekiranya dia dikehendaki bertugas untuk syif jam 1.00 petang hingga 11.00 malam pula, Adriana akan mengambil teksi untuk pergi sendiri ke kerja dan dijemput oleh Erdyzuan di stesen PUTRA LRT Wangsa Maju semasa balik kerja. Itupun kalau suaminya itu tidak penat. Kalau tidak, terpaksalah Adriana mengambil teksi daripada stesen PUTRA LRT Wangsa Maju ke rumahnya. Hai lah nasib, masa sebelum berkahwin dahulu, sampai depan pintu rumah sewaan nya pun Erdyzuan sanggup hantar. Tapi bila dah berkahwin, ikut mana dan suaminya sahaja kalau disuruh untuk ambil isterinya ini.    

Setiap pagi pula, sememangnya sudah menjadi kewajipan buatnya untuk menyediakan sarapan pagi dan juga bekalan buat suaminya yang suka mengada-ada membuli isterinya yang kononnya super chef ini (nota: Adriana kata Erdyzuan mengada-ada sebab suaminya itu sibuk nak membawa bekal macamlah di KLCC tu tak ada orang jual makanan langsung). Sekiranya Adriana masuk kerja pada jam 1.00 tengah hari pula, dia akan menyediakan sarapan buat si suami macam biasa dan nasi serta lauk-pauk pula sebelum pergi ke kerja. Jadi apabila Erdyzuan balik kerja seperti biasa pada petang harinya, suaminya itu hanya perlu memanaskan sahaja hidangan tersebut dengan ketuhar gelombang mikro sahaja (sekiranya dia rajin, kalau tidak dia akan bantai sahaja makan nasi sejuk).

Manakala, sekiranya dia pergi dan balik daripada kerja pada waktu yang sama dengan Erdyzuan; sesampainya sahaja di rumah mereka, dia akan terus bergegas masak apa yang patut sebagai hidangan makan malam mereka sebelum waktu maghrib menjelang tiba. Itu pun nasib baiklah Erdyzuan tidak begitu cerewet sangat dalam bab apa yang Adriana masak untuk makan malam mereka. Bagi dia, asalkan Adriana ada masak sesuatu aja sudah mencukupi. Lalu, kebiasaannya Adriana hanya akan menyediakan satu jenis hidangan makan malam yang berat tetapi mudah disediakan untuk suaminya itu seperti nasi goreng, pasta ataupun hidangan daripada pastri.

Bila masuk bab dapur Adriana sememangnya seorang yang teliti. Dia akan memastikan semua bahan untuk dia memasak sentiasa ada di dalam stok dapurnya untuk memudahkan dia menyediakan hidangan dalam kadar segera. Antaranya dia akan memastikan pasta, puri tomato dalam tin, oregano, basil, Italian herb, keju, daging cincang dan bawang sentiasa ada supaya dapat dia menyediakan spageti pada bila-bila masa sahaja. Tidak lupa juga susu segar, tepung gandum dan butter sebagai bahan asas sos béchamel nya untuk hidangan lasagna.

Itu baru cerita bab masak-memasak. Selain itu, Adriana juga tidak lepas daripada melakukan tugas-tugas lain sebagai seorang isteri seperti mana  isteri-isteri mithali yang lain juga termasuklah tugas kemas-mengemas rumah dan membasuh serta menggosok baju. Sekalipun kebiasaannya keluarga Erdyzuan hanya menghantar ke kedai dobi sahaja untuk mencuci pakaian kotor, sebagai menantu rumah ini Adriana merasakan dia patut cuba melakukan sendiri sahaja kerja-kerja mendobi ini memandangkan rumah ini mempunyai mesin basuh automatik yang rasanya daripada kategori dan jenama yang tidak kurang canggih juga. Manakala kerja-kerja menggosok dan mengemas rumah pula, apalah sangat hendak disungutkan kerana penghuni rumah ini bukannya ramai mana pun. Setakat tiga orang sahaja setelah ditolak kewujudan Ermilza.

Adriana bukanlah sengaja hendak menidakkan kewujudan Ermilza, adik iparnya itu dalam rumah ini. Bukan juga kerana Ermilza itu kerjayanya sebagai pramugari dan kehadirannya di rumah ini yang selalunya on-off membuatkan Adriana tidak ambil kira kewujudannya. Tetapi bila masuk bab-bab kerja rumah ni sememangnya Adriana tidak kuasa hendak menyentuh barang-barang Ermilza. Adriana bukan tidak mahu sentuh kerana dia masih menyimpan rasa saki-baki permusuhan antara mereka dahulu tetapi disebabkan dia tidak mahu menambahkan lagi maraknya api permusuhan Ermilza dengan dia.

Adriana tidak pernah sekalipun mahu bermusuh dengan Ermilza kerana hakikatnya suatu ketika dahulu mereka berdua pernah bergelar sahabat baik tetapi dek satu peristiwa yang berlaku ketika mereka masih bersekolah dahulu, Ermilza terus menjadikan dirinya ini sebagai musuhnya (dan dia tidak berminat hendak menceritakan perihal tersebut buat masa ini). Malah Ermilza itu sendiri rasa Adriana sememangnya tidak pernah berminat mahu berbaik dengannya walau bagaimana sekalipun Adriana cuba untuk berdamai dengannya.

Adriana masih ingat lagi insiden pada minggu pertama perkahwinannya dengan Erdyzuan. Ketika itu Erdyzuan tiada di rumah kerana sedang bertugas di pelantar minyak. Adriana yang baru sahaja menjadi ahli keluarga Erdyzuan ketika itu, telah dengan penuh rasa tanggungjawabnya merajinkan dirinya mengutip pakaian kotor ahli rumah ini yang masih belum lagi di hantar ke kedai dobi untuk dicuci nya sendiri dan salah satu daripadanya adalah baju Ermilza. Baju-baju tersebut telah pun di cuci nya sebaik mungkin siap dengan digosokkan lagi.

Tetapi beberapa hari selepas itu, tanpa angin tanpa ribut, Ermilza tiba-tiba sahaja bising-bising satu rumah mengatakan bajunya itu telah rosak teruk. Katanya warna baju tersebut sudah luntur dan jadi bercapuk-capuk. Lalu Adriana lah yang dituduh merosakkan baju tersebut kerana Adriana lah yang kononnya pandai-pandai sangat nak tunjuk lagak boleh mendobi sendiri pakaian-pakaian ahli rumah ini. Sedangkan setahu Adriana, semasa baju tersebut sudah siap bergosok, keadaannya masih elok amat lagi, langsung tidak bercapuk-capuk warnanya seperti yang di bising kan oleh Ermilza. Lagipun takkan lah Adriana yang telah bertahun-tahun bekerja di industri perkhidmatan jualan pakaian wanita ini langsung tidak tahu untuk membaca label arahan penjagaan setiap pakaian kan?

Namun balasan Erdyzuan pada Adriana apabila dia sudah sampai semula ke rumah dan mendengar aduan adik kesayangannya itu adalah ;

 "Lain kali Ary tak payahlah cuci baju Girl tu. Nanti rosak lagi bukankah susah? Lagipun bukan ke sebelum Bi pergi hari tu, Bi dah tinggalkan duit yang cukup untuk urusan rumah ni termasuk duit dobi?"

Mendengarkan kata-kata suaminya itu sememangnya membuatkan hati Adriana ini terasa panas dan pedih yang amat. Ada ke patut tanpa usul-periksa dan hanya sekadar mendengarkan rungutan Ermilza itu terus sahaja si suaminya mejatuhkan kesalahan tersebut pada diri Adriana ini? Bukannya dia nak tolong membela diri isterinya ini langsung. Kalau ikutkan hati sememangnya mahu sahaja Adriana melawan semula kata-kata Erdyzuan itu untuk membela dirinya sendiri. Tetapi memikirkan Erdyzuan itu adalah seorang suami yang mesti dihormati dan ketika itu mereka baru sangat-sangat berkahwin di mana dia masih cuba menyesuaikan dirinya dengan kehidupan barunya bersama Erdyzuan, Adriana pendamkan sahaja rasa hatinya itu. Didiamkan sahaja dirinya daripada untuk terus menjawab.

Namun itu bukanlah pergaduhan mereka yang pertama dan terakhir. Selepas-selepas itu kehidupan bahagia rumah-tangga Erdyzuan dan Adriana tidak pernah sunyi daripada diselangi oleh pergaduhan-pergaduhan kecil yang mana kebanyakan puncanya pasti ada kaitan dengan Ermilza!

Adriana berkata begitu bukannya kerana sengaja hendak memburuk-burukkan adik iparnya itu disebabkan hakikat perhubungan dia dan Ermilza itu tidak pernah nya baik itu. Tetapi Ermilza itu sendirilah yang sebenarnya sentiasa mencari sebab untuk semakin membenci dirinya ini. Di tambah pula lagi dengan sifat semula jadi Erdyzuan yang Adriana rasakan selalu berat sebelah pada adiknya itu, maka makin bertambah kebal lah si Ermilza setiap kali dia berhadapan dengan Adriana.

Kadang-kala ingin benar Adriana persoalkan kepada Erdyzuan; kenapalah suaminya itu sentiasa sahaja menyokong kata-kata Ermilza? Kenapalah pergaduhan mereka mesti ada kena-mengena dengan Ermilza? Kenapalah Ermilza sering sahaja dilebihkan berbanding diri Adriana sendiri?

Dia bukanlah hendak jadi isteri yang suka mengongkong, tetapi bila suaminya itu suka benar melebihkan adiknya sendiri daripada isteri yang dinikahi nya dengan lafaz ijab dan kabul, macam manalah Adriana tidak makan hati berulam jantung? Lebih-lebih lagi bila masuk bab kewangan.

Adriana tahu gaji Erdyzuan sebagai Jurutera Kanan di sebuah syarikat minyak asing setiap bulan sememangnya lumayan. Maka Erdyzuan boleh buat apa sahaja dengan duitnya itu. Adriana setuju untuk berkahwin dengan Erdyzuan dahulu pun bukannya kerana lelaki itu bergaji lima angka, tetapi kerana rasa sayang seorang hawa pada seorang Adam. Kerana rasa ingin memiliki dan dimiliki. Lagipun dia sendiri juga bekerja, sekalipun gajinya tidaklah selumayan Erdyzuan tetapi sudah cukup untuk menyara kehidupnya sendiri dengan penuh rasa selesa.

Oleh itu dia tidak pernah kisah sekiranya Erdyzuan tidak memberi wang belanja padanya setiap bulan sekalipun memberi nafkah pada isteri itu adalah kewajipan seorang suami. Tidak, Erdyzuan bukanlah daripada jenis yang tidak memberi nafkah pada isterinya walaupun dalam bab-bab lain sebagai seorang Islam suaminya itu memang banyak lompong nya terutamanya bab sembahyang (Adriana sedar yang suaminya itu jarang benar bersembahyang). Beri tu memanglah beri dan amat mencukupi untuk belanja dirinya dan belanja dapur sementelah segala bil sememangnya diuruskan Erdyzuan sendiri.

Tetapi yang menjadi persoalannya dan menimbulkan rasa tidak puas hati Adriana ialah kenapa Ermilza yang bekerja itu juga diberi wang belanja oleh Erdyzuan? Sudahlah perempuan tu tak perlu menanggung apa-apa belanja rumah, bil kad kreditnya pun kadang-kadang di selesaikan oleh Erdyzuan. Suaminya itu pula layan sahaja perangai adiknya itu yang gila benar membeli-belah. Sudahlah pekerjaannya sebagai seorang pramugari untuk laluan antarabangsa sememangnya telah memberi akses kepada Emilza untuk membeli-belah di serata dunia; bila dia sedang dalam tempoh berehat untuk menunggu jadual penerbangan dia yang seterusnya pun, dia sibuk juga membeli-belah.

Pada Adriana, lantak lah kalau adik iparnya itu hendak memborong semua barang-barang yang ada di jual di kedai-kedai serata Malaysia hatta serata dunia sekalipun. Tetapi bila baru sahaja Adriana beli novel dua tiga buah yang dibayar menggunakan duit gajinya sendiri; Erdyzuan sudah bising-bising yang isterinya ini suka membazir. Lalu macam manalah hendak dielakkan tidak terjadinya pergaduhan dalam rumah tangga mereka berdua?              

Namun seperti selalunya, sememangnya Adriana sahajalah yang akan mengalah kerana dia tidak mahu memanjang-manjang kan sengketa di dalam rumah tangga nya ini. Lagipun bukankah Arwah Tan Sri P. Ramlee sendiri pernah menyanyikan rangkap lagunya; 'sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri...' Maka apa sangatlah sengketa yang terjadi di antara mereka suami isteri kerana perangai si adik ipar itu kan? Lebih-lebih lagi bila ada khabar gembira sedang menanti buat mereka berdua di kala usia perkahwinan mereka melangkah ke bulan yang ke-10...

 

 


Bulan puasa begini kerja masih juga banyak tetapi disebabkan Iejay tengah separa rajin nak menaip, inilah dia hasilnya... Resepi? malas nak taip.. tapi kalau sesiapa perasan,  iejay ada listkan barang yg perlu ada untuk buat sphagetti di dalam cerita di atas.. jadi kalau nak buat kuah sphagetti versi sendiri seperti iejay (selain letak sos sphagetti sedia ada), campurkan aje semua-semua bahan itu dalam periuk + bahan perasa (lada sulah & seikit garam) then masaklah atas api (kecuali sphagettinya sahaja yang dicampur bila nak makan)...kalau nak resepi lasagna... nanti2 ajelah sebab banyak sedikit langkah2nya... Insyaallah akan ada lagi entry tapi tak janji bila... tunggu sahajalah apa dia berita gembira Adriana itu ya... dan berita gembira untuk iejay dan anda semua tunggu di akhir tahun nantilah ya... Tongue



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia