Friday, September 12, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 13

 

 

Akhirnya, setelah hampir sepuluh bulan melayari bahtera perkahwinan, berita gembira itu hadir jua buat mereka berdua. Adriana dan Erdyzuan bakal menimang cahaya mata pertama mereka! Berita itu baru sahaja diketahuinya tengah hari tadi. Siang tadi, setelah yakin nalurinya betul yang dia berkemungkinan sedang mengandung kerana telah dua bulan kitaran haidnya terlewat; Adriana telah memberanikan dirinya ke klinik berhampiran dengan rumah mereka sendirian. Kata-kata doktor yang melakukan ujian ke atas air kencingnya tadi dan mengesahkan yang dia sedang mengandung tiga bulan benar-benar menguja kan hati dia. Juga mendebarkan hatinya...

Sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Erdyzuan, mereka langsung tidak pernah berbincang soal anak. Adriana sendiri tidak pasti mengapa Erdyzuan tidak pernah bercakap soal anak dengannya. Adakah kerana suaminya itu sebenarnya masih tidak mahukan anak lagi? Atau dia sememangnya mahu, tetapi didiamkan sahaja tentang hal anak kerana dia tidak mahu memberi tekanan kepada isterinya ini? Lalu kerana itulah sejak siang tadi lagi hatinya ini asyik berdebar-debar sahaja untuk mengetahui reaksi Erdyzuan akan berita nan satu ini.

Tidak tahu bagaimana cara terbaik mahu memberitahu suaminya akan berita kandungannya ini, Adriana berpura-pura meletakkan alat penguji kehamilan berserta dengan kotaknya sekali di dalam bilik mandi mereka. Alat itu telah dibelinya di farmasi sebaik sahaja dia pulang daripada klinik siang tadi. Dia berharap sangat-sangat yang apabila Erdyzuan berada di dalam bilik mandi mereka nanti untuk menunaikan rutin hariannya iaitu menggosok gigi sebelum tidur, dia akan perasan kehadiran alat penguji kehamilan yang menunjukkan dua jalur biru tersebut.

Rasanya taktik yang digunakannya itu sememangnya berkesan. Ini kerana baru sahaja beberapa minit dilihatnya Erdyzuan masuk ke dalam bilik air; tiba-tiba sahaja suaminya itu meluru keluar lalu terus menghampiri Adriana dalam keadaan mulutnya yang masih lagi berbuih dengan kesan ubat gigi dan alat penguji kehamilan tersebut berada di tangannya.

"Apa benda ni sayang?"

"Err... kan ada tertulis pada kotak tu namanya..."

 "Pregnancy test-kit. Ary mengandung ke?"

Dengan rasa teragak-agak dan suara yang perlahan, Adriana menjawab pertanyaan Erdyzuan itu sambil tiga jari tangan kanannya turut ditunjukkan pada suaminya itu.

 "Haah. Tiga bulan..."

"Wohhohoho... betul ke ni Ary? Bila sayang dapat tahu pasal ni?"

Wajah Erdyzuan ketika ini jelas menggambarkan rasa terkejut bercampur teruja.

"Tengah hari tadi. Err... Bi suka ke Ary mengandung?"

"Tentulah sayang. Bi suka sangat-sangat sayang. Siapa sajalah yang tak suka bila dapat tahu yang dia bakal jadi seorang ayah? Kenapa sayang tak beritahu Bi awal-awal lagi tadi?"

"Sebab Ary tak pasti Bi akan suka atau tidak. Lagipun selama ni kita tak pernah sekali pun berbincang sama ada nak ada anak ataupun tidak."

"Sayang... Bi tak pernah bercakap fasal ni dengan sayang bukannya sebab Bi tak nak anak lagi. Tetapi sebab kita berdua ni baru sangat kahwin. Jadi, Bi tak nak Ary rasa tertekan kalau Ary tak dapat mengandung awal-awal. Bi nak sayang tahu yang sekarang ni Bi betul-betul gembira! Terima kasih sayang."

Sepantas kilat selepas itu juga sebelum sempat Adriana menahan tindakan lanjut suaminya itu, Erdyzuan terus sahaja menghadiahkan sebuah ciuman di bibir Adriana.

 "Bi! Ee... tak senonoh lah Bi ni. Mulut tu tak habis kumur lagi dah cium Ary."

Namun Erdyzuan hanya tersengih lebar sahaja melihat kesan buih ubat gigi pada bibirnya tadi sudah terlekat sedikit pada bibir isterinya itu. Tanpa mengatakan apa-apa pada Adriana lagi, Erdyzuan terus sahaja berlari keluar daripada bilik tidur mereka dan menjerit riang untuk mengkhabarkan berita gembiranya itu kepada seisi rumah pula. Dan mungkin juga seluruh saudara mara dan rakan taulan nya...

 

  

  

 

 

"Kalau sayang berhenti kerja aja kan lagi bagus. Susah rasanya bila baby kita lahir nanti kalau sayang kena bekerja ikut syif."

Itu kata-kata Erdyzuan pada Adriana seminggu selepas itu. Ketika itu mereka baru sahaja selesai berbuka puasa untuk hari kedua di bulan Ramadhan. Kebetulan jadual kerjanya pada minggu pertama Ramadhan tahun ini bermula pada jam 8.00 pagi. Maka untuk dua tiga hari pertama puasa Ramadhan tahun ini dapatlah dia peluang untuk berbuka puasa bersama-sama dengan suaminya. Setakat dua hari ini, Alhamdulillah dia langsung tidak mengalami apa-apa masalah untuk berpuasa sekalipun ketika ini dia sedang berada di tahap awal kehamilannya. Ada tidak ada pun cuma rasa sedikit letih sahaja. Syukur juga kerana dia tidak mengalami morning-sickness nya pada waktu pagi seperti kebanyakan ibu-ibu mengandung yang lain. Sebaliknya penyakit morning-sickness dia hanya muncul pada waktu malam sahaja.

"Kenapa pula Ary nak kena berhenti? Orang lain dekat Parkson atau mana-mana retail outlet dalam dunia ni elok sahaja mereka tu bekerja sekalipun anak dia orang berderet-deret. Ary ni baru sahaja nak masuk seorang. Lagipun Ary bukannya ada masalah apa-apa pun dengan kandungan ni. Cuma penat sedikit aja. Biasalah, bila mengandung memanglah macam ni."

"Memanglah orang lain yang kerja sama bidang dengan Ary tu elok sahaja mereka kerja sambil beranak-pinak. Tapi Ary ni isteri Bi dan Ary tu tengah mengandungkan anak Bi. Bi tak mahu Ary dan baby kita tu mengalami apa-apa masalah.  Lagipun gaji Bi sekarang ni dah lebih daripada mencukupi untuk tanggung Ary dan anak-anak kita nanti."

"Bi... Ary tak nak berhenti kerja sekarang bukannya pasal Ary ragu-ragu sama ada Bi boleh tanggung keluarga kita ni atau tidak. Tapi sebab Ary masih rasa nak bekerja lagi. Lagipun dulu sebelum kita kahwin, bukankah Bi dah janji yang akan tetap benarkan Ary bekerja? Nanti bila anak kita dah dua atau tiga orang, masa tu rasanya barulah sesuai kalau Bi nak minta Ary berhenti kerja."

"Nak tunggu anak kita dah dua tau tiga orang baru nak fikir untuk berhenti? Kalau macam tu baik tak payah. Kalau nak kerja sangat, pergi ajelah kerja tu. Buat aja lah apa yang Ary suka. Zuan malas dah nak masuk campur!"

Habis sahaja berkata begitu, Erdyzuan pantas bangun daripada duduknya dan melangkah keluar daripada rumah. Mukanya ketika itu memang kelihatan merah seperti udang dibakar. Tidak lama selepas itu pula Adriana dapat mendengar bunyi enjin kereta Erdyzuan dihidupkan dan berlalu pergi daripada perkarangan rumah mereka.

Adriana mengeluh perlahan melihat pemergian Erdyzuan itu. Dia tahu suaminya itu sedang marah yang amat. Sepuluh bulan mereka berkahwin, dia semakin faham dengan perangai Erdyzuan. Apabila suaminya itu sudah membahasakan dirinya sebagai Zuan dalam perbualan mereka, maksudnya dia sememangnya sedang marah. Adriana sedar yang Erdyzuan berhak merasa marah kerana dia telah melawan kata-kata suaminya itu dan sesungguhnya berdosa hukumnya buat seorang isteri yang melawan kata-kata seorang suami. Sememangnya dia kesal akan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Tetapi Adriana rasa dia juga berhak menyatakan pendapatnya kerana perkahwinan itu bermakna perkongsian daripada dua hati dan bukanlah keputusan daripada sebelah pihak sahaja.

Apa yang lebih Adriana kesalkan adalah Erdyzuan keluar rumah dalam keadaan marah dan masih lagi belum bersembahyang Maghrib. Jangan haraplah yang suaminya itu akan ada inisiatif hendak bersembahyang Maghrib di luar sana. Lebih-lebih lagi ketika dia meluru keluar tadi, suaminya itu hanya memakai baju-T dan cargo pants yang hujungnya hanya cukup-cukup separas lutut sahaja.

Selama ini Adriana sememangnya sedar yang Erdyzuan itu selalu benar culas bila masuk bab bersembahyang. Tidak pernah sekalipun dia terserempak suaminya itu sedang bersembahyang. Kalau ditanya sudah bersembahyang atau belum, jawapannya semedang aja dah sudah. Kadang-kadang Adriana sendiri merasa ragu, benar kah suaminya itu sudah bersembahyang? Ataupun adakah sebenarnya selama ini suaminya itu hanya berpura-pura sahaja di hadapannya?

Puasa Ramadhan yang sudah dua hari berlalu ini nampaknya Alhamdulillah lah suaminya itu mampu sempurnakan sehari penuh. Itu pun Adriana hanya mengagak daripada cara Erdyzuan yang nampak bersungguh-sungguh benar makan semasa waktu berbuka. Tapi tak tahulah pula kalau-kalau suaminya itu hanya berpura-pura lapar aja di hadapan dia.

Sambil mengusap perutnya yang masih tidak kelihatan perubahan bentuknya itu, fikiran Adriana menganalisis peribadi suaminya itu sendirian. Dia tahu Erdyzuan sememangnya seorang lelaki yang baik kalau ditolak perangai cepat naik anginnya dan sifat berat sebelahnya pada Ermilza itu. Tetapi cukup kah jika suaminya itu sekadar menjadi seorang lelaki yang baik? Kelak bila anaknya ini selamat lahir, mampu kah Erdyzuan menjadi seorang bapa yang baik buat anaknya ini? Bolehkah Erdyzuan diharapkan untuk memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga yang mampu memberi teladan yang baik dan didikan dunia akhirat pada anak-anaknya kelak?

Mengapa ya sebelum berkahwin dengan Erdyzuan dahulu dia langsung tidak pernah terfikir kan fasal ini? Di sebalik sikapnya yang selalu berhati-hati dengan lelaki dahulu, kenapalah dia tidak pernah menduga yang perkara-perkara seperti ini mungkin akan terjadi? Hai, entahlah... Mungkinkah juga ada benarnya kata-kata Kerol padanya sebelum dia berkahwin dahulu???

 

 


 Insyaallah kalau tak ada aral melintang, menegak dan membujur lalu iejay akan masukkan entry setiap hari Jumaat...

Kepada yg tak nak ketinggalan bila iejay update, silalah daftar email anda di bahagian notification tu sebab seperti apa yg iejay war2kan sebelum ini iejay tak pindahkan pun data2 di blog LC ke sini...

Cerita ni membosankan ke? Dari masa ke semasa kalau anda rasa cerita ini membosankan atau dah mula macam klise (sama aje dengan e-novel atau novel orang lain), iejay amat berharap anda boleh mengundi di bahagian poll supaya iejay tak akan lost track semasa menulis lalu buat cerita syok sendiri aje...  



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka (1)  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia