Sunday, January 20, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 1

 

 

"Ni macam mana ni? Takkan lah adik saya nak pakai kemeja ni tanpa butang? Kalau saya bagi awak pakai baju tanpa butang, awak nak pakai ke?"

Pembantu jualan yang mendengar herdikan pelanggan lelaki itu hanya mampu mengeleng-ngelengkan kepalanya pada soalan yang diajukan padanya. Rasa kecut sungguh perutnya ketika ini bila terpaksa melayan pelanggan yang sedang naik angin. Harap muka sahaja kacak tapi panas baran sungguh. Sempat lagi dia mengomel dalam hatinya.

Bila sahaja dia cakap tadi yang baju kemeja tersebut tidak boleh ditukar, terus lelaki itu marah-marahkannya. Bukannya dia tidak mahu beri tukar, tapi dah baju ni tak ada stok lagi. Nak buat macam mana? Masa beli hari tu tak nak tengok betul-betul. Hari ni buat kecoh pula. Walaupun sudah diberitahu tadi alasannya mengapa baju itu tidak dapat ditukar pun tak faham-faham juga pelanggan seorang ni.

"Saya tak kira. Saya nak baju ni ditukar juga!"

Nada suara lelaki itu masih lagi keras dan tinggi.

"Tapi encik... baju ni memang dah tak..."

"Excuse me…ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

Belum sempat pembantu jualan tadi mengulang semula alasannya pada lelaki itu, ada suara lembut yang menyampuk percakapannya. Saat mendengar suara itu, pembantu jualan tersebut segera mengalihkan pandangan pada empunya suara dan mengeluh lega. Alhamdulillah, penyelamatnya sudah datang.

Pada saat yang sama pelanggan lelaki yang tadinya meninggi suara pada pembantu jualan itu turut berpaling sama pada empunya suara lembut tersebut. Terkedu sebentar lelaki itu apabila melihat senyuman manis yang terpamer pada wajah lembut wanita si empunya suara tadi. Dengan baju kemeja warna biru air dan seluar panjang warna hitam yang sepadan dengan coat yang disarungkan, wanita yang berdiri disebelahnya ini tampak sungguh manis dan sofistikated pada mata lelakinya.      

"Kenapa ni Fatin? Ada masalah apa-apa ke?"

Apabila tiada balasan daripada kedua-duanya, wanita itu bertanya pula pada pekerja bawahannya.

"Err…Cik Adriana… customer ni… dia nak tukar baju yang dibelinya kelmarin… sebab…sebab katanya baju yang dibelinya itu tak ada butang. Tapi baju macam yang dia beli tu dah tak ada lagi dekat rak. Dalam stor pun tak ada."

Adriana memandang lembut pada wajah pembantu jualan bernama Fatin yang teragak-agak menjawab dihadapannya. Kasihan pula rasanya tengok muka serba-salah gadis itu. Baru sahaja semalam dia mula bekerja sebagai pembantu jualan di sini, hari ini sudah merasa kena maki-hamun dengan pelanggan. Tidak lama pandangannya pada Fatin, dia memandang pula pelanggan lelaki di sebelahnya.

"Maaf ya encik, boleh saya lihat baju yang encik beli tu?"

Dalam terkebil-kebil pelanggan lelaki itu memandang wanita bernama Adriana itu, dia menyerahkan baju kemeja yang sejak tadi berada di tangannya.

"Hmmm…"

Hanya itu yang terluah pada bibir Adriana kala dia membelek-belek baju kemeja berjenama The Excutive tersebut.

"Baju ni, adik saya beli kelmarin. Bila nak pakai tengok-tengok dua butangnya hilang. Sudahlah butang spare pun tidak disertakan. Dia suruh saya tukarkan sebab dia ada kerja. Tapi your sales assistant ni tak mahu tukarkan pula. "

Tanpa dipinta pelanggan lelaki itu menerangkan masalahnya. Nada suaranya tidak lagi setinggi tadi. Dalam pada berkata matanya masih asyik memerhati wajah Adriana yang khusyuk membelek setiap sudut baju kemeja yang diberinya tadi. Fatin yang memerhati arah mata lelaki itu hanya mencebik bibir meluat melihat tingkah lelaki itu. Tadi masa bercakap dengan Fatin sedikit punya garang. Macam singa lapar sahaja. Tetapi bila bercakap dengan Adriana yang merupakan floor executive ladies department yang cantik molek ni tahu pula nak berbahasa.

"Fatin, baju ni memang sah dah tak ada stok lain ke?"

Adriana memusatkan pandangannya kepada Fatin semula meminta penjelasan. Namun gadis tersebut hanya mengeleng sahaja sebagai jawapannya. Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi, Adriana bertanya sekali lagi.

"Tak ada langsung dah? Saiz lain ke? Warna lain ke?"

"Err… ada satu je yang saya jumpa sama jenis. Itupun warna lain dan saiz XL. Baju ni dah letak dalam rak 50% tu cik Adriana."

Adriana mendengar Fatin menajwab perlahan. Patutlah dah tak ada stok lain baju kemeja ni sebab dah masuk dalam kumpulan baju yang diberi diskaun. Biasanya baju yang diberi diskaun sehingga 50% ni adalah baju yang sudah out of season atau tiada stok lagi. Kalau ditanya pada supplier pun pastinya mereka juga  tidak mempunyai stok lagi. Jadi sekarang ni memang salah pembeli di sebelahnya ini pun sebab tak lihat betul-betul sebelum membeli baju kemeja tersebut. Sepatutnya sebelum membeli, pembeli kena semak betul-betul sama ada baju ini masih sempurna atau tidak keadaannya. Lebih-lebih lagi pada barang yang diberi diskaun.

Selalunya peruncit yang besar dan mempunyai nama tidak akan sesuka hati memberi diskaun pada barang mereka. Contoh terdekat syarikat tempat dia bekerja ini Parkson KLCC.  Peruncit lain yang besar seperti Metrojaya dan Isetan pun begitu. Kalau Carrefour dan Giant tu lainlah ceritanya. Sudah memang konsep perniagaan mereka itu menawarkan barangan pada harga murah.

Peruncit yang mempunyai nama seperti yang disebutnya tadi hanya akan beri diskaun apabila musim jualan tahunan atau sambutan ulangtahun sahaja. Itupun biasanya diskaun hanya diberi pada barang-barang yang telah agak lama berada dipasaran. Kalau barang yang masih baru jangan haraplah akan diberi diskaun. Kalau ada pun mungkin setakat 10% hingga 20% sahaja.

Melihat pada wajah pelanggan lelaki disebelahnya itu dan berdasarkan pada kekecohan yang ditimbulkannya tadi memang payah rasanya nak memahamkan si pelanggan kalau setakat nak beri penjelasan berkaitan polisi mereka sahaja. Nampaknya dia kena cuba mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah ini. Kalau tidak, akan makin bisinglah pelanggan lelaki ini.

Tengok sahaja pada lagaknya tadi semasa meninggikan suara pada Fatin. Hampir satu tingkat Parkson KLCC ni boleh dengar suara dia. Kerana itulah tadi Adriana cepat-cepat datang ke bahagian ini dan cuba meredakan kekecohan dari terus berlanjutan. Lagipun ini memang sudah menjadi salah satu tugasnya sebagai Executive Floor Ladies Department Parkson. Sudahlah Parkson KLCC ini cawangan Parkson dalam kategori A. Jadi sebagai salah seorang eksekutif yang berkuasa di sini kenalah dia membantu untuk menjaga nama baik dan status yang dipegang.

"Fatin, tolong ambilkan untuk saya baju kemeja yang awak kata sama jenis tapi lain saiz dan warna tadi."

Pantas sahaja Fatin berpusing dan mengambil baju yang dinyatkannya tadi untuk diberi pada Adriana. Fatin tidak pasti apa yang eksekutifnya itu mahu buat, tetapi diikutkan sahaja arahan yang diberi. Setelah dua hari bertugas di sini ada juga dia dengar cerita-cerita daripada pembantu jualan yang lebih senior, Cik Adriana ini memang baik dan tangkas bekerja orangnya walaupun masih lagi muda. Adriana ni juga jenis yang lembut dan tidak suka marah-marah pada pembantu jualan yang bertugas di bawah seliaannya. Dia juga seorang yang sentiasa rasional dalam melaksanakan tugasnya.

Adriana membelek baju yang diberi oleh Fatin dan kemudiannya tersenyum lebar. Saat melihat butang pada baju yang diberi oleh Fatin sama sahaja warnanya dengan butang pada baju yang telah dibeli oleh pelangannya, timbul idea dalam kepalanya untuk menyelesaikan masalah pelanggannya itu. Seraya itu dia memandang pelanggannya dan menghadiahkan senyuman sebelum berkata-kata.

"Okay macam nilah… saya akan selesaikan masalah baju yang tak ada butang ni. Tapi boleh tak encik beri saya masa sejam? Nanti encik datang balik sini dan ambil semula baju encik ni ya."

Selepas melihat seketika jam yang terletak pada tangannnya, baru lelaki itu memberikan keputusannya.

"Kalau macam tu nanti selepas waktu pejabat saya tamat sahajalah saya datang semula. Pukul enam petang. Sekarang ni saya nak kena masuk ke pejabat semula. Waktu rehat saya pun dah tamat."

"Oh…maafkan kami ya kerana menyusahkan encik. Pejabat encik di mana?"

Sekadar berbasa-basi, Adriana bertanya. Hati pelanggan memang harus dijaga sentiasa. Dalam bidang perniagaan ada falsafah yang harus sentiasa diingati. Apabila ada seorang pelanggan tidak puas hati, dia akan memberitahu sepuluh orang yang dikenalinya tentang apa yang dialaminya. Ini bermakna sekiranya seorang pelanggan melangkah keluar daripada Parkson ini dengan rasa tidak puas hati, ada kemungkinan mereka akan kehilangan sebelas orang pelanggan di masa hadapan.      

"Tak apa. Pejabat saya dekat tower two sahaja."

"Oh, tak jauhlah kan kalau nak datang sini semula? Kami minta maaf sekali lagi ya di atas kesulitan ini."

"Never mind, it's okay."

Akhirnya lelaki itu berlalu pergi daripada situ dengan sebuah senyuman dihadiahkan pada Adriana. Adriana membalas senyuman lelaki itu seadanya.

Setelah lelaki itu melangkah pergi, Fatin hanya mencebik. Adriana yang melihat cebikan di mulut Fatin itu menegur gadis itu.

"Fatin kenapa mencebik? Tak elok tahu buat pelanggan macam tu?"

"Dia tu banyak songehlah cik Adriana. Saya cakap langsung tak nak dengar. Masam je muka tu. Sesuka hati dia je nak marah-marah saya. Tapi bila cik Adriana yang bercakap, pandai pula dia nak tersenyum. Menyampah saya."

Adriana tergelak mendengar ulah Fatin, gadis yang baru berusia 18 tahun itu.

"Sabarlah Fatin. Awak pun baru dua hari dekat sini. banyak lagi yang awak nak kena belajar. Tak apa saya tak salahkan awak pun. Saya faham awak dah beri alasan yang sepatutnya, cuma pelanggan tu je nak naik angin tak tentu pasal. Kasihan awak, baru dua hari kerja dah kena maki. Lama-lama nanti awak biasalah menghadap orang macam tu. Pelanggan ni macam-macam rupa yang ada. Dahlah saya nak uruskan baju ni dulu. Nanti kalau pukul enam tak siap juga, mahunya runtuh pula satu SURIA KLCC ni lelaki tadi buat."

"Err… macam mana cik Adriana nak betulkan baju yang tak ada butang tu? Kedua-duanya tu kan berlainan warna dan saiz?"

Adriana hanya tersenyum mendengar pertanyaan Fatin.

"Saya nak buat magic!"

Sebuah kenyitan dihadiahkan pada Fatin sebelum Adriana pantas berlalu daripada bahagian itu bersama kedua-dua baju kemeja tadi ditangannya.



iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:15 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia