Sunday, February 10, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 3

 

 

Adriana menghempaskan tubuhnya di atas katil bujang miliknya setelah tudungnya ditanggalkan. Dia kepenatan. Jam di sisi meja menunjukkan waktu sekarang ialah 12.30 pagi. Perutnya terasa lapar tetapi dia sudah tidak larat untuk bangun semula dan mencari sesuatu untuk dimakan di dapur.

Tadi memanglah ada Zuan mengajak dia singgah makan dahulu sebelum lelaki itu menghantarnya ke rumah, tetapi dia telah menolak dengan alasan sudah kenyang. Terasa tidak patut pula sekiranya dia mahu menerima tawaran lelaki itu kerana mereka baru sahaja berkenalan beberapa jam yang lalu. Menumpang lelaki itu sampai ke rumah pun sudah seperti memperjudikan nasibnya sahaja rasanya.

Dia masih tidak tahu bolehkah lelaki yang semalamnya mengamuk di Parkson macam singa lapar dan nampak baik di hadapannya hari ini dipercayai sepenuhnya? Kalaulah Kerol tahu dia berani menumpang Erdyzuan iaitu lelaki yang baru dikenalinya tidak sampai sejam, mahunya teman itu mengamuk dengannya.

Baru sahaja dia mengingatkan tetang Kerol, kedengaran telefon bimbitnya berbunyi dengan nada yang dikhaskan untuk menandakan ada panggilan daripada temannya itu.

"Assalamualaikum, Kerol"

"Waalaikumsalam, kau dah sampai ke Ary?"

"Dah, baru je sampai."

"Kau balik dengan siapa tadi?"

"Err... aku tumpang kawan aku. Dia kerja dekat Tower KLCC. Kebetulan aku terserempak dengan dia tadi."

"Okaylah, kalau macam tu. Aku balik KL hujung minggu ni. Maaflah tak sempat nak beritahu kau awal-awal yang aku nak pergi JB. Pagi tadi aku dapat arahan mengejut untuk ke JB."

"Tak ada apalah Kerol. Jaga diri kau baik-baik. Okaylah aku nak tidur dah. Esok aku kena kerja pagi."

"Good night then."

Kerol telah memutuskan taliannya. Sesungguhnya ada rasa bersalah terselit di sudut hati Adriana kerana tidak menjelaskan dengan sepenuhnya siapa yang menumpangkannya tadi. Selama ini dia tidak pernah menyorokkan apa-apa pada Kerol. Kali ini kerana Erdyzuan, dia sanggup menipu Kerol buat pertama kalinya dalam persahabatan mereka.

Dia sendiri tidak pasti istimewa sangatkah Erdyzuan yang baru dikenalinya sebentar tadi sehingga dia sanggup menyorokkan perihal lelaki itu dariada Kerol. Tetapi setiap kali dia menyebut nama lelaki itu ketika ini, ada satu rasa yang indah yang berkembang di hatinya. Nak kata dia sudah jatuh cinta pada Erdyzuan macam tidak masuk akal pula rasanya kerana tempoh perkenalan mereka tidak sampai pun satu malam lagi. Di saat-saat menantikan matanya terpejam ketika ini dia kembali teringatkan perbualan mereka berdua di dalam kereta lelaki itu tadi.

 

 

 

 

"Adriana tinggal dengan siapa ya dekat Desa Setapak tu?"

Ketika ini, Erdyzuan baru sahaja menggerakkan keretanya keluar daripada tempat parkir bangunan Public Bank dan memandu tenang dalam kesesakan kecil di Jalan Yap Kwan Seng.

"Dengan kawan-kawan. Saya sewa bilik sahaja dekat sana. Tapi hubungan dengan teman serumah kira baiklah juga."

"Habis tu, kampung Adriana dekat mana?"          

"Saya mana ada kampung halaman."

"Tak ada kampung? Habis ibu bapa Adriana duduk dekat mana?"

"Saya anak yatim piatu. Dah tak ada ibu bapa lagi. Dari kecil saya tinggal dekat rumah anak yatim di Ipoh. Kata penjaga di sana, ibu bapa saya dah meninggal dunia sejak saya kecil lagi. Semasa saya di universiti, rumah anak ytim tu ditutup. Sejak tu saya hidup bersendirian dan belajar berdikari."

"Oh, maafkan Zuan ya sebab bertanya."

"Tak apa, saya tahu Zuan bukannya sengaja pun. Lagipun Zuan tak tahu. Saya tak kisah sangat sebab dah biasa sejak kecil dengan situasi macam ni."

"Adriana tak ada keluarga angkat ke?"

"Tak ada. Dulu masa dekat rumah anak yatim tu saya seorang sahaja yang tak pernah dianak-angkatkan oleh sesiapa. Budak-budak lain semuanya bersilih ganti keluar masuk sebab diambil orang. Ada tak ada pun keluarga kawan-kawan masa di universiti dulu sahaja. Itupun secara tak rasmi sebab saya selalu ikut dia orang balik kampung."

"Tak apalah. Nanti suatu hari nanti Adriana kahwin tentu sahaja dapat keluarga sendiri masa tu."

"Jauh lagi rasanya. Tak terfikir lagi pun nak kahwin dalam masa terdekat ni."

"Jodoh kita bukan boleh di duga. Entah-entah lagi dua atau tiga bulan, tiba-tiba Adriana dah hulur kad jemputan kahwin dekat Zuan. Hmm... umur Adriana berapa ya?"

"Tahun ni umur saya 20..."

"20 tahun? Ishh, mudanya... tak kanlah baru umur 20 tahun Adriana dah boleh dapat jadi floor executive dekat Parkson tu?"

"Tadi tak habis cakap lagi lah... umur saya tahun ni 20 campur 6."

"26 tahun? Oh, sama baya dengan adik perempuan Zuan lah ni. Dulu Adriana belajar dekat mana?"

"Dekat Universiti Teknologi Mara. Saya buat Diploma Pengajian Perniagaan dekat Melaka. Habis diploma terus sambung Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dekat Shah Alam majoring dalam bidang Retail. Masa tahun akhir buat praktikal dekat Parkson Grand Klang Parade dan lepas habis je belajar terus dapat tawaran jadi Eksekutif dekat Parkson Grand Plaza Metro Kajang. Tahun lepas dipindahkan ke Parkson KLCC."

"Amboi, Zuan tanya sedikit sahaja tapi dia terus jawab detail."

Adriana hanya tergelak kecil mendengar komen Erdyzuan. Lidahnya dijelirkan sedikit tanda kesilapan katanya. Sememangnya sudah menjadi habit lidahnya akan terjelir sedikit apabila dia tersilap cakap sesuatu. Erdyzuan turut tertawa apabila melihat sekilas telatah Adriana itu.  

"Yalah, Zuan tanya saya satu-persatu macam soalan temuduga kerja sahaja. Ary tolong permudahkan sahaja."

"Ary?"

Erdyzuan bertanya meminta kepastian apabila tiba-tiba terdengar Adriana membahasakan dirinya sebegitu.

"Kawan-kawan semua panggil saya macam tu. Singkatan pada nama Adriana."

"Kalau Zuan panggil Adriana dengan nama Ary juga boleh?"

"Boleh, apa salahnya. Bukan kena daftar dulu pun."

"Ohh... eksekutif Parkson pun pandai loyar buruk ya? Ary ni orang apa ya sebenarnya? Sebab wajah Ary ni tak macam melayu sangat pun."

Erdyzuan bertanya soalan yang paling ingin diketahuinya sejak memandang wajah Adriana buat pertama kalinya semalam. Muka gadis di sebelahnya ini sememangnya nampak unik. Matanya agak kecil tetapi bukanlah sepet. Anak matanya berwarna seakan-akan coklat hazel dan dia amat pasti bukannya kerana penggunaan kanta lekap. Kulitnya pula cerah, tapi bukan macam kebanyakan orang cina ataupun melayu yang berkulit putih.

"Ary pun tak tahu Ary ni bangsa apa sebenarnya. Kalau ikut surat beranak, bangsa ibu Ary dalam tu ditulis Kadazan. Ayah pula tak ada tertulis apa bangsanya. Cuma ada tertulis bukan warganegara dan namanya Ahmadi Edward. Gambar mereka satu pun Ary tak pernah tengok. Kenangan dengan mereka pula tak begitu jelas. Kadang-kadang Ary masih ingat macam mana suara mereka, tapi wajah mereka langsung tak dapat ingat. Kata umi yang merupakan penjaga rumah anak yatim tempat Ary menetap dahulu, Ary dihantar ke situ sejak Ary berumur empat tahun lagi."

Dalam nada lirih Adriana bercerita tentang asal-usulnya. Tanpa sedar, begitu mudah dia bercerita dengan Erdyzuan tentang sejarah hidupnya yang samar-samar itu. Selalunya dia seorang yang begitu payah hendak berkongsi cerita tentang dirinya dengan orang yang tidak begitu dikenalinya. Lebih-lebih lagi dengan seseorang yang baru dikenalinya tidak sampai dua jam lamanya.

"Kasihan Ary ya dari kecil lagi tak kenal siapa ibu bapa Ary. Zuan akan doakan satu hari nanti Ary akan mempunyai keluarga sendiri seperti orang lain. Kalau masa lapang Ary selalu buat apa ya?"

"Insyaallah. Kalau cuti Ary lebih suka duduk rumah je. Buatlah apa yang patut. Baca buku ke, cuba-cuba memasak ke. Nak pergi berjalan-jalan pun bosan juga sebab enam hari seminggu dah asyik menatap KLCC je. Hei, daripada tadi kita asyik bercerita fasal Ary je. Ary tak tahu apa-apa pun fasal Zuan. Mana aci macam ni."

Erdyzuan tergelak kecil apabila mendengar Adriana membantah kerana asyik bercerita fasal dirinya sahaja. Nada suaranya kedengaran sedikit manja dan begitu memikat di telinganya.

"Okay sekarang ni Zuan ceritakan fasal diri Zuan pula. Hmm... nak mula daripada mana ya? Sekarang ni Zuan menetap dengan emak dan seorang adik perempuan di Seksyen 5. Zuan memang dua beradik je. Kerja dekat tower two macam yang Zuan cakap semalam. Jurutera Kanan di Murphy Sarawak Oil Company Ltd. Sebuah syarikat Oil and Gas yang beribu pejabat di USA. Ofis dekat tingkat 26. Dulu belajar dalam bidang O&G juga dekat Univeristy of Tesside, Middlesbrough United Kingdom. Umur sekarang 33 tahun.Masih bujang dan masih mencari calon isteri. Apa lagi ya nak cerita?"

"Nak cerita apa lagi? Dah nak sampai pun rumah Ary. Zuan berhenti tepi kedai tu jelah. Nanti dari situ Ary jalan kaki je."

"Eh, tak apalah. Ary tunjuk je arah sampai rumah. Dah malam sangat ni. Bahaya pula kalau Ary jalan seorang diri nanti."

Mendengar alasan ErdyZuan itu, Adriana hanya mengangkat bahunya tanda malas nak bertelagah lagi. Pada Adriana, tak ada bahaya mana pun kawasan ini kalau berjalan ketika lewat malam sekalipun kerana kawasan rumahnya ini begitu dekat dengan gerai-gerai makan yang akan beroperasi sehingga jam dua atau tiga pagi. Tambahan lagi kawasan perumahan di Desa Setapak ini sentiasa hidup kerana sebahagian besar penduduknya adalah pelajar daripada Kolej TAR.

Seketika setelah menunjukkan jalan yang perlu dilalui, kereta Erdyzuan akhirnya berhenti betul-betul di hadapan rumah Adriana. Baru sahaja Adriana mahu melangkahkan kakinya keluar daripada kereta Honda CRV Erdyzuan, lelaki itu menegurnya.

"Ary, boleh kita berjumpa lagi lain kali?"

Adriana hanya menghadiahkan senyuman nipis pada lelaki itu sebelum membalas ringkas.

"Zuan tahu dekat mana nak cari Ary di KLCC tu kan? Terima kasih sebab tumpangkan Ary tadi. Selamat malam."

Erdyzuan hanya memandang Adriana berlalu keluar daripada keretanya dan terus masuk kedalam rumahnya.

'Kasihmu kuterima Adriana...'

Hati Zuan berbisik nakal. 



iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:25 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia