Tuesday, March 11, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 5

 

 "Kau daripada mana ni Edy? Aku ingatkan tadi nak ajak kau pergi makan dekat BSN sana tu."

Charles menegur Erdyzuan yang nampak agak sugul menapak masuk ke dalam ruang pejabatnya. Sebentar tadi, dia ingatkan nak ajak teman sekerjanya itu pergi makan di seberang KLCC iaitu gerai-gerai yang terletak di sebelah bangunan BSN itu. Tetapi menurut pembantu Erdyzuan, seawal jam 12.15 tengah hari lagi temannya ini sudah menghilangkan dirinya daripada pejabat.

"Aku pergi Parkson tadi."

"Parkson? Kau pergi jumpa awek eksekutif Parkson kau tu ke?"

"Hmm... aku pergi cari Ary tadi tapi dia tak ada. Masuk hari ni dah tiga hari dia tak masuk kerja."

Lemah sahaja suara Erdyzuan menjawab. Sememangnya sudah tiga hari dia cuba mencari Adriana di Parkson bila sahaja ada kesempatan untuk dia melarikan diri seketika daripada pejabatnya, tapi bayang gadis itu langsung tidak kelihatan. Hari pertama dia diberitahu Adriana demam dan mengambil cuti sakit. Hari kedua Adriana dikatakan masih menyambung cuti sakitnya dan hari ini pula gadis itu mengambil cuti kecemasan. Hari pertama dia masih boleh percaya yang mungkin benar Adriana memang tidak sihat. Hari kedua dia mula terasa ragu bila Adriana masih tidak lagi kelihatan di Parkson kerana setahunya jarang benar ada doktor yang akan memberi cuti sakit melebihi sehari sekadar untuk sakit kerana demam.

Tetapi hari ini, di hari ketiga dia memang sudah tidak percaya lagi Adriana masih sedang bercuti seperti yang dikatakan oleh pembantu jualan di bahagian pakaian wanita Parkson itu. Oleh sebab itu sejak jam 12.15 tengah hari lagi dia sudah merayau di sekitar Parkson untuk mengintai bayang Adriana. Entah mengapa dia merasakan Adriana kini sebenarnya sedang cuba melarikan diri daripada dirinya maka kerana itulah gadis itu menyorok bila dia datang ke Parkson dan menyuruh pembantu jualannya mengatakan pada Erdyzuan yang dia masih bercuti lagi. Namun sangkaan bodohnya itu ternyata meleset kerana sememangnya semenjak jam 12.15 sehingga jam dua petang dia cuba mengintai bayang Adriana di sekitar Parkson, langsung tidak kelihatan wajah gadis itu.

"Kenapa lemah sahaja suara kau ni? Macam orang putus cinta sahaja gayanya. Kau gaduh dengan dia ke sampai tiga hari kau asyik cari dia dan kau tak tahu langsung dia sedang bercuti? Kau tak cuba telefon dia ke?"

Mendengarkan soalan itu Erdyzuan merenung tampang Charles, anak bumi Kenyalang keturunan Iban di hadapannya itu dengan pandangan tajam.

"Hei, kenapa kau pandang aku macam tu sekali? Aku dah salah tanya soalan ke?"

Charles yang perasan renungan tajam Erdyzuan padanya, segera menegur maksud pandangan temannya itu. Namun Erdyzuan hanya mengeluh perlahan sahaja sebelum lambat-lambat menjawab soalan Charles tadi.

"Kami tak ada bergaduh apa pun. Cuma lepas daripada aku melamar dia petang Ahad tu, dia terus menyepi. Aku telefon dia pun, langsung tak dihidupkan taliannya."

"Kau melamar dia? Melamar jadi isteri kau ke?"

"Ya lah, takkanlah aku nak lamar dia jadi orang gaji aku pula."

Erdyzuan merenung dengan sedikit marah pada Charles yang bertanyakan soalan bodoh itu padanya. Sebagai teman rapatnya di pejabat ini, Charles memang sudah maklum akan hubungannya dengan Adriana yang selalu dirujuknya sebagai awek eksekutif Parkson itu. Segala cerita tentang bagaimana perkenalannya dengan Adriana bermula ada dalam poket temannya itu.

"Wau, kau ni memang dah nekad nak kahwin ke?"

"Ya, memang aku dah nekad walaupun kami baru sahaja berkenalan tak sampai tiga bulan. Pada aku, Ary tu lain daripada kebanyakan gadis yang aku pernah kenal. Dia unik dengan caranya yang tersendiri. Dia sentiasa menjaga kelakuan dia, kata-kata dia dan maruah dia sebagai wanita. Dia bukannya gadis jenis bimbo. Tahun ni aku dah masuk umur 33 tahun, Charles. Sepatutnya aku dah mula mempunyai keluarga sendiri saat ini. Ada isteri dan anak-anak. Salah ke Charles kalau aku lamar dia walaupun kami kenal tak sampai tiga bulan?"

"Tak... Tak salah pun. Alah, ada sesetengah orang tu baru sehari jumpa dah boleh jatuh cinta dan minggu depannya dah ambil keputusan nak kahwin. Tiga bulan tu, aku kira dah cukup untuk diri kita mengenali dan menyukai seterusnya menyayangi seseorang. Lagipun kalau memang hubungan kau dan dia menjadi, kau ada seumur hidup untuk lebih mengenali dia. Tapi, aku yakin lepas ni mesti semua awek-awek dekat KLCC ni akan buat acara pembunuhan diri beramai-ramai bila kau dah kahwin dengan awek eksekutif Parkson kau tu."

Seraya itu kedengaran Charles ketawa besar selepas meluahkan pendapatnya itu.

"Hah, apa ke hal pula sampai nak buat pembunuhan diri beramai-ramai? Apa kena mengena aku nak kahwin dengan perempuan-prempuan di KLCC ni?"

"Kau kan don juan yang terkenal dekat KLCC ni? Lepas ni habislah merana si Amy, Sheila, Tina, Bella, Minah..."

"Woi... woi... bila masa pula aku ni jadi don juan, hah? Entah siapa-siapa punya nama yang kau sebut tu pun aku tak kenal. Kau ingat aku ni duta KLCC ni ke sampai semua perempuan dekat KLCC ni kononnya kenal dan suka dekat aku?"

Belum sempat Charles habis menyebut nama barisan wanita yang entah siapa-siapa itu, Erdyzuan sudah memotong kata-katanya itu dengan rasa sedikit geram. Bengang dan geram dibuatnya dia kerana digelar sebagai don juan oleh sahabtanya sendiri. Namun Charles hanya tergelak-gelak sahaja melihat wajah Erdyzuan yang sudah mula merah bagaikan udang dibakar kerana terasa dengan kata-katanya itu.

Bagi Erdyzuan, dia tahu yang dia bukanlah seorang kaki perempuan. Ya memang sebelum-sebelum ini dia pernah keluar dengan pelbagai jenis perempuan. Daripada yang kerja biasa-biasa hinggalah yang berpangkat tinggi daripada dirinya sendiri. Daripada yang berasal dari kampung hinggalah kepada yang anak Raja sekalipun. Namun semua hubungannya itu tidak pernah menjadi. Seminggu dua atau paling lama sekalipun sebulan atau dua selepas berkenalan dengan perempuan-perempuan itu dia sudah tiada hati hendak meneruskan hubungan denagn mereka-mereka itu lagi.

Lagipun dia ini kan lelaki. Tentulah dia perlu mencari calon kekasih dan seterusnya calon isteri untuk dirinya sendiri. Maka kerana itulah dia perlu cuba berkenalan dengan seramai gadis yang mungkin untuk mencari seseorang yang boleh dijadikan teman hidupnya sepanjang hayatnya, menantu kepada ibunya, kakak ipar kepada adiknya dan ibu kepada anak-anaknya kelak.

Entah mengapa setiap kali dia berkenalan dengan mana-mana perempuan, dia hanya asyik cuba mencari di mana sifat negatif si wanita itu yang boleh dijadikan alasan untuknya memutuskan hubungan mereka. Tetapi tidak pula dia sebegitu bila mula mengenali Adriana. Dengan Adriana, dia sentiasa memandang akan kesempurnaan si gadis dan ingin menonjolkan yang terbaik tentang dirinya supaya dia akan kekal menjadi sebahagian daripada hidup Adriana.

"Rilekslah kawan, aku gurau sahaja tadi tu. Muka kau tu aku tengok macam tengah tension sungguh. Kalau ya pun dah tiga hari kau tak dapat jumpa dan tak dapat hubungi awek eksekutif Parkson kau tu, janganlah tension sangat. Paling-paling awek eksekutif Parkson kau tu masih lagi kerja dekat Parkson tu kan? Lainlah kalau kau lamar dia, terus dia pergi berhenti kerja, tukar nombor telefon dan pindah rumah."

"Kau tak faham perasaan aku. Kalau kau dekat tempat aku ni Charles, kau akan faham apa yang ada dalam hati aku ni. Perit rasanya hati ini bila kita dah pilih seseorang wanita itu untuk diletakkan di tempat yang khas di hati kita tapi dia hanya menyepi sahaja tanpa sebarang jawapan mahupun petanda sama ada nak terima atau tidak."

"Ho... ho... kau ni apa hal melankolik sungguh, hah? Tahulah kau dah betul-betul tangkap cintan dengan awek eksekutif Parkson kau tu, tapi janganlah jiwang karat sampai macam ni sekali. Heh, setahu aku Erdyzuan yang aku kenal selama ni tak pernahnya nak layan blues. Tak sangka betul kuasa cinta awek eksekutif Parkson kau tu boleh buat kawan aku yang sangat-sangat macho ni jadi lembik macam ni sekali."

"Suka hatilah kau nak kata apa. Nak kata aku ni lembik ke, aku ni dah tak macho ke, aku tak ada masa nak ambil peduli semua tu. Aku tengah pening ni fikir dekat mana aku nak cari Ary."

Erdyzuan hanya menjawab lirih tempelak Charles. Dia sendiri sudah rasa macam nak demam sahaja rasanya sejak dua tiga hari ini. Dia benar-benar sudah rasa lemah badan dan juga perasaan, mengenangkan kesenyapan Adriana sejak tiga hari yang lalu. Biarlah Charles nak kata dia lemah atau apa sekalipun hanya kerana cintanya pada Adriana, dia tidak akan kisah. Temannya itu setahu dia tidak pernah serius dengan mana-mana wanita. Katanya belum masanya lagi untuk dia benar-benar serius pada satu perhubungan sahaja. Erdyzuan ini seperti Charles juga dahulu. Tidak pernahnya hendak mempunyai hubungan serius dengan mana-mana wanita. Tetapi sejak mengenali Adriana, hati lelakinya ini semakin yakin dengan apa makna cinta sebenar Adam dan Hawa. Dia sudah tidak mampu lagi untuk berpaling pandang pada wanita lain. Padanya Adriana adalah selengkap-lengkap wanita. Wanita yang pastinya menjadi dambaan kebanyakan lelaki sebagai pelengkap hidup mereka.

"Alah, apa yang kau nak susah hati sangat. Kau tak dapat cari dia dekat Parkson tu, kau telefon pun tak dapat, kau pergi aje lah ke rumah dia tu. Kau tahu awek eksekutif Parkson kau tu tinggal dekat mana kan?"

Bila mendengar saranan Charles itu, Erdyzuan terasa macam nak hantuk kepala dia ke dinding sahaja. Kanapalah dia tidak pernah terfikirkan cara itu sejak tiga hari lalu? Telah beberapa kali dia pernah menghantar Adriana sampai ke hadapan rumah sewaan si gadis itu, jadi sudah tentu dia tahu di mana Adriana tinggal. Tapi macam mana pula kalau Adriana tidak mahu juga berjumpa dengannya bila dia sudah ada di hadapan rumah gadis itu nanti? Lalu apa yang perlu dibuatnya?

"Kalau aku pergi rumah dia sekalipun, dia tak mahu juga jumpa dengan aku macam mana?"

Erdyzuan bertanya pada Charles. Meluahkan keraguan yang bermain di hatinya seketika tadi.

"Kalau dia mengelat tak mahu jumpa kau juga, kau tunggulah depan pintu rumah dia sampai dia keluar. Takkanlah dia nak menyorok selama-lamanya dalam rumah dia tu. Nak tak nak dia kena keluar juga untuk pergi kerja. Tak pun kau bunyikan hon kereta kau sepanjang masa dan ugut kata kau tak akan berhenti buat macam tu selagi dia tak mahu jumpa kau. Amacam idea aku tu?"

"Gila! Silap-silap dia dengan teman serumahnya panggil polis pula sebab kata aku ni mengganggu ketenteraman dia orang. Balai polis Wangsa Maju dengan rumah dia dekat Desa Setapak tu bukannya jauh mana sangat pun."

"Itu cadangan aku sahaja. Kau pun janganlah terus jadi gila pergi membabi buta ikut cadangan aku tu. Itu hanya pelan kecemasan sahaja. Cubalah dulu pergi rumah dia. Mungkin dia betul-betul ada masalah lain sebab itulah tak datang kerja sampai tiga hari dan bukannya dia nak larikan diri daripada kau. Aku rasa kau ni semenjak dua ni asyik pesimis sahaja. Setahu aku, Erdyzuan ni seorang yang sentiasa optimis dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi dalam bab perempuan."

"Kau tu tak pernah jatuh cinta macam aku, bolehlah mengata aku macam-macam. Esok-esok bila kau dah benar-benar jatuh cinta macam mana aku ni sayang sangat dekat Adriana tu, kau sendiri akan pelik dengan apa yang dah jadi pada kau. Kau akan rasa sendiri masa tu yang kau tiba-tiba sahaja berubah 360 darjah semata-mata kerana cinta seorang wanita tahu tak?"

"Hahaha... aku akan tunggu ketibaan hari tu. Aku pun teringin juga nak rasa macam yang kau rasa. Lebih-lebih lagi kalau dapat rasa jatuh cinta dengan seorang perempaun yang sesopan awek eksekutif Parkson kau tu."

"Hei, kau nak jatuh cinta dengan orang lain aku tak akan kisah. Tapi kalau dengan Adriana aku tu jangan nak sesekali nak bermimpi. Langkah mayat aku dulu kalau kau nak mengurat dia tu."

"Apalah kau ni, aku cuma buat perumpamaan sahaja bukannya aku betul-betul nak rampas awek eksekutif Parkson kau tu. Tapi kalau betul dia nak jatuh cinta pada aku, seluas lautan aku sanggup tadahkan untuk cinta dia tu. Sudahlah tu, aku nak balik bilik aku buat kerja. Lagi berfaedah aku habiskan kerja aku tu daripada layan orang angau macam kau ni. Kau tu, habis waktu pejabat karang, pergi sahajalah ke rumah dia. Tanya dia elok-elok, pujuk dia baik-baik. Perempuan, bukankah orang kata hatinya itu macam kerak nasi. Lama-lama lembutlah hatinya itu bila disiram dengan kata-kata romantis. Lagi-lagi ayat jiwang karat don juan macam kau ni."

Selepas berkata begitu, Charles terus berlalu dengan gelak tawanya sendiri. Sempat dihadiahkan sebuah kenyitan buat temannya itu sengaja untuk mengusik. Erdyzuan pula hanya mampu mengetap bibirnya tanda geram dengan usikan temannya itu. Mendengarkan kata-kata Charles tadi hendak mengurat Adriananya walaupun sekadar mengusik sahaja membuatkan dia terasa seperti hendak menghadiahkan sebiji penumbuk sahaja pada muka teman baiknya itu.

Selepas Charles berlalu daripada biliknya, Edyzuan cuba menghadap kerja-kerja pejabatnya yang agak menimbun dan tertangguh sejak dua tiga hari lalu kerana asyik memikirkan Adriana yang tiba-tiba menyepi daripada dirinya. Walaupun Adriana ada kata jangan cari dia lagi, dia tetap akan mancari gadis itu. Dia tidak sanggup kehilangan Adriana daripada hidupnya. Dia sayangkan Adriana sungguh-sungguh. Ketika ini dia sudah nekad, walau apa pun yang terjadi dia tetap akan memastikan Adriana menjadi isterinya. Untuk itu sebagai langkah pertama, dia mesti berjumpa dengan Adriana hari ini juga. Selepas waktu pejabat karang dia akan ke rumah Adriana dan berjumpa dengan gadis itu. Tidak kira apa caranya pun, hari ini Adriana tidak boleh lagi mengelat daripada dirinya.

Let it be by hook or by crook. Hari ini Erdyzuan akan membuat perhitungan dengan Adriana. Hari ini akan dipastikan Adriana menerima lamarannya. Itu tekad seorang Erdyzuan.

 

 

 

 

 


Iejay tengah dalam mood big 'M' dan masih sibuk edit LC. Progress 60% siap edit... No new recipe sebab malas nak masak apa-apa lately ni.... dan ini adalah sedutan episod akan datang yang tidak tahu bila akan ada....

 

 

 

"Zuan! Apa awak buat dekat sini ni? Awak gila ke masuk bilik saya?"

Adriana yang tadinya leka membaca novel sendirian, benar-benar terkejut apabila baru perasan Erdyzuan sedang berdiri bersandar pada muka pintu biliknya sambil merenungnya tajam. Menyedari rambutnya yang kini sedang terdedah, pantas ditarik hud baju sejuknya untuk menutup rambutnya itu.

 Jantung Adriana berdetak keras melihat kedatangan Erdyzuan secara mengejut ke rumahnya ini. Lebih menakutkan bila kini lelaki itu sedang berdiri di dalam biliknya. Sudahlah teman serumahnya semua sudah keluar ke Jusco Alpha Angle sejak lepas fardhu Maghrib tadi. Apa yang lelaki ini hendak buat padanya? Bukankah kalau hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berada dalam satu ruang, akan ada syaitan sebagai orang ketiga di antara mereka? Bukankah syaitan itu kerjanya hanya menyesatkan anak Adam? Ya Allah, tolonglah jangan dirinya ini diapa-apakan oleh Erdyzuan...   



iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:29 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia