Friday, April 04, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 7

 

 

 "Ary dah fikirkan jawapannya?"

Adriana menoleh sekilas wajah Erdyzuan di sebelahnya itu yang baru sahaja bertanyakan soalan kepadanya tetapi matanya daripada tadi masih asyik memandang ke arah langit malam. Ketika ini mereka berdua sedang bersandar pada kereta Honda CRV Erdyzuan yang elok terparkir di hadapan pintu pagar rumah Adriana.

"Zuan tanya soalan tu pada siapa?"

"Pada Arylah. Siapa lagi aje yang ada dekat sini selain kita berdua?"

Mata Adriana sekali lagi mengilas ke kiri dan kanannya cuba melihat-lihat kalau ada orang lain yang berdekatan dengan mereka ketika ini. Tetapi dalam penglihatannya yang agak terhad kerana kegelapan malam ini, tiada langsung imej seorang manusia pun di sepanjang-panjang lorong barisan rumah teres sewaannya ini yang matanya dapat tangkap. Teman-teman serumahnya itu sampai saat ini masih juga belum lagi balik daripada pusat membeli-belah Jusco Alpha Angle. Mungkin mereka hendak menunggu sampai abang pengawal pasaraya Jusco tu halau mereka balik barulah mereka akan balik agaknya. Jiran-jiran di sekeliling rumahnya pula semuanya bagaikan sudah berpakat-pakat untuk keluar ataupun duduk di dalam rumah sahaja ketika ini.

Jadi hanya ada Adriana dan Erdyzuan sahaja di kawasan ini. Hanya bertemankan kerlipan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit dan cahaya bulan yang separa penuh. Serta deruan kereta daripada jalan besar yang sedikit jauh daripada tempat mereka berdiri ketika ini. Adriana cuba melihat waktu sekarang ini pada jam tangannya dengan bersuluhkan lampu jalan yang tidak seterang mana itu. Baru jam 9.30 malam. Takkanlah semua jirannya sudah melepak dalam rumah sahaja? Setahu dia selalunya ada sahaja beberapa orang pelajar Kolej TAR yang menyewa selang dua rumah daripada rumahnya ini duduk bersidai di laman pada waktu-waktu begini. Ini yang terasa macam nak buat pengumuman awam yang selalu kedengaran di pusat memebeli-belah tu sahaja dekat semua jiran-jirannya. Lalu mulutnya itu mula terkumat-kamit berkata-kata tanpa mengeluarkan sebarang suara, berlagak seperti dia sedang memberi pengumuman rasmi.

'Perhatian kepada semua penduduk-penduduk jalan 19/27b Taman Desa Setapak, sila keluar ke laman rumah anda dengan kadar segera. Tindakan anda membiarkan Adriana duduk dekat luar ini dengan Erdyzuan sahaja telah membuatkan dia merasa tidak selesa. Sekian terima kasih.'

Hati Adriana sempat menakal sendirian bila pasti yang hanya dia dan Edyzuan sahaja manusia yang ada di luar jalan 19/27b ketika ini dan lelaki itu masih tidak memandang padanya lagi. Tetapi Adriana tahu walaupun hanya dia dan Erdyzuan sahaja yang berada ada di luar ini, sekurang-kurangnya dia dalam keadaan yang lebih selamat berbanding berdua sahaja dengan lelaki itu di dalam biliknya tadi. Andainya ada terjadi apa-apa nanti, jalan raya ini sudah cukup luas untuk dia melarikan dirinya.

Huh, Adriana ni kenapalah dia asyik rasa takut Erdyzuan akan buat apa-apa aje padanya sejak tadi? Sedangkan selama tiga bulan mereka kenal, beberapa kali menumpang kereta Erdyzuan balik daripada kerja dan sesekali keluar bersama lelaki itu, tidak pernah pula dia nak rasa takut ada yang apa-apa akan terjadi walaupun sah-sah dia tahu hanya dia sahaja yang bersama Erdyzuan ketika itu. Mungkin semuanya kerana dia rasa senang senang dengan cara Erdyzuan melayannya. Tetapi apabila diri Adriana ini tiba-tiba sahaja dilamar oleh Erdyzuan empat hari lalu, entah macam ada rasa takut pula yang muncul ketika dia perlu berhadapan dengan lelaki itu. Takut pada sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apakah ianya.

Sesungguhnya sejak saat pertama kali berkenalan dengan Erdyzuan, memang dia rasa amat senang dengan tingkah laku lelaki itu, tutur katanya dan juga wajah kacaknya. Itupun setelah ditolak peristiwa di mana pertama kali dia melihat Edyzuan yang tengah mengamuk dekat Parkson KLCC semata-mata kerana butang pada baju yang adiknya beli tidak cukup. Dia memang suka dengan Erdyzuan tetapi tidaklah sampai tahap hendak bercinta apatah lagi terus berkahwin kerana baru sahaja tiga bulan mereka berkenalan. Malah mereka tidak pernah berbicara tentang cinta hatta sebarang kemungkinan mereka akan jadi lebih rapat sepanjang tempoh perkenalan mereka ini. Jadi siapalah yang tidak rasa takut kalau tiba-tiba sahaja menerima lamaran untuk menjadi seorang isteri?

 "Ary?... Adriana?"

Lamunan jauh Adriana terhenti bila mendengar namanya tiba-tiba diseru.

"Huh, ada apa? Zuan kata apa tadi, hah?"

"Ee... Zuan sedang bercakap, boleh pula kepala dia tu berterbangan ke serata alam. Zuan kata tadi, kalau dah sah-sah kita berdua sahaja yang ada dekat sini, maka soalan Zuan tu mestilah ditujukan pada Ary seorang aje kan?"

"Oops, maaf ya Ary terberangan sekejap. Okey, kalau Zuan bertanya pada Ary tapi kenapa mata tu pandang ke langit pula? Masa Zuan buat kursus kejuruteraan orang minyak dulu tak ada diajar cara-cara untuk berkomunikasi dengan betul ke? Bila kita bercakap terutamanya bertanya, kita sebagai penghantar mesej kena pandang muka orang yang melawan cakap kita tu supaya penerima mesej akan dapat mengurangkan halangan untuk menerima mesej dengan tepat ke tahap minima."

"Huh, tahulah Ary tu dulu ambil kursus Pentadbiran Perniagaan ada belajar subjek komunikasi, tapi janganlah keluarkan teori macam pensyarah semata-mata nak suruh Zuan bertanya sambil pandang pada Ary."

"Hahaha... comelnya cik abang Zuan ni buat muka macam tu."

Adriana tergelak besar namun masih dalam nada yang terkawal untuk pendengarannya dan Erdyzuan sahaja melihatkan lelaki itu menayangkan muka cemberutnya mendengar kuliah pendeknya tadi.

"Hmm, macam sedap aje bunyinya kan kalau Ary panggil Zuan abang bila kita dah kahwin nanti?"

Alamak, dah tersalah berguraulah pula. Adriana mengetap bibirnya tanda menyesal menuturkan kata-katanya sebentar tadi. Tadi ingatkan dia sengaja hendak bergurau dengan Erdyzuan sekadar untuk menghilangkan rasa gugupnya sendiri kerana terpaksa berdua-duaan dengan lelaki itu membincangkan persoalan yang dia sendiri tiada jawapannya lagi hingga ke saat ini. Tetapi entah macam mana terebih lancar pula bibirnya ini menyebut panggilan 'cik abang Zuan' itu sampai lelaki di sebelahnya sudah terperasan.

"Zuan... Ary bergurau sahajalah tadi."

"Kalau serius pun apa salahnya?"

"Err... Zuan janganlah macam ni. Ary tak mahulah cakap fasal ni."

"Kenapa pula tak mahu? Zuan redah masuk bilik Ary tadi semata-mata nak bercakap fasal inilah. Zuan nak tahu apa jawapan Ary untuk lamaran Zuan hari tu."

"Ary tak ada jawapannya dan Ary tak rasa nak jawab apa-apa pun. Zuan, kita berdua baru sahaja kenal. Tak sampai setahun pun. Baru tiga bulan sahaja. Jadi takkanlah tiba-tiba Zuan boleh kata nak ambil Ary ni jadi isteri Zuan pula?"

Ya, sememangnya dia langsung tidak ada jawapan untuk lamaran Erdyzuan itu. Bukannya dia tidak pernah cuba fikirkan langsung tentang lamaran Erdyzuan itu sejak hari Ahad yang lalu. Dia pernah fikir dan sudah penat dia berfikir tetapi masih juga tidak ketemu jawapan yang sesuai. Sudahlah badannya ini sejak tiga hari lalu sememangnya tidak sihat kerana demam panas, kepalanya ini pun sama tidak sihat jadinya bila terpaksa memeningkan kepala memikirkan lamaran Erdyzuan yang secara tiba-tiba itu.

"Berapa lama tempoh kita berkenalan, itu bukan alasannya. Zuan tahu kita baru berkenalan, tak banyak perihal Ary yang Zuan tahu dan sebaliknya juga. Tetapi kita akan ada seumur hidup kita untuk mengenali antara satu sama lain. Zuan tahu Ary tak selesa sangat nak rapat dengan Zuan sebab kita ni tak ada apa-apa hubungankan? Zuan juga rasa tak selesa nak selalu keluar dengan Ary tapi tak dapat nak sentuh Ary macam yang Zuan inginkan. Jadi apa salahnya kita kahwin? Bila dah berkahwin nanti kita akan bebas untuk bersama tanpa sebarang batasan dan alasan lagi."

Agak tegas sedikit suara Erdyzuan mengeluarkan hujah-hujahnya membangkang alasan Adriana itu. Diselitkan sekali kata-kata teman sepejabatnya, Charles siang tadi yang dia dan Adriana akan mempunyai baki seumur hidup lagi untuk mengenali diri masing-masing bila mereka berkahwin nanti. Dia juga berjanji andai Adriana sudi menerima dirinya ini, dia akan mempertahankan perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayatnya. Sememangnya dia sedang panasaran terhadap Adriana. Mengenali Adriana yang manis itu membuatkan naluri lelakinya ini begitu teruja untuk mengenali dan menyentuh gadis itu.

Air liur di kerongkong Adriana pula terasa begitu kesat sekali untuk ditelan apabila mendengarkan kata-kata Erdyzuan itu. Kita akan bebas untuk bersama tanpa sebarang batasan dan alasan? Huh, betapa geli dan takutnya hati Adriana mendengarkan ayat itu meluncur daripada mulut Erdyzuan. Membayangkan tubuh kecil moleknya ini dipeluk oleh tubuh sasa Erdyzuan dan segala hal di sebalik kelambu yang terpaksa dihadapinya, perasaan Adriana menjadi kecut. Sepanjang 26 tahun hidupnya ini, tidak pernah sekalipun dia membayangkan yang dia akan melakukan semua itu dengan mana-mana lelaki. Mungkin kerana selama ini dia tidak pernah mempunyai teman lelaki mahupun rapat dengan mana-mana lelaki atau mungkin kerana dia tidak pernah merasakan pelukan lelaki maka ayat yang dikatakan oleh Erdyzuan itu tidak pernah langsung terlintas di hatinya ini.

Berkenaan kekasih, bukanlah tidak pernah ada lelaki yang menaruh minat dan cuba mengurat dia. Pernahlah juga tersesat tiga empat orang dalam hidupnya ini yang datang untuk menagih kasih. Tetapi dia yang menolaknya kerana umi iaitu penjaga rumah anak yatimnya dahulu selalu berpesan padanya; sebagai anak gadis dia mesti menjaga batasan perhubungannya antara lelaki dan perempuan seperti yang ditetapkan oleh syarak. Kata umi lagi, tiada langsung hukum dalam Islam menyatakan percintaan itu adalah dibenarkan antara lelaki dan perempuan jika tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah di sisi syarak. Satu lagi pesanan umi padanya dan masih diingatinya lagi sehingga kini adalah;

"My sweetheart, if you want to build a family, a faithful one, you can never build it on what Allah has stated as wrong and proven false by the way Rasulullah has taught us. A happy and blessed family comes from Allah, and you don't even have anything to defend it as blessed if the first step you make is by stepping into what He has prohibited. You can't have a happy family if Allah doesn't help you so, and you must know in every family that stands until their dying day, they have Allah on their side. You can't expect Him to help you if you did the wrong step from the very beginning."

Maka kerana itulah dia tidak pernah berminat untuk rapat mahupun menerima lamaran kasih daripada mana-mana lelaki selama ini. Cuma bila bersama Erdyzuan sahaja hatinya yang selama ini sentiasa patuh akan nasihat umi itu mula belajar mengingkarinya. Bersama Erdyzuan dia sentiasa rasa selesa dan bahagia. Dia selalu terlupa yang dia tidak sepatutnya menerima pelawaan Erdyzuan untuk menumpangkannya balik tanpa ditemani orang lain dan dia tidak sepatutnya keluar berdua-duaan dengan Erdyzuan sekalipun ke tempat awam. Bila bersama Erdyzuan sesungguhnya membuatkan hatinya ini selalu lupa yang seorang Adriana itu selama ini selalu menjaga batas pergaulannya dengan mana-mana lelaki. Secara kesimpulannya dia sememangnya selalu leka bila bersama Erdyzuan. Tetapi sekalipun dia selalu leka, itu tidak bermaksud dia ada perasaan kepada Erdyzuan lebih daripada perasaan senang terhadap seorang teman sahaja.

Atau adakah mungkin hatinya ini sebenarnya sudah tertarik dan jatuh cinta pada lelaki itu secara diam-diam? Hmm... Selama hayatnya ini dia tidak pernah rasa jatuh cinta lagi, maka bagaimana dia mahu tahu sama ada hatinya ini sudah jatuh cinta atau belum? Dia selalu dengar orang kata yang kita akan tahu kita sudah jatuh cinta bila kita mandi tak basah, makan tak lalu dan tidur tak lena. Tetapi selama tiga bulan dia megenali Erdyzuan ini, rasanya bila dia mandi badannya tetap basah, bila dia makan perutnya tetap kenyang dan tidurnya masih lagi selena-lenanya siap dengan mengigau lagi. Lalu bagaimana nak tentukan yang dia sudah benar-benar jatuh cinta pada Erdyzuan itu?

"Ary tak tahu Zuan. Ary tak pernah bercinta dan Ary tak pasti apa perasaan yang Ary ada pada Zuan selama tiga bulan kita berkenalan ni. Ary tak nafikan yang memang Ary rasa senang sangat berkawan dengan Zuan. Tapi Ary langsung tak pernah terfikir yang kita akan melangkah lebih jauh dalam hubungan kita melebihi daripada seorang teman. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Pada Ary perkahwinan itu satu komitmen yang besar dan sesuatu keputusan yang besar itu tidak boleh difikirkan dalam masa sekejap sahaja. Ary takut andai cepat sangat Ary beri jawapan ya pada Zuan dan kemudiannya kita kahwin tetapi perkahwinan itu tidak berjaya, apa yang akan jadi pada Ary nanti? Ary tak ada sesiapa untuk dirujuk kalau ada masalah.

Orang selalu kata perkahwinan itu seperti satu perjudian. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Walaupun Ary tak mahu menyamakan perkahwinan itu dengan perjudian sebab judi tu haram dan perkahwinan itu sesuatu yang halal, tetapi Ary juga setuju dengan maksud di sebaliknya itu. Perkahwinan itu adalah sesutu yang kita tidak pasti apa yang akan berlaku kelak bila kita berada di dalam ikatan itu. Lagipun Ary baru sahaja dua tiga tahun berkerja. Ary masih tak rasa puas lagi menikmati alam pekerjaan. Kalau boleh Ary nak kumpul harta Ary sendiri dahulu sebelum berkahwin. Sekurang-kurangnya kalau jadi apa-apa nanti, Ary akan ada simpanan sendiri untuk terus berdikari."

"Adriana, dengar sini. Zuan tak main-main bila Zuan melamar Ary hari tu. Walaupun lamaran itu datang secara spontan, Zuan tahu apa yang Zuan katakan itu lahir dari hati Zuan ini. Kalau Ary tanya bila masanya Zuan mula sukakan Ary, bila masanya Zuan jatuh cinta pada Ary, Zuan sendiri tidak ada jawapannya. Semuanya datang dengan sendiri dan tanpa disedari. Tapi Zuan amat pasti sekali, semakin hari Zuan kenal Ary, semakin Zuan menyenangi Ary. Zuan sukakan segala-galanya tentang Ary. Kecantikan Ary, peribadi Ary dan masakan Ary semuanya buat Zuan semakin tertawan dengan Ary. Zuan ajak Ary kahwin bukannya untuk sia-siakan hidup Ary. Dulu Ary pernah kata yang Ary ni hidup sebatang kara kan? Ary sedar tak, bila Ary kahwin dengan Zuan nanti Ary tak akan hidup seorang diri lagi di dunia ni. Ary akan ada Zuan, ada emak mentua dan ada adik ipar. Malah Ary akan memiliki keluarga Ary sendiri bila kita dah ada anak-anak kelak.

Tentang kerja pula, Zuan tetap akan benarkan Ary terus berkerja bila kita dah kahwin nanti. Lagipun dah kebetulan kita berkerja di tempat yang sama. Dekat KLCC. Lagilah senang sebab kita boleh pergi dan balik kerja sama-sama selalu. Kalau Ary rasa dah tak nak kerja lagi selepas kahwin pun tak apa. Zuan tak akan kisah. Sebagai seorang suami, Zuan akan sentiasa pastikan perbelanjaan Ary cukup. Zuan sedar tugas seorang suami ialah memberi nafkah pada keluarganya. Dengan gaji sekarang, Zuan yakin yang Zuan mampu untuk tanggung diri Ary dan emak serta adik Zuan tu. Mungkin sekarang Zuan masih tinggal dengan keluarga Zuan, tapi bila kita dah kahwin dan kalau Ary rasa nak kita tinggal berasingan daripada keluarga Zuan, bila-bila masa sahaja Zuan boleh usahakan. Kita boleh cari rumah yang sesuai untuk kita dan anak-anak kita.

Sekarang ni, apa yang Zuan pinta hanyalah tolong benarkan Zuan jadi sebahagian daripada hidup Ary. Malah Zuan juga berharap sangat yang Ary akan sudi jadi sebahagian daripada hidup Zuan. Bila Ary ada masalah, Zuan nak biarlah Zuan yang menjadi tempat Ary berkongsi masalah. Bukan sekadar masalah, tetapi apa-apa sahaja yang Ary ingin kongsikan. Zuan nak Ary sedar yang Zuan akan sentiasa berada di sisi Ary untuk selama-lamanya. Zuan janji Ary, Zuan tidak akan sesekali tinggalkan Ary."

Adriana terus terkedu mendengar kata-kata janji Ardyzuan itu. Semakin tercekik saluran pernafasan dia rasanya bila mendengarkan Zuan sebut tentang anak-anak pula. Sedangkan hendak menerima Zuan menjadi suaminya pun dia masih tidak pasti, ini hendak suruh dia fikirkan fasal anak-anak pula. Aduhailah Erdyzuan...

Bolehkah dia percayakan segala kata-kata Erdyzuan itu? Apa yang Erdyzuan katakan tadi semuanaya memang nampak manis-manis belaka. Tetapi bukankah orang ada kata, jangan dipercayai sangat akan kata-kata seorang lelaki yang selalunya bagaikan menanam tebu di tepi bibir sahaja. Lelaki, sepuluh patah dia kata, belum tentu ada satu pun yang betul. Tertapi bukan semua lelaki macam itu kan? Ada juga lelaki yang benar-benar baik dan bertanggungjawab setelah jadi suami kan? Akhirnya setelah berfikir untuk seketika, Adriana menyatakan keputusan yang dapat dibuatnya malam itu pada Erdyzuan.

"Zuan, Ary yakin kini yang Zuan betul-betul ikhlas akan niat Zuan tu. Tapi Ary betul-betul masih tak tahu macam mana nak jawab. Macam inilah, apa kata Zuan beri Ary sedikit masa lagi untuk fikirkan jawapannya. Boleh tak Zuan beri Ary masa tiga hari untuk fikirkan jawapannya? Sepanjang tiga hari ni Ary pinta sangat-sangat, Zuan jangan hubungi Ary dan jangan muncul depan Ary. Ary janji, pada hari keempat Ary sendiri akan cari Zuan untuk berikan jawapannya. Boleh ya?"

"Kena tunggu tiga hari lagi ke? Ary tahu tak nak mengahrungi tiga hari yang ini daripada petang Ahad lepas pun dah cukup buat Zuan rasa terseksa. Apatah lagilah pula nak kena tunggu lagi tiga hari. Sudahlah siap dengan syarat tak boleh nak hubungi atau datang jumpa Ary pula tu. Matilah Zuan macam ni."

Adriana hanya tersenyum nipis sahaja mendengarkan kata-kata rungutan Erdyzuan yang sedikit manja nadanya itu. Eh, lelaki yang macho macam Erdyzuan ni pun tahu bersuara ala-ala manja ya?

"Tiga hari aje Zuan. Bukannya lama mana pun. Pejam celik- pejam celik dah tiga hari. Ary perlukan sedikit masa lagi untuk fikirkan jawapan yang sepatutnya. Tiga hari yang lepas tu tak bolehlah nak diambil kira sebab maa tu Ary tengah demam. Kepala pun asyik pening-pening lalat sahaja sentiasa. Jadi macam mana nak fikirkan jawapannya."

"Hmm... kalau dah Ary kata macam tu, apa lagi yang boleh Zuan katakan. Baiklah, hari keempat nanti Ary tak payah cari Zuan. Tapi Zuan sendiri yang akan datang cari Ary dan tagih jawapan yang Ary janjikan itu. Jangan pula nanti bila Zuan datang, tengok-tengok Ary dah berhenti kerja dan dah pindah rumah pula."

"Hehehe... mana adanya Ary ada niat nak lari. Lagipun kemana sahajalah Ary ni boleh lari. Ary bukannya ada tempat nak bersembunyi pun."

"Okeylah, Zuan balik dululah kalau macam tu. Selamat malam sayang."

"Selamat malam Zuan."

Selepas itu Adriana hanya memerhatikan Erdyzuan melambaikan tangan padanya sebelum bergerak memasuki keretanya dan mula memandu pergi daripada situ. Kemudiannya walaupun sudah hampir lima minit Erdyzuan berlalu pergi dari situ, Adriana masih lagi berdiri di luar rumahnya itu seorang diri daripada tadi. Masih lagi mengenangkan kata-kata Erdyzuan yang terkahir tadi terutamanya ucapan 'Selamat malam sayang' si dia itu. Oh, hatinya yang degil akan pesanan umi dahulu sudah mula menari-nari riang apabila mendengarkan ucapan itu.



iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:34 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia