Wednesday, May 06, 2009
Resepi Hati Dia - Bahagian II - BaB 31

 

 "Ha, ini semua untuk Aryan."

Erdyzuan yang baru tiba terus sahaja mendekati Aryan Hafiz yang sedang duduk seorang diri di sudut paling hujung Aryz-one Cafe menikmati sarapan paginya dan menyerahkan dua plastik besar Toys"R"Us kepada kanak-kanak lelaki itu. Mendengarkan sahaja kata Erdyzuan dan melihat pada plastik Toys"R"Us tersebut, Aryan terus mengabaikan sarapannya sejak tadi lalu pantas membelek isi kedua-dua beg plastik yang Erdyzuan letakkan di atas lantai dengan mata yang  bulat! Dia benar-benar rasa tidak percaya melihat akan barang-barang pemberian Erdyzuan kepadanya itu.

 "Wah, banyaknya Uncle! Betul ke semua ni Ayan punya?"

"Ya, betul... semua ni Aryan yang punya."

"Thank you Uncle! Ayan saa... yang Uncle..."

 Dengan penuh rasa teruja, Aryan terus memeluk dan menghadiahkan ciuman pada pipi Erdyzuan yang ketika ini telah mengambil tempat duduk bersebelahan dengannya.

Erdyzuan pula, bila tiba-tiba dirinya ini dipeluk dan mendapat ciuman di pipi daripada Aryan Hafiz benar-benar merasa terkejut. Namun dia tetap merasa seronok dan terharu dengan tindakan spontan Aryan itu; lebih-lebih lagi apabila mendengarkan ucapan sayang yang terluah daripada bibir anaknya itu.

Tidak sia-sia rasanya dia menghabiskan beratus-ratus ringgit membeli semua jenis koleksi permainan Ben 10 yang berada di Toys"R"Us petang semalam.

"Ehem, apa semua ni hah?"

Di kala Aryan Hafiz tengah seronok membelek satu-persatu barangan koleksi Ben 10 yang dibelikan oleh Uncle-yang-mukanya-macam-suami-ibu dan Erdyzuan masih dibaluti rasa seronok mendapat pelukan serta ciuman daripada si anak buat pertama kalinya; kedengaran suara yang agak tegas namun tidak bernada terlalu tinggi menegur mereka berdua. Lalu dengan pantas Erdyzuan dan Aryan mengalihkan pandangan mereka ke arah tuan empunya suara tersebut.

Sedang berdiri di belakang mereka berdua ketika ini adalah Adriana yang sedang bercekak pinggang sambil mencerlungkan matanya!

"Ibu, tengok ni... Uncle bagi Ayan banyak mainan Ben 10!"

Aryan Hafiz menayangkan barang-barang pemberian Erdyzuan kepada ibunya dengan sengihan lebar. Sedangkan hati Adriana pula benar-benar merasa tersentap melihat situasi dihadapannya ketika ini.

Tadi sebaik sahaja habis memantau keadaan di dapur Aryz-one Cafe, Adriana terus bergerak ke arah meja Aryan duduk untuk melihat sama ada anaknya itu sudah menghabiskan sarapannya atau belum. Tetapi sebaik sahaja dia mendekati meja anaknya itu, betapa terkejutnya dia melihatkan Aryan Hafiz sedang begitu mesra dengan Erdyzuan. Entah mengapa melihat situasi tersebut hati Adriana berasa gundah. Ada rasa yang bercampur baur menerjah benaknya apabila melihatkan Aryan memeluk dan mencium pipi Erdyzuan sebentar tadi.

Di hati Adriana ketika ini, ada rasa gembira melihatkan hubungan anak-ayah antara Aryan dan Erdyzuan; satu situasi yang sangat-sangat diimpikan nya sejak dia disahkan oleh doktor mengandungkan anak lelaki lima tahun yang lalu.

Juga rasa keliru kerana memikirkan sejak bila pula Erdyzuan kenal rapat dengan Aryan? Setahu Adriana sejak dia dan Erdyzuan 'bertemu' kembali, lelaki yang masih bergelar suaminya itu tidak pernah langsung merapati dan menunjukkan perhatiannya kepada Aryan. Anggapan Adriana selama ini, Erdyzuan hanya sibuk berusaha inginkan dia sahaja kembali dan bukannya Adriana dan anaknya. Lagipun Erdyzuan kan tidak tahu yang Adriana sedang mengandung ketika dia menghalau isterinya ini dahulu?

Dan... rasa sedih kerana apabila kenyataan yang sebenar-benarnya terbentang kelak, pasti hati Aryan dan Erdyzuan akan terluka. Termasuklah juga hati seorang Adriana ini.

Serta ada rasa marah pada Erdyzuan untuk menutupi segala perasaannya tadi. Kenapa Erdyzuan harus nak berbaik-baik dengan Aryan Hafiz pula? Kenapa suaminya itu perlu menghadiahkan begitu banyak sekali alat permainan kepada anaknya ini? Bukankah sudah ditegaskan berkali-kali antara dia dan Erdyzuan sudah tiada dan tidak akan ada apa-apa lagi?

"Encik Erdyzuan... boleh jumpa saya dekat dalam pejabat sana sekejap? Ayan... habiskan roti tu. Ibu ada hal nak cakap sekejap dengan 'Uncle' Ayan ni."

Dengan suara penuh tegas Adriana memberi arahannya. Erdyzuan pula hanya mengikut sahaja tanpa banyak soal.

Setelah Adriana dan Erdyzuan berada di dalam pejabat Aryz-one Cafe, Adriana terus sahaja menghamburkan segala kemarahannya kepada lelaki itu.

"Apa yang Zuan cuba buat ni, hah? Sejak bila pula Zuan jadi rapat dengan Ayan tu? Bukan ke dah berkali-kali Ary kata yang kisah antara kita sudah lama tamat. Tak boleh ke kalau Zuan pergi sahaja daripada sini? And please don't come back..."

"Ary... Zuan dah faham kalau Ary tak nak balik pada Zuan semula. Zuan boleh terima hakikat itu. Tapi Aryan tu anak Zuan juga. Jadi Zuan juga ada hak untuk kenal dan mencurahkan kasih sayang Zuan pada Aryan. Boleh tak untuk yang ini, berilah Zuan peluang untuk menebus apa yang telah Zuan terlepas selama ini? Tolonglah beri Zuan peluang untuk jalankan tanggungawab Zuan sebagai seorang bapa."

Dengan penuh tenang Erdyzuan menjawab soalan Adriana dan menepis kata-kata isterinya yang cukup menikam hati lelakinya ini. Terutamanya ayat terakhirnya itu. Dia terpaksa menipu sekalipun di dalam hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu kebenaran kata-kata dia.

Siapa kata seorang Erdyzuan tidak lagi berminat untuk merebut semula cinta di hati seorang Adriana? Dia sanggup mengorbankan segala yang dia ada untuk mendapatkan Adriana nya kembali. Sampai dia mati, tidak akan ada seorang lelaki pun yang akan dapat merampas Adriana daripada dirinya ini. Cuma sekarang ini misinya telah terbahagi kepada dua. Merebut hati isterinya semula dan juga belajar mengenali anaknya Aryan Hafiz.

Oleh kerana Adriana sudah begitu jelas menunjukkan tidak mahu kembali padanya lagi, biarlah dia tumpukan misinya pada Aryan Hafiz dahulu. Erdyzuan yakin, apabila dia telah mendapat kepercayaan anaknya sendiri nanti, pastinya Adriana juga akan mempertimbangkan semula untuk menerima dia kembali.   

"Siapa yang kata Ayan tu anak Zuan hah?"

Mendengarkan jawapan selamba daripada Erdyzuan itu, entah mengapa Adriana semakin terasa marah. Sudahlah Erdyzuan boleh kata dia tidak kisah lagi kalau Adriana hendak balik atau tidak padanya lagi. Baru Adriana tidak layan sedikit, suaminya itu sudah mengibarkan bendera putih tanda mengalah. Lepas itu sesuka hatinya sahaja setelah lima tahun mereka terpisah, tiba-tiba mendakwa Aryan itu anak dia dan mahu bertanggungjawab pada anak itu. Kalaulah Erdyzuan tahu hakikat sebenarnya... 

 "Zuan tahu... Masa Ary keluar daripada rumah kita tu Ary tengah mengandung kan? Zuan ternampak alat ujian kehamilan milik Ary selepas Ary pergi dahulu. Itu lima tahun yang lalu dan Aryan ada kata pada Zuan hari itu yang umur dia sekarang sudah empat tahun. Aryan panggil Ary ibu; jadi memang sahlah Aryan itu anak Ary. Rupa dia ada iras wajah Ary. Kulit dia putih dan matanya agak sepet macam Zuan juga. Jadi rasanya semua itu dah cukup untuk menjelaskan segala-galanyakan?"

"Tapi... Ah!!! Zuan tak faham dan tak akan sesekali faham!"

Adriana cuba menepis kenyataan Erdyzuan itu. Namun di tidak tahu di mana harus dimulakan segalanya.

Atau... adakah sebenarnya dia tiba-tiba telah menjadi tamak? Tamak kerana mahukan Erdyzuan benar-benar menjadi bapa kepada Aryan seperti yang lelaki itu dakwa?

"Zuan... macam mana Zuan begitu yakin Aryan tu benar-benar anak Zuan? Bukan ke dahulu Zuan halau Ary sebab Ary ni curang? Jadi ada kemungkinan kan anak itu bukan anak Zuan kan?"

Sebelum rasa tamak itu terus menguasai dirinya, pantas Adriana menyelar teori Erdyzuan tadi. Sengaja dia menyakitkan hati Erdyzuan dengan mengulangi tuduhan yang pernah dilemparkan oleh suaminya itu suatu ketika dahulu.

"Ary, boleh tak kalau kita tak bercakap lagi pasal tuduhan Zuan dahulu tu? Berapa kali Zuan nak katakan yang Zuan benar-benar minta maaf sebab melulu tuduh Ary. Zuan tahu Zuan salah tapi Zuan dah benar-benar insaf sekarang ni. Zuan yakin Aryan tu anak Zuan. Jadi bagi lah Zuan peluang untuk kenal dengan anak Zuan sendiri."

"Ah, suka hati Zuanlah! Tapi tolong jangan terlalu manjakan Ayan tu. Lain kali tak perlu nak beli sampai satu kedai Toys"R"Us tu untuk Ayan. Ary tak pernah ajar dia macam tu."

Mendengarkan rayuan suaminya itu buat ke sekian kalinya, Adriana sudah malas mahu membantah lagi. Lantak sahajalah apa yang Erdyzuan hendak buat. Lagipun suaminya itu memang sudah terkenal dengan rekodnya dalam bab tidak mahu mengalah dengan orang lain.  

Erdyzuan pula hanya tersenyum senang melihat isterinya itu akhirnya mengalah juga dengan dia. Sebenarnya dia bukanlah bermaksud untuk melambakkan segala jenis permainan Ben 10 kesukaan Aryan itu semata-mata hendak mengambil hati anaknya sendiri. Tetapi disebabkan pada mulanya dia tidak tahu apa yang patut dibelikannya untuk Aryan, lalu dia terus sahaja mengarahkan pembantu jualan di Toys"R"Us Subang Parade untuk menolong dia untuk mendapatkan semua jenis barangan koleksi Ben 10 yang ada dijual di kedai tersebut.

"Ary sayang... terima kasih kerana bagi Zuan peluang. Zuan janji lain kali Zuan tidak akan buat macam ini lagi okey? Zuan tahu Ary sebenarnya marah sebab ingat Zuan hanya belikan hadiah untuk anak kita sahaja kan? Sebenarnya Zuan sentiasa ingat akan Ary sepanjang lima tahun ini. Walaupun Zuan mencari tapi entah mengapa Zuan tak pernah terserempak dengan Ary di mana-mana sampailah ketika kejadian Zuan terlanggar Aryan dulu.

Ini... Zuan belikan untuk Ary; tanda yang menunjukkan Zuan sebenarnya tidak pernah lupa apa yang Ary suka."

Seraya berkata begitu, Erdyzuan terus meletakkan sehelai beg plastik berlogo Video Ezy di atas meja kerja Adriana sebelum dia berlalu pergi ke meja Aryan semula. Sebelum itu sempat lagi dia menghadiahkan kenyitan sebelah matanya kepada Adriana.

Adriana hanya membalas dengan cebikan sahaja perilaku Erdyzuan itu. Apabila dia mengintai apa isi beg plastik pemberian Erdyzuan itu; pantas sahaja Adriana terasa macam nak sepak-sepak sahaja Erdyzuan. Tetapi Erdyzuan itu masih lagi suaminya. Dan ustazah yang beri ceramah semasa dia mengambil kursus perkahwinan dahulu pernah berpesan yang berdosa hukumnya kalau kita sepak suami sendiri. Betul kan?

Tetapi di dalam kes Adriana ini boleh tak dia dapat pengecualian?

Ya lah, ada ke patut setelah lima tahun mereka terpisah Erdyzuan boleh hadiahkan kepada Adriana ini VCD Tom & Jerry sahaja?

Eee... geramnya dia!

 

 


Hmmm... maaf (kuasa 10) sebab lambat post entry.. dah start busy semula dengan kerja ofis...

Next entry is on monday, Insya-ALLAH (akan diusahakan sebaik mungkin) sebab after that iejay akan ambil cuti semester untuk pergi cuti-cuti Malaysia... hahaha...

Lagi 5 entry edisi blog ajakan? Tgh fikir nak ambil konsultan (macam yo-yo an aja iejay ni...huhuhu) untuk buka blog baru bagi cerita baru... apa pun nanti iejay akan umumkan kemudian... chow...

 

PENGUMUMAN: KEPADA SESIAPA YG ADA TERTINGGAL BUKU LAGU CINTA YANG BARU DI BELI DI PESTABUKU, TOLONG HUBUNGI  iejay MELALUI iejay@yahoo.com UNTUK IEJAY URUSKAN PENGHANTARAN...

 

 



iejay Simply Stated Her Recipe @ 09:05 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia