Wednesday, March 11, 2009
Resepi Hati Dia - Bahagian II - BaB 25

 

 "Adriana..."

Adriana yang baru sahaja mahu mengunci roller shutter kedainya terus terhenti tingkahnya sebaik sahaja dia mendengarkan suara itu. Suara yang cukup dikenali orangnya sekalipun sudah lebih lima tahun mereka tidak berhubung. Suara yang membuatkannya kerisauan sejak empat hari yang lalu...

Mendengarkan suara itu, Adriana terus terkaku di situ buat seketika. Matanya masih terhala pada mangga yang sudah di selak pada roller shutter. Tidak tahu sama ada haruskah dia memalingkan mukanya ataupun tidak pada insan yang menyeru namanya itu. Di dalam hatinya ketika ini, tidak putus-putus dia berdoa moga-moga insan yang menyebut namanya itu bukanlah orang yang disangka-sangkakannya.

"Adriana..."

Sekali lagi suara itu menyeru namanya. Kali ini dengan perlahan-lahan Adriana memalingkan mukanya ke arah wajah insan yang menyeru namanya itu.

"Ya... Ada apa?"

Dengan suara yang agak keras dan penuh nada dingin namun masih ada bunyi terketar yang terselit, Adriana menjawab panggilan itu. Air mukanya cuba ditegangkan supaya lelaki yang berdiri satu meter daripada kedudukannya ketika ini sedar yang Adriana tidak senang dengan kehadirannya ketika ini.

"Zu... Zuan nak jumpa Ary..."

Melihatkan ketegangan pada suara dan wajah Adriana ketika ini, lelaki yang bernama Erdyzuan itu tiba-tiba menjadi sedikit gugup untuk meluahkan apa yang terpendam di hatinya semenjak empat hari yang lalu. Sejak hari dia berjumpa semula dengan Adriana selepas lebih lima tahun dia menghalau isterinya itu.

Ya, Adriana itu masih isterinya yang sah. Erdyzuan amat yakin yang dia tidak pernah berniat mahu menceraikan mahupun melafazkan cerai pada Adriana semasa dia terlalu marah pada isterinya itu sehingga mengambil tindakan menghalau Adriana daripada rumahnya dahulu.

Dia juga amat yakin Adriana tidak pernah meminta haknya untuk diceraikan melalui fasakh ataupun khuluk kerana sepanjang waktu mereka terpisah itu, dia tidak pernah sekalipun dipanggil ke pejabat agama apatah lagi mahkamah untuk proses tersebut.

"Antara kita sudah tiada apa-apa lagi yang belum selesai. Jadi tiada sebab untuk awak berjumpa dengan saya lagi Encik Erdyzuan."

Suara Adriana masih lagi keras seperti tadi. Ketika ini dia sudah pun berdiri tegak berpeluk tubuh dengan matanya mencerlung tajam memandang wajah Erdyzuan.  

"Err... Kak Ary? Akak okay ke?"

Tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki menegur Adriana apabila dia dapat merasakan ada aura suasana tegang yang tercetus antara Adriana dan lelaki yang dipanggil Erdyzuan itu.

Mendengarkan suara yang bertanya itu, baru Adriana teringat bahawasanya salah seorang pekerja Aryz-one Café yang sejak tadi menemaninya untuk mengunci kedainya itu; masih lagi ada bersama-samanya ketika ini. Lalu dia segera mengarahkan pekerjanya itu menghabiskan tugasan mengunci kedainya dan terus pulang sahaja.

Setelah mengunci pintu kedai dan bergerak ke arah motornya yang terletak betul-betul di hadapan kedai, pekerja Adriana itu masih lagi teragak-agak untuk berlalu. Dia tidak tahu haruskah dia terus berlalu pergi sahaja seperti arahan Adriana tadi ataupun menunggu seketika di situ dan memerhatikan keadaan. Dia tidak kenal siapa lelaki itu. Tetapi dia amat pasti lelaki itulah yang sejak tiga hari lepas setiap hari bertandang ke Aryz-one Cafédan mencari Adriana.

Dia tidak tahu sama ada secara kebetulan ataupun tidak, Adriana juga tiga hari berturut-turut langsung tidak muncul di kafenya ini. Selama dia bekerja dengan Adriana, setahu dia ketuanya itu tidak pernah tidak muncul di kedai untuk selama itu; sekalipun Adriana sudah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pekerja-pekerjanya untuk menguruskan kafenya ini.

Ada juga dia terdengar cerita yang dibawa oleh jururawat Klinik Dr. Faez tentang kekecohan kecil yang terjadi di dalam bilik rawatan klinik tersebut pada hari Aryan Hafiz dilanggar. Tetapi dia tidak ambil kisah sangat kerana dia tidak suka mendengar cerita yang bukan-bukan dan tidak sahih tentang ketuanya itu. Pada dia, Adriana adalah ketua yang amat baik selama ini. Jadi tidak seharusnya dia ambil pusing sekiranya ada orang bergosip tentang ketuanya itu.

"Fazli, akak tak akan apa-apa. Jangan bimbang. Kawasan kedai ni masih terang-berderang lagi. Kamu balik sahajalah. Kamu dah kerja dari pagi, mesti kamu dah penat. Baliklah ya..."

Mendengarkan Adriana menegur dirinya itu, pekerja Adriana yang bernama Fazli itu terus menghidupkan enjin motornya dan berlalu daripada situ. Walaupun di hatinya masih ada rasa risau, dia yakin ketuanya itu masih selamat kerana seperti kata ketuanya itu; di sekitar kawasan Aryz-one Café itu masih lagi terang-berderang. Ada beberapa kedai sebaris Aryz-one Café masih lagi beroperasi ketika ini. Terutamanya kedai mamak yang sentiasa penuh di hujung baris kedai mereka itu sememangnya beroperasi 24 jam.

Selepas pekerjanya itu sudah berlalu pergi, Adriana menghalakan perhatiannya semula pada Erdyzuan yang masih lagi berada dekat dengannya. Buat seketika dia merenung lelaki itu sebelum akhirnya dia terus berlalu pergi tanpa sebarang kata menuju ke keretanya yang elok terparkir di hadapan kafenya itu.

Belum sempat dia membuka pintu keretanya, Erdyzuan sudah berdiri di hadapan pintu keretanya, menghalang pergerakan Adriana itu.

"Adriana... we need to talk!"

"There's nothing to talk about. Between us... we are finished Erdyzuan. Long a time ago..."

Dengan suara penuh geram Adriana membalas kata-kata Erdyzuan itu.

"Siapa kata antara kita sudah tiada apa-apa? Zuan tak pernah sekalipun ceraikan Ary. Dan... Zuan yakin, sekalipun sudah lima tahun kita terpisah, Ary masih lagi isteri Zuan yang sah."

"Terpisah? Siapa kata kita terpisah? Zuan lupa ke, Zuan yang halau Ary dahulu? Zuan yang kata Ary ni curang dan Zuan tak mahu tengok muka Ary ni lagi!"

Mendengarkan kata-kata Erdyzuan itu, pantas Adriana merasa radang. Erdyzuan bercakap seolah-olah apa yang berlaku lima tahun dahulu, bukanlah salah dirinya tetapi keadaan yang bersalah. Keadaan yang memisahkan mereka. Mudah sungguh lelaki ini berkata-kata!

"Ary... I'm sorry dear... Truly sorry. Zuan tahu Zuan yang bersalah sebab halau Ary sebelum Zuan siasat perkara sebenar. Zuan yang salah sebab main tuduh Ary curang. Zuan betul-betul minta maaf Ary. Zuan... Zuan nak Ary balik semula pada Zuan...."

"Kata-kata maaf Zuan tu tak akan dapat memadamkan apa yang Ary terpaksa tanggung selama lebih lima tahun ini begitu sahaja. Zuan dah halau Ary daripada hidup Zuan dahulu. Ary pun dah bahagia dengan hidup Ary sekarang. Jadi... biarkan sahajalah antara kita terus begini. Baliklah Edyzuan... dan jangan ganggu Ary lagi."

"Adriana! Please... jangan buat begini sayang. Zuan masih lagi sayangkan Ary."

"Erdyzuan... sudah lebih lima tahun kita terpisah. Antara kita sudah ada jarak yang maha luas... Jadi janganlah Zuan harap kita akan dapat bersama-sama semula seperti dahulu. Ary tak mungkin akan sesekali balik pada Zuan lagi. Selamat tinggal Erdyzuan!"

Habis sahaja berkata-kata begitu, dengan pantas dan sekuat tenaga, Adriana cuba menolak ketepi Erdyzua yang masih menghalang pintu keretanya sejak tadi dan terus masuk ke dalam kereta. Di saat Adriana menutup pintu keretanya itu dan menghidupkan enjin sebelum memandu pergi daripada situ, telinganya sempat mendengar kata-kata terakhir Erdyzuan...

"Adriana, I'll make you fall for me over and over again and I swear it's true!"

 

 

 


Nak tahu tak... iejay malassss nak menaip entry sekarang...malas nak update blog ni... sekalipun dlm kepala ni iejay begitu aktif merangka @ berangan sampai ending cerita ni macam mana nanti...

Kalau ikut kata Kak Su editor NBKara bila ada beberapa org UB bising kata iejay dah lama tak update cerita ni... "iejay tak payah updatelah dlm blog... terus hantar aja manuskrip tu ke sini..."

Tapi mcm mana nak hantar kalau  tak siap taip lagi? huhuhu... sekarang baru ada dlm 220 pages aja... isy nak kena mengarut lagi 200 pages... aduhai...   



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:03 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia