Wednesday, December 31, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 22

 

Lelaki asing alias Kapten muda teman si Ermilza yang terpisat-pisat bangun tadi hanya terpinga-pinga di atas katil tersebut melihatkan keadaan di sekelilingnya. Dia tidak tahu apa sepatutnya yang dia buat ketika ini. Dia langsung tidak faham dari mana datangnya lelaki di muka pintu yang tampak begitu marah ketika ini dan wanita berwajah lesu dengan rambut kusut di sisi katil perbaringannya itu.

Apabila dia ternampak kelibat Ermilza di muka pintu, lelaki tersebut cuba memberi isyarat dengan gerakan matanya kepada si teman libur nya itu; bertanyakan situasi tegang di hadapannya ketika ini. Di dalam senyap juga Ermilza memberi isyarat kepada si kapten muda supaya segera beredar sebelum keadaan menjadi buruk dan dia akan menghubungi lelaki itu kemudian nanti. Lalu dengan sepantas kilat; seperti telah biasa sahaja menghadapinya, si kapten muda terus mencapai bajunya dan meluru keluar melanggar Erdyzuan di muka pintu dan terus cabut daripada rumah itu sebelum wajah kacak nya diapa-apakan oleh Erdyzuan pula.

"Bi... sum - sumpah demi Allah Ary ta - tak tahu apa-apa pasal ni. Ary ba - baru sahaja ma - masuk ke bilik ni. Dari tengah hari tadi lagi Ary tidur dekat bawah. Ary tak kenal pun siapa lelaki tu."

Melihatkan lelaki yang separuh bogel itu telah berlari keluar tanpa sempat kekalutan yang sedang terbentang di bilik ini dileraikan dahulu, Adriana terus menerangkan kedudukannya dengan suara penuh terketar-ketar sekalipun tidak ditanya lagi. Air matanya yang sejak tadi berladung di kelopak matanya, ketika ini begitu pantas menuruni lalu membasahi pipinya sebagai tanda yang dia sememangnya tidak berpura-pura dengan jawapannya itu.

Sekalipun dia sendiri tidak pasti apakah yang sedang berlaku ketika ini dan dia tidak tahu daripada mana datangnya lelaki separuh bogel di atas katil kelaminnya dan Erdzyzuan tadi, dia tahu dia perlu membela dirinya sendiri sebelum suaminya itu menjatuhkan tuduhan melulu ke atas dirinya ini. Keadaan lelaki asing yang separuh bogel itu; keadaan dirinya yang nampak tidak terurus akibat baru bangun daripada tidur dan suasana biliknya yang jelas menunjukkan sebuah medan asmara yang hebat baru sahaja berlaku; pasti sahaja akan membuatkan Erdyzuan yang mudah naik angin itu sewenang-wenangnya untuk menghakimi Adriana sebagai pesalah sebelum dibicarakan dahulu.

Ermilza yang sejak tadi berdiri bersebelahan dengan Erdyzuan; mendengarkan suara Adriana yang begitu terketar-ketar dan mula kedengaran sendu cuba membela dirinya hanya mencebik penuh benci pada kakak iparnya itu. Sebelum sempat abangnya Erdyzuan mula menaruh rasa simpati dan percaya pada suara si isteri, dengan pantas dia bersuara membidas kenyataan Adriana itu.   

"Huh, boleh percaya ke? Kalau tak kenal, macam mana lelaki tu boleh masuk ke sini dan tidur di atas katil tu? Rasanya budak sekolah rendah pun boleh tahu apa yang dah terjadi di sini tadi kalau melihat pada keadaan bilik ni."

Erdyzuan yang mendengarkan kata-kata Adriana yang penuh sendu itu dan bidasan sinis si adik kesayangannya mula merasa keliru sama ada mahu mempercayai apa yang terbentang di hadapan matanya ketika ini atau mempercayai sumpah si isteri. Dia cukup faham bahawasanya isterinya itu tidak akan sewenang-wenangnya mengucapkan kata sumpah kalau bukan dalam keadaan terdesak untuk menegakkan kata-katanya.

Pernah suatu ketika dahulu Erdyzuan bermain-main dengan kata sumpah bahawasanya dia tidak tahu apa-apa ketika dia sengaja mengusik si isteri dengan menyorokkan novel yang sedang dibacanya; Adriana telah menegur dirinya dan mengatakan yang sejak kecil lagi ustazah nya telah mengajar dia sesungguhnya kata-kata sumpah bukanlah kata-kata yang boleh dibuat main. Lebih-lebih lagi jika kita bersumpah dengan nama Tuhan. Katanya lagi di dalam Islam tiada kaedah langsung kena bersumpah dengan al-Quran atau sebagainya kerana itu meniru budaya agama lain; sumpah yang ada di dalam Islam hanyalah 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi' sahaja.

Namun mungkin kerana otaknya sendiri sudah terlalu penat bekerja di pelantar minyak sepanjang minggu lepas kemudian terus diheret ke bilik mesyuarat pejabat tengah hari tadi sebelum sempat dia dapat berehat dahulu; juga kerana hasutan syaitan dan bidasan si adik terlalu kuat mengasak dirinya yang sememangnya lemah iman ini, rasa amarah Erdyzuan yang mudah menggelegak itu dengan begitu pantas merumuskan apa yang terjadi tadi adalah salah Adriana.

Hatinya ketika ini kuat mengatakan lelaki asing yang sudah meluru keluar tanpa sempat diberikan penumbuk sulungnya tadi sememangnya adalah kekasih Adriana selama ini. Entah-entah itulah dia si Kerol yang Adriana selalu hubungi dalam diam. Memikir-mikir kan fakta tersebut, rasa amarah Erdyzuan terasa semakin memuncak. Lalu dengan rasa penuh benci pada Adriana kerana telah mencuranginya, dengan suara yang cukup keras, lancar sahaja mulutnya menjatuhkan hukuman buat si isteri...

"Perempuan tak sedar diri! Aku tak sangka ini kerja kau rupanya bila aku tak ada selama ini. Sebelum aku bertindak lebih jauh lagi, aku nak kau keluar daripada rumah ni hari ini juga. Aku tak mahu tengok lagi wajah perempuan curang macam kau dalam rumah aku ni. Pergi! Pergi! Pergi!!!"

"Bi! Apa ni? Ary tak buat Bi. Betul Bi... Ary tak pernah sekalipun curang pada Bi selama ni... Bi!!!"

Mendengarkan hukuman tanpa perbicaraan Erdyzuan itu, Adriana pantas merayu pada si suami. Menegaskan kesetiaannya dalam tangisan yang semakin lebat membasahi pipinya. Tubuh si suami didekatinya dan dengan penuh sungguh-sungguh dia menggoncang lengan Erdyzuan agar mengiakan yang dia percaya kata-kata Adriana itu. Namun semuanya sia-sia sahaja kerana Erdyzuan dengan penuh kasar terus sahaja berlalu daripada situ tanpa pamitan dan seketika kemudian kedengaran bunyi kereta Erdyzuan mengaum pergi.

Melihatkan apa yang berlaku, Ermilza yang masih lagi di tempat yang sama sejak tadi tersenyum penuh gembira. Rancangannya untuk menghalau Adriana daripada lingkungan hidupnya sejak dahulu lagi, kini akhirnya telah berjaya. Adriana yang perasan akan kegembiraan Ermilza ketika itu, menghadiahkan renungan penuh tajam pada wajah riang si adik ipar. Dengan penuh rasa geram, laju sahaja tangannya diangkat dan menampar wajah putih mulus tersebut.

'Pang!!!'

"Hei! Apa ni?"

Ermilza yang terkejut dengan tamparan itu, pantas memarahi Adriana. Tangannya dilekapkan pada pipinya yang terasa sakit akibat tamparan sulung Adriana itu.

"Puas hati kau kan? Puas hati kau dapat kucar-kacir kan rumah tangga aku kan? Aku tak tahu apa jenis manusia kau ni sampai sanggup hancurkan rumah tangga abang dan kawan kau sendiri. Apa salah aku pada kau sampai kau tergamak buat aku macam ni hah?" Suara Adriana penuh meninggi bertanya pada Ermilza.

"Apa salah kau? Huh, kau boleh tanya aku apa salah kau?"

Kedengaran suara Ermilza juga sama meninggi menjawab pertanyaan Adriana itu. Mencerlung mata gadis itu memandang Adriana yang sedang berdiri di hadapannya itu. Tangannya masih lagi dilekapkan pada pipinya yang sakit ditampar Adriana.

"Aku buat semua tu sebab aku benci kan kau! Sangat-sangat benci tahu tak? Sebab kaulah aku dibuang daripada sekolah dulu. Sebab kaulah aku kehilangan lelaki yang aku suka. Sebab kau lah juga Ma tidak pernah percaya pada aku lagi. Kau dah rampas apa yang tinggal untuk aku ketika itu dan kini kau nak rampas abang aku pula. Kau sedar tak semua tu perempuan?"

"Apa yang kau cakap ni? Aku langsung tak faham Emil. Aku tak pernah rampas siapa-siapa daripada kau. Malah aku tak pernah berniat nak rampas Zuan daripada kau. Kau dibuang sekolah dulu pun bukannya salah aku. Tapi salah kau sendiri. Semua tu akibat perbuatan kau sendiri, Jadi kenapa kau nak salahkan aku pula?"

"Ah! Sudahlah jangan nak berpura-pura lagi depan aku. Satu sekolah dulu dah tahu, kaulah yang laporkan pada cikgu tentang aku. Kau memang sengaja nak kenakan aku! Kau memang dengki kan aku!"

Seraya berkata-kata begitu, Ermilza terus berlalu daripada situ. Adriana yang mendengar kata-kata terakhir Ermilza itu jadi terkedu. Terduduk dia di muka pintu biliknya mendengarkan kata-kata bekas sahabat baik merangkap adik iparnya itu.  

Bukankah dahulu semasa di sekolah mereka berdua pernah bersahabat baik? Sepanjang dia mengenali Ermilza, dia tidak pernah dengki kan sahabatnya itu sekalipun gadis itu mempunyai keluarga yang lengkap berbanding dia yang yatim piatu ini; dia tidak pernah sekalipun membenci si teman yang kadang-kadang tidak pernah memikirkan perasaannya bila berkata-kata dan suka-menunjuk-nunjuk. Sesungguhnya tidak terniat di hatinya ini hendak menganiayai si teman.

Tetapi Ermilzalah yang telah merosakkan segalanya sendiri. Gadis itulah yang tiba-tiba sahaja tidak mahu rapat dengannya lagi bila mereka melangkah ke tingkatan empat dahulu. Temannya itu jugalah yang sendiri berubah laku menjadi liar tanpa sebab. Malah peristiwa Ermilza dibuang sekolah dahulu, semuanya salah gadis tersebut sendiri.

Sekalipun dia pernah ternampak apa yang Ermilza lakukan ketika mereka di sekolah dahulu, dia cuba pejamkan matanya sahaja dengan aksi jijik si teman dan diamkan mulutnya daripada memberitahu mana-mana guru sekolah mereka. Betapa demi seorang teman baik yang telah dikenalinya sejak di tingkatan satu lagi, dia cuba lupakan seketika etika yang sepatutnya dipegang sebagai seorang pengawas sekolah. Namun entah bagaimana Ermilza boleh dapat cerita dialah yang telah membuat aduan pada guru tentang perbuatan Ermilza itu, dia tidak pernah tahu.

Agak seketika Adriana terus terduduk di muka pintu memikirkan tentang permasalahan yang membelit di antara dirinya - Erdyzuan - Ermilza sebelum dia perasan akan kemunculan Ermilza sekali lagi di muka pintu bilik tersebut.   

"Hei! Apahal kau tak berkemas lagi, hah? Bukan ke abang aku dah suruh kau berambus daripada rumah ni hari ini juga?"

Adriana yang melihat Ermilza sudah bercekak pinggang di hadapannya ketika ini, dengan penuh longlai terus bangun daripada duduknya tadi dan bergerak menuju ke almari pakaiannya. Dia tahu tidak ada gunanya lagi dia terus berdegil menunggu di sini dan mengharapkan yang apabila Erdyzuan kembali semula ke rumah ini nanti suaminya itu sudah reda kemarahannya lalu menarik balik kata-kata hukumannya tadi. Adriana sedar sekalipun dia sememangnya tidak bersalah, dia tetap akan dianggap orang yang bersalah oleh Erdyzuan. Bukan sekali atau dua dirinya ini disalahkan oleh si suami dalam apa jua pertelingkahan mereka, tetapi sudah berkali-kali. Hatinya sendiri ketika ini sudah benar-benar merasa lelah dan tawar untuk terus berada di rumah ini.

Dengan langkah gontai, Adriana mengemas barang-barang miliknya yang terdaya dicapainya dan disumbatkan ke dalam dua buah beg besar miliknya. Dalam keadaan tertekan begini, dia langsung tidak dapat berfikir apa yang penting dan apa yang tidak penting untuk dibawanya pergi. Dia juga tidak tahu ke manakah arah tujunya selepas ini dan bagaimana dia mahu bergerak pergi daripada sini. Fikirannya ketika ini benar-benar sudah tepu. Air matanya pula sejak tadi masih lagi tidak berhenti-henti berlinang membasahi pipinya.

"Aku dah tolong panggilkan teksi untuk kau tadi. Sekejap lagi sampailah teksi kau tu. Kau pergi sajalah ke mana kau suka dan jangan lagi balik ke sini. Bukan abang aku aja yang tak nak tengok muka kau; aku ni pun sama tak nak tengok lagi bayang kau dekat rumah ni, faham?"

Dengan suara penuh angkuh dan tangan berpeluk tubuh, Emilza menyatakan tindakannya yang sudah tidak sabar-sabar mahu menghalau Adriana sehingga sanggup menolong memanggilkan teksi untuk kakak iparnya itu. Adriana yang mendengarkan huluran bantuan yang sama sekali tidak di harapkannya itu, hanya mengangguk perlahan sebelum dia mengemaskan penutup kedua-dua begnya itu lalu menarik beg tersebut untuk berlalu pergi.

Sesampainya sahaja dia di ruang bawah, Adriana terus menuju ke pintu utama di mana sebuah teksi sudah bersedia menunggu di situ. Lalu dia terus sahaja memasukkan barang-barangnya dengan bantuan pemandu teksi tersebut sebelum turut membolos kan sama dirinya ke dalam perut teksi itu.

Sesungguhnya Adriana benar-benar terkilan kerana masih banyak barang-barangnya yang ada di dalam rumah itu dan tidak sempat dibawanya bersama-sama seperti koleksi novel-novelnya serta buku-buku resipinya; yang mana tidak mungkin dia akan sekali-kali kembali ke sini untuk mengambil barang-barangnya itu. Dia turut terkilan kerana sebelum melangkah pergi, dia langsung tidak sempat hendak berjumpa emak mentuanya yang cukup baik hati itu dan meminta maaf daripada wanita itu. Dia juga terkilan kerana dia masih lagi terus-terusan dipersalahkan oleh Erdyzuan dalam rumah tangga mereka dan dia langsung tidak diberikan peluang untuk membela dirinya sendiri sebelum hukuman dijatuhkan oleh suaminya itu.

"Cik nak ke Puduraya kan?"

Dalam kekalutan fikirannya memikirkan segala yang termengkelan di hatinya ini, kedengaran suara pemandu teksi yang dinaikinya itu bertanya.

Puduraya? Buat apa dia mahu ke sana? Menunggu bas ke destinasi yang dia sendiri tidak tahu? Ini mesti kerja si Ermilza semasa menelefon syarikat perkhidmatan teksi tadi. Agak seketika fikiran Adriana berbolak-balik sebelum akhirnya dia membuat keputusannya buat masa ini.

"Err... encik bawa saya ke Pan Pacific sajalah boleh tak?"

Pemandu teksi tersebut hanya mengangguk sahaja sebelum dia menurunkan brek tangan serta menekan pedal minyak teksi nya lalu membawa Adriana pergi jauh daripada rumah itu dan Erdyzuan buat selama-lamanya.  

Biarlah sahaja... Mungkin apabila ketiadaannya di rumah ini kelak, Erdyzuan dan Ermilza akan lebih bahagia berbanding hampir dua tahun dia menumpang teduh di sini. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi bersendirian di dunia ini. Insya-Allah dia akan mempunyai si kecil yang masih di dalam rahimnya ini sebagai peneman hari-hari akan datangnya.

 

 


 

Okay dengan ini, bertarikh 31 Disember 2008, iejay menamatkan Resepi Hati Dia @ Kisah Adriana dan Erdyzuan ini... Hehehe.. baru tamat Bahagian I. Bahagian II mungkin akan disambung di sini mungkin tak. Ikut mood iejay di Tahun 2009 nantilah ek...

 

A little sneak peek on  Resepi Hati Dia Bahagian II...

 

 

            "Siapa suruh Zuan ajar Ayan panggil Zuan papa, hah? Zuan yakin ke yang Aryan tu memang anak Zuan?"

            Entah mengapa apabila mendengarkan anaknya Aryan begitu lancar membahasakan Erdyzuan dengan panggilan papa, pantas sahaja hati Adriana ini merasa panas. Dia tidak mahu Erdyzuan dan Aryan terlalu rapat kerana kelak apabila kedua-duanya tahu akan kebenarannya pasti masing-masing akan merasa terluka. Termasuklah Adriana sendiri.     

 

 

 

            "Kenapa sepanjang lima tahun ni you tak pernah minta cerai daripada dia? You ada alasan kukuh untuk memohon fasakh. Malah dah berkali-kali I offer you, untuk dapatkan bantuan daripada adik I yang jadi peguam syariah tu selesaikan kes you ni."

            Mendengarkan kata-kata Dr. Faez yang bernada sinis itu, Adriana hanya menunduk sepi. Dia cukup sedar harapan setinggi gunung doktor berwajah kacukan arab itu padanya selama ini.

 

 

 

            "Ada sesuatu yang Ary perlu tahu lagi... Mama Ary sebenarnya masih hidup."

            Adriana hanya terlopong mendengarkan kata-kata Pakcik Kamarul itu.

 

 

 

            "My name is Sazy. Puteri Sazarina Megat Shazlan. You tahu tak yang Erdyzuan tu ialah suami I sejak lebih sepuluh tahun yang lalu?"

            Mendengarkan kenyataan itu, Adriana terus berdiri terkaku memandang perempuan yang agak seksi dan bersuara angkuh dihadapannya itu.

           

 

 

Hohoho... tuan-tuan dan puan-puan sekian sahaja cebisan entry yang entah tahun bila iejay nak sambung taip. Sesungguhnya iejay gatal saja-saja letak di sini supaya iejay tak ubah lagi jalan cerita dalam kepala ni dan supaya anda teruja serta tak anggap cerita ni monotone aja atau serupa sangat2 dengan cerita orang lain.

 

Iejay tak pernah berniat nak meniru cuma mungkin apa yang iejay fikir ter-sama dengan apa yang orang lain dah fikir atau tulis. Ya lah sebagai makhluk Allah yang serba kekurangan pasti aja iejay tak ada idea yang benar-benar unik dan iejay seorang aja yang boleh fikir. Tu semua hanya Allah sahaja yang ada kuasa begitu. Mungkin juga iejay tak terbaca lagi novel/ e-novel/ cerpen penulis yang telah menulis cerita sama dengan karya iejay ini.

 

Jadi iejay amat menghargai andai sesiapa yang nak vote kata cerita ni memang serupa sebiji-seposen dengan cerita org lain... nyatakan lah tajuk cerita/penulisnya sekali supaya iejay boleh buat rujukan, set boundaries tang mana harus sama/ tak sama. Kalau buku tu tak ada dah jual dekat kedai pun tak apa sebab iejay boleh cari di sebalik koleksi novel2 iejay yang dah setambun itu kalau tak pun di ebay, lelong.com.my, mudah.com.my atau iejay boleh rujuk pada geng2 Ulat Buku dan sorority sister-nya Geng Kicap sebab mereka2 ni memang pakar bab membaca segala novel/e-novel. Segala cerita-ceriti daripada penerbit buku yang jarang2 pernah didengari namanya pun mereka ada baca. Siap segala watak dalam novel/ e-novel tu pun mereka hafal.

 

Ini bukannya apa... Cuma luahan hati sebab tengok vote belah tepi tu dah naik angkanya untuk pilihan jawapan pertama. Bukan tak boleh terima kenyataan cuma iejay memang seorang yang realistik. Nak terima sesuatu kenyataan memang nak kena ada bukti2 kukuh dulu. Jadi kalau betul sama, nyatakan lebih lanjut ya... Thank you...

     

 

Setelah hampir dua bulan menyepi akhirnya berjaya juga iejay menaip dan menghabiskan entry kali ini. Kerja pejabat memang berlambak-lambak sepanjang ketiadaan bos iejay yang cuti bersalin ni. Insya-Allah awal Januari bos akan masuk semula dan jadual iejay akan back to normal. Hip-hip hooray!!!

 

Rasanya ramai yang dah tahu kot yang Insya-Allah pada bulan Januari 2009 (tarikh masih belum pasti lagi) novel pertama iejay @ Iejay Zakaria yang pernah disiarkan sebagai e-novel pada blog iejay.blogdrive.com akan berada di pasaran. Setelah hampir setahun diberhentikan paparannya di blog serta menghadapi segala pujian dan kutukan, novel yang masih dengan tajuk yang sama iaitu 'Lagu Cinta' akan menjawab segala persoalan kisah Aleya-Idzham-Syed Akasyah yang tergantung selama ini. Jadi jangan lupa dapatkanlah Novel 'Lagu Cinta' terbitan NBKara di pasaran nanti.

 

Ingin mengetahui pengakhiran kepada kisah Aleya-Idzham-Syed Akasyah?

 

Akhirnya setelah lebih dua tahun kisah ini berada di alam maya dan hampir setahun versi blog tamat, anda semua akan dapat mengetahui segala jawapan kepada teka-teki garapan mengarut seorang iejay zakaria yang suka berangan-angan selama ini dalam versi cetak mulai Januari 2009.

 

Terbitan : NBKara Sdn. Bhd.

Harga : Akan diberitahu kelak

 

Nak order terus dengan tandatangan yang konon-kononnya eksklusif pun boleh. Hehehe... Bila ada info lagi iejay akan war-war kan di sini.

 

Disebabkan novel 'Lagu Cinta' ini tengah di peringkat akhir suntingan jugalah membuatkan iejay agak sibuk nak menambah entry di sini. Sebabnya kejap-kejap dapat SMS daripada editor bertanyakan itu ini...

 

"Iejay... uppa tu apa?"

 

"Tayar kereta Idzham Ford Laser tu boleh masuk ke dengan tayar kereta Kelisa Aleya?"

 

"Akak dah check, cikgu bahasa Inggeris tak boleh jadi cikgu kaunseling tau. Iejay nak buat mak Aleya tu jadi cikgu yang mana satu?"

 

"Iejay... betul ke potong 47cm? Betul ke seminggu lebih dah boleh discharge?"

 

 

Hehehe.. Kak Su & Kak Yatie jangan marah ek... Iejay saja nak kongsi di sini betapa Iejay sedar yang nak jadi penulis bukannya semudah seperti merapu di atas keyboard seperti yang iejay buat sekarang ini.

 

Enough with all this little crap... see you latter...

 



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:31 am
Resepi Versi Mereka (1)  

Next Page
Resepi Hati Dia