Friday, October 10, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 17

 

 

"Jadi inilah kerja Ary selama ini ya?"

Bunyi suara Erdyzuan kedengaran begitu melengking dan sinis sekali pada pendengaran Adriana. Raut wajah Erdyzuan ketika ini pula langsung tiada sedikit pun riak kemesraan. Terasa bagaikan mahu luruh jantung Adriana apabila dia memandang wajah Erdyzuan dan mendengarkan suaranya yang tinggi itu. Sepanjang-panjang tempoh mereka pernah berkonfrontasi sejak berkenalan hinggalah berkahwin, tidak pernah sekalipun Adriana melihat Erdyzuan seperti ketika ini. Hinggakan agak tergagap-gagap jadinya suara Adriana yang keluar untuk bertanyakan maksud kata-kata suaminya itu.

"Ap - apa yang Bi cakap ni?"

Di dalam hati Adriana, dia tertanya apa pulalah kesalahan dia pada mata Erdyzuan kali ini? Sesungguhnya dia sudah letih menghadap angin puting-beliung Erdyzuan yang tidak pernah-pernah nya nak surut sejak kebelakangan ini. Dia tidak tahu apa lagi yang sepatutnya yang dibuatnya untuk melembutkan hati suaminya itu.

"Huh, kau boleh tanya apa dia pada aku?"

Terkejut Adriana apabila mendengarkan kata ganti nama diri yang digunakan oleh Erdyzuan itu. Hilang sudah panggilan manja 'Bi' yang suaminya itu sendiri minta Adriana gunakan sebagai ganti nama dirinya sebaik sahaja mereka diijabkabulkan dahulu. Selama ini, semarah mana sekalipun Erdyzuan padanya, paling-paling suaminya itu tetap akan gunakan nama 'Zuan' sebagai kata ganti nama dirinya dengan Adriana.   Tetapi kini suaminya itu sudah mula pandai beraku dan berengkau pula dengannya.

"Ya Allah... Bi, Ary betul-betul tak tahu apa yang Bi cakapkan ni. Apa bendanya yang 'ini kerja Ary selama ini'? Apa lagilah yang tak kenanya ni? Cuba Bi cakap apa yang Bi nak katakan tu dengan seterang-terangnya pada Ary ni. Ary dah tak larat dah nak bergaduh-gaduh lagi dengan Bi." 

Sesungguhnya Adriana sememangnya tidak faham apa maksud sebenar kata-kata suaminya tadi. Setahu dia, Erdyzuan telah masuk ke bilik tidur mereka berdua ini secara senyap-senyap ketika dia sedang baru hendak mula meluahkan tekanan perasaannya kepada Kerol. Kemudiannya secara tiba-tiba sahaja lelaki itu menepuk tangan sambil mengucapkan tahniah lalu bertanyakan soalan mengarut itu pada Adriana dengan nada penuh sinisnya itu.

"Oh, kau nak tahu daripada aku apa bendanya yang kau dah buat ya? Kau dah curang di belakang aku, kemudian kau boleh tanya aku semula apa yang kau dah buat?"

Suara Erdyzuan ketika ini benar-benar kedengaran sangat marah. Nada suaranya kini kedengaran lebih tinggi daripada mula-mula tadi dan memenuhi segenap ruang bilik mereka. Adriana harap-harap sangat emak mentuanya yang lebih kurang dua jam tadi telah meninggalkan pesan padanya yang dia hendak keluar berjumpa teman buat seketika masih belum lagi pulang ketika ini. Dia tidak mahu emak mentuanya mendengar akan pergaduhan dia dan Erdyzuan ini. Biarlah segala masalah dia dan Erdzyaun hanya mereka berdua sahaja yang terlibat.

"Curang? Bila masanya Ary curang pada Zuan?"

Terasa hendak menangis Adriana dibuatnya mendengarkan tuduhan daripada Erdyzuan itu. Sekalipun Erdyzuan kini sedang memulaukan nya dan biarlah datang apa sekalipun badai dalam perkahwinan mereka, tidak pernah sekalipun Adriana pernah curang pada Erdyzuan. Jangankan kata hendak curang, memikirkannya sekalipun tidak pernah terlintas di hati Adriana ini.

"Habis, siapa Kerol tu? Masa kita dekat studio untuk ambil gambar kahwin dulu, dialah lelaki yang kau telefon tu kan? Dia itulah yang kau cuba tipu aku dengan mengatakan yang kau tengah telefon kawan perempuan kau kan? Cuba kau sebut semula nama yang kau beritahu aku tu? Linda? Lina? Huh, sampai hati ya kau menipu aku sampai macam ni sekali. Kalau kau dah ada jantan lain daripada dulu lagi, kenapa kau tak cakap dengan aku dari awal-awal lagi. Apa motif kau terima lamaran aku dulu?"

Nada suara Erdyzuan kali ini kedengaran tinggi-rendah bunyinya. Emosinya bagaikan bercampur-baur ketika ini. Ada terselit nada marah, geram, kecewa dan pilu pada kata-katanya itu.

Namun pada Adriana yang mendengar kata-kata seperti itu keluar daripada mulut Erdyzuan, suami yang amat di sayanginya itu sendiri; merasa pedih yang amat di hulu hatinya. Kata-kata dan tuduhan Erdyzuan itu terasa bagaikan belati tajam yang menyiat-nyiatkan sekeping hatinya ini. Air mata yang sejak tadi ditahan daripada terus mengalir ketika dia menyedari kehadiran Erdyzuan di dalam bilik ini, kini mula pecah-berderai membasahi pipinya semula. Segala perasaan kecewanya terhadap Erdyzuan selama ini kini mula berhimpun dan membentuk rasa amarah yang tidak dapat dilindunginya lagi. Dia sudah tiada daya lagi untuk memendam perasaannya ini. Dia sudah muak dipersalahkan sepanjang masa.

"Huh, begitu mudahnya Zuan menuduh Ary kan? Zuan yakin ke apa yang Zuan tuduh Ary tu betul? Zuan ada saksi ke nak tuduh yang Ary ni dah curang pada Zuan? Zuan ada bukti ke? Sebelum Zuan lemparkan semua tuduhan tu, ada tak Zuan tengok pada diri Zuan tu sendiri? Ada tak Zuan teliti apa yang Zuan dah lakukan pada Ary?"

Kali ini tiba giliran Adriana pula meninggikan suaranya. Biar Erdzyuan sedar bukan hanya dia sahaja yang boleh meninggikan suaranya pada Adriana. Bukan hanya Erdyzuan sahaja yang tahu hendak marah. Namun tidak sesekali dia hendak beraku dan berengkau sahaja dengan Erdyzuan dalam kata-katanya. Biar sekalipun segunung perasaan marah di rasakan dalam hatinya ketika ini, dia masih ada lagi rasa hormat pada Erdyzuan sebagai suaminya.

Sekalipun Adriana sedar yang Erdyzuan mula menjegilkan matanya apabila mendengar dia mula meninggikan suaranya pada si suami, dia tidak peduli lagi. Dia juga tahu berdosa hukumnya buat seorang isteri yang meninggikan suaranya pada si suami. Tetapi dia terpaksa mengetepikan perasaan berdosa itu ke tepi buat seketika. Dia perlu mempertahankan dirinya ini daripada terus-menerus dituduh secara membuta-tuli. Jika hanya dengan meninggikan suaranya sahaja baru Erdyzuan akan sedar, dia rela memikul dosanya itu sekalipun dia tahu dia tidak akan mampu untuk menanggung pembalasannya walau sebesar zarah sekalipun di akhirat kelak.

"Hei, kau ingat kau..."

Belum sempat Erdyzuan memetir semula, Adriana segera menahan kata-kata seterusnya daripada meluncur daripada bibir suaminya itu dengan isyarat tangannya sebelum dia menyambung kata-katanya tadi semula.

"Selama kita berkahwin ni tidak pernah sedetik pun Ary terfikir hendak curang pada Zuan. Ary tahu tanggungjawab Ary sebagai seorang isteri dan Ary yakin yang Ary dah jalankan tanggungjawab Ary tu dengan sebaik mungkin. Tapi... ada Zuan jalankan tanggungjawab Zuan sebagai seorang suami pada Ary selain daripada memberi nafkah? Ada Zuan ambil berat tentang keadaan Ary kebelakangan ini? Ada ke???"

Separuh menjerit nada suara Adriana meluahkan segala pertanyaannya itu pada Erdyzuan. Wajah Adriana pula nampak begitu memerah sekali di saat ini. Air mata yang sejak tadi lagi merembes ke pipinya pula semakin bertambah lebat jadinya. Sebaliknya, wajah Erdyzuan yang sejak tadi menyinga ketika ini kelihatan seperti agak terkebil-kebil pula. Agak tersentak Erdyzuan melihatkan reaksi yang dipamerkan oleh Adriana ketika ini. Tidak sekalipun dia pernah melihat isterinya itu mempamerkan rasa marahnya hingga seperti ini sekali. Apabila tidak mendengar sebarang jawapan mahupun bantahan daripada Erdyzuan, Adriana menyambung lagi luahan hatinya yang hanya dipendamkannya sahaja selama ini.

"Ary tahu, Zuan marahkan Ary pasal Ary tak nak ikut cakap Zuan supaya berhenti kerja. Ary juga tahu yang Zuan salahkan Ary pasal keguguran tu dan sebab itulah Zuan tak pernah datang melawat Ary dekat hospital. Sebab itu jugalah Zuan buat-buat seperti Ary ni langsung tak wujud dalam hidup Zuan kebelakangan ini. Kerana marah Zuan itulah juga yang buatkan Zuan lebih  sanggup tidur di ruang tamu daripada tidur sebilik dengan Ary. Betulkan apa yang Ary cakap ini?"

Buat seketika Adriana mendiamkan dirinya, menantikan sebarang jawapan daripada Erdyzuan. Namun Erdyzuan terus kaku di tempatnya tadi. Segala reaksinya bagaikan hilang ditelan kenyataan yang dibentangkan oleh Adriana tadi.

"Pernah ke Zuan terfikirkan, apa pula perasaan Ary menghadapi semua ini? Pernah ke Zuan terfikir yang Ary juga tertekan dengan kehilangan bakal anak kita tu? Zuan ingat Ary suka ke bila Ary keguguran? Zuan tahu tak betapa beratnya sakit yang Ary terpaksa tanggung pada tubuh Ary ni bila Ary terjatuh tangga dan keguguran? Dan betapa sakitnya Ary terpaksa menanggung seorang diri segala emosi bila Ary dapat tahu Ary dah kehilangan anak yang Ary kandung kan tu. Anak yang Ary ingat akan selamat lahir ke dunia ini dan lebih menguatkan lagi kasih antara kita berdua. Ary dah... Ary dah hilang anak tu. Demi anak tu... dan demi Zuan, Ary sanggup korbankan kerjaya Ary.  Ary dah pun hantar notis peletakan jawatan Ary beberapa hari sebelum Ary keguguran hari tu. Ary ingat Ary nak buat kejutan pada Zuan bila tiba masanya kelak. Tetapi... semuanya musnah begitu sahaja. Anak yang Ary kandung kan tu dah tak ada. Tak lama lagi Ary dah tak ada kerja Ary lagi. Suami Ary pula dah semakin menjauhkan dirinya daripada Ary..."

Pada saat ini, Adriana merasa tidak berdaya lagi. Tubuhnya benar-benar terasa lembik sehingga akhirnya dia terus terduduk melutut di sisi katil menangisi nasib dirinya sendiri. Bahunya terhinggut-hinggut menahan kesedihan yang di alaminya. Erdyzuan yang melihat keadaan Adriana ketika itu semakin tergamam jadinya. Saat ini dia sendiri tidak pasti apakah tindakan yang sepatutnya diambil oleh dia. Mendengarkan kata-kata Adriana tadi, dia mula keliru dengan perasaannya sendiri. Selama ini dia tega menegakkan rasa marahnya terhadap Adriana tanpa sedikit pun rasa belas kasihan akan isterinya itu. Padanya selama ini, segala yang terjadi semuanya adalah salah Adriana sendiri. Tetapi kini dia sendiri tidak pasti akan pendirian dirinya lagi..

"Adriana..."

Dengan penuh berhati-hati dan suara yang di rasakan paling lembut sekali, Erdyzuan menyebut nama Adriana. Dia tidak tahu apakah yang harus diperkatakannya. Segala perbendaharaan katanya bagaikan telah hilang berterbangan pergi di kala dia melihat air mata isterinya itu mengalir laju membasahi wajahnya itu.

"Mana janji-janji Zuan pada Ary selama ini? Dulu... sebelum kita kahwin Zuan janji yang Ary akan mempunyai keluarga Ary sendiri. Ary tak perlu lagi jadi anak yatim di dunia ini. Zuan juga janji dulu yang bila sahaja Ary ada masalah, Zuan akan sentiasa ada di sisi Ary untuk menjadi tempat Ary berkongsi masalah. Zuan kata kalau Ary terima lamaran Zuan dulu, Zuan tak akan sesekali tinggalkan Ary.

Tapi Zuan tipu Ary!!! Zuan selalu lebihkan Emil daripada isteri Zuan ni. Zuan selalu manjakan Emil tu sekalipun dia dah besar panjang. Dia tu sebaya dengan Ary. Dia sepatutnya dah boleh berdikari sendiri. Sedangkan bila Ary keguguran dan perlukan sokongan, tiada siapa pun yang sudi nak bersama-sama di sisi Ary ni. Zuan terus tolak Ary ke tepi seolah-olah Ary yang sengaja bunuh anak kita tu. Zuan buat Ary ni seperti langsung tiada kena-mengena dengan Zuan. Kenapa Zuan tergamak layan Ary macam ni? Kenapa Zuan angkat Ary ke status mulia seorang isteri ini dan kemudiannya Zuan campakkan Ary seperti sampah sesuka hati Zuan? Kenapa Zuan???"

Suara Adriana sudah dipenuhi dengan sebak ketika ini. Bibirnya terasa bergetar-getar menahan kesedihan yang dirasainya kini. Saat ini dia sudah tidak mampu untuk menambah kata-katanya lagi. Lagipun rasanya sudah tiada apa lagi untuk dia perkatakan. Segala yang dipendamkannya sudah pun diluahkan keluar. Saat ini dia hanya menundukkan kepalanya dan menunggu reaksi Erdyzuan seterusnya. Dia reda apa sahaja keputusan Erdyzuan selepas ini. Andai kata Erdyzuan memutuskan di sinilah noktah perhubungan mereka, dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka. Andainya sampai di sini sahajalah jodoh mereka berdua, dia akan terima segala ketentuan untuknya. Dia sudah lelah mempertahankan dirinya. Juga letih mempertahankan ikatan kasih-sayang mereka berdua. Biarlah kalau itu adalah yang terbaik buat mereka berdua.

Dalam pada dia terus menunduk menunggu kata putus daripada Erdyzuan, dia terdengar bunyi pintu bilik ditarik untuk dibuka. Melalui ekor matanya, dia nampak Erdyzuan sudah pun berada di muka pintu dan sedang melangkah keluar daripada bilik tidur mereka itu tanpa sedikit pun memandang ke arahnya. Hajat di hatinya ini ingin sekali dia menahan langkah Erdyzuan itu. Namun dia sudah habis segala dayanya. Biarlah sahajalah Erdyzuan berlalu pergi kalau itulah keputusan yang dikehendakinya. Biarkanlah sahaja...

Pada masa yang sama, Ermilza yang kebetulan baru sahaja selamat sampai ke rumah setelah habis bertugas terasa bagaikan mahu menari samba riang sahaja apabila dia dapat menelinga pertengkaran yang terjadi di antara abangnya itu dengan Adriana tadi. Dia kini ada fakta baru tentang Adriana, musuh ketatnya itu. Lelaki bernama Kerol itu akan menjadi senjata yang berguna buatnya suatu hari nanti.

Di sebalik talian telefon yang tergantung di antara Adriana dan sahabatnya setelah kemunculan Erdyzuan secara tiba-tiba tadi; Kerol masih setia menunggu di situ. Sesungguhnya dia benar-benar terkejut apabila terdengar akan hakikat perkahwinan Adriana dan Erdyzuan yang begitu jelas terbentang pada halwa telinganya tadi...

 

 


Hmm... Delayed lagi!!! Sorry ek... Tak terkejar rasanya bila banyak sangat benda yang hendak di buat. Weekend pula, jadual iejay penuh dengan jemputan sana-sini... Inipun dah masuk 16 Syawal, barulah terkejar-kejar nak buat puasa enam... Huhuhu...Next entry tak tahu lagi bila boleh letak... lagipun tinggal sedikit aje lagi nak habis Resepi Hati Dia untuk bahagian pertama... maybe lagi 2-3 bab aje...  

 

Ini ada sedikit pengumuman untuk anda semua...

 

Dengan mandat yang telah diberikan oleh editor Puan Norhayati Berahim daripada NBKara Sdn. Bhd.(Cik Suraya Yaacob)  maka dengan ini iejay ingin menjemput anda semua yang sudi melapangkan masa anda ke Rumah Terbuka Penulis : Norhayati Berahim.

  

Tarikh: 1 November 2008 (Sabtu)

Masa:             3 - 6 petang

Tempat:

Pejabat NBKara Sdn Bhd.

D19-1B, Jalan Prima Saujana 2/E,

Seksyen 2, Taman Prima Saujana,

43000, Kajang, Selangor

(03-8736 4025 / 03-8736 4028)

 

 Sekiranya anda berminat, sila sahkan kehadiran anda (untuk menyediakan makanan yang secukupnya buat semua tetamu) kepada iejay selewat-lewatnya pada 24 Oktober 2008 (Jumaat) di iejay@yahoo.com.  Sila nyatakan berapa jumlah comrade / batallion yang akan turut serta bersama -sama anda sekali bersama pengesahan kehadiran anda memandangkan tempat tidak terhad. maka anda bolehlah ajak sesi keluarga, rakan-rakan, adik/kakak ipar mahupun jiran tetangga anda yang berminat untuk hadir bersama-sama memeriahkan majlis yang julung-julung kalinya di adakan ini.

Kepada yang sememangnya failed area Kajang (seperti iejay sendiri..hehehe), pejabat NBKara terletak berdekatan dengan Giant Kajang  dan tak jauh daripada Tesco Kajang. terdapat bas Intrakota dan bas mini yang melalui kawasan tersebut. Apapun di email akan datang setelah iejay dapat pengesahan kehadiran, iejay akan attached kan peta ke NBKara Sdn. Bhd.

p/s: Kalau ada sesiapa yang hendak letakkan jemputan ini di blog anda sendiri adalah dipersilakan. Tetapi sila pastikan pengesahan kehadiran di emailkan kepada iejay juga selewat-lewatnya pada 24 Oktober 2008 (Jumaat) di iejay@yahoo.com 

Kita jumpa disana...sana...sana...



iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia