Friday, October 03, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 16

 

 

Setelah empat hari Adriana di tahan di Pusat Perubatan Naluri tersebut, barulah akhirnya dia dibenarkan untuk pulang ke rumah. Itu pun setelah doktor memastikan dia benar-benar telah sihat fizikal dan mental. Kepulangannya hari itu, dia telah dijemput oleh emak mentuanya Puan Melissa.

Semasa dia melihat hanya emak mentuanya sahaja yang datang menjemputnya, Adriana cuba membenamkan rasa kecewanya jauh-jauh terhadap Erdyzuan. Dia cuba mempercayai yang Erdyzuan mungkin terlalu sibuk untuk datang menjemputnya hari ini. Tetapi bukanlah hari ini sahaja suaminya itu sibuk. Sehingga ke saat dia keluar daripada pusat rawatan ini, bayang suaminya itu langsung tidak pernah sekalipun muncul datang menjenguk dia di sini. Jangankan kata nak datang melawat, nak telefon atau hantar bunga mahupun berkirim salam jauh sekali. Sungguh-sungguh benar kah suaminya itu terlalu sibuk sampai hendak datang menjenguk isterinya yang sakit ini sekejap pun sampai begitu payah benar?

Dan... segala persoalan yang bermain di kepala Adriana tentang kesibukan Erdyzuan akhirnya terjawab sendiri apabila dia selamat sampai ke kediamannya semula. Pada ketika dia melangkah masuk ke dalam rumah iaitu ketika jam menunjukkan angka tiga petang hari Khamis (hari bekerja) dilihatnya suaminya itu sedang enak-enak sahaja duduk berehat menonton televisyen di ruang tamu. Ketika itu, segala rasa kecewanya terhadap Erdyzuan yang sudah pun dibuang jauh-jauh sebelumnya, terasa bagaikan kembali menyentap hatinya.

Lalu apabila melihatkan Erdyzuan sedang enak duduk berehat di ruang tamu tersebut, Adriana terus sahaja masuk dan duduk di sofa di sebelah suaminya itu. Namun suaminya itu langsung tidak berkutik melihat kehadiran Adriana di situ. Matanya tunak sahaja memandang televisyen di hadapan mata. Gayanya seolah-olah khusyuk benar dia menonton siaran yang sedang ditayangkan itu sehinggakan Adriana masuk ke rumah ini pun dia tak sempat hendak perasan.

Dari rasa kecewa, timbul pula rasa geram di hati Adriana apabila melihat tingkah Erdyzuan ketika ini. Kalau dah tahu diri tu bercuti hari ni, apa salahnya ringankan diri tu datang menjemput isterinya ini. Sudahlah tu, Adriana masuk dan duduk di sebelahnya ini pun dia boleh pula buat-buat tak tahu aja. Huh, konon-kononnya tengah ralit sungguh lah tu dia menonton rancangan telenovela Amerika Latin yang sedang ditayangkan ketika ini.

Sehinggalah hampir setengah jam Adriana penat duduk berdiam diri di sebelah Erdyzuan dan mendapati langsung tiada tanda-tanda yang suaminya itu hendak bersuara menegur kehadirannya di situ akhirnya dia terus sahaja bangkit lalu bergerak masuk ke dalam bilik. Dia mahu berehat sahaja. Ketika ini mental dan fizikalnya masih lagi terasa lemah. Tambahan pula dia sudah tidak sanggup untuk menunggu lebih lama lagi di ruang tamu sana. Menunggu saat-saat Erdyzuan hendak mengalah dan menegur dia akhirnya.

Ketika dia sedang melalui anak tangga untuk ke bilik tidurnya di tingkat atas, terasa insiden dia terjatuh tangga sehinggakan dia mengalami keguguran baru-baru ini bagaikan bermain-main di matanya semula. Hingga ke hari ini, langsung tiada siapa pun yang tahu Ermilza lah punca sebenarnya yang telah menyebabkan Adriana terjatuh dan keguguran.

Apabila orang lain bertanya macam mana dia boleh terjatuh, Adriana hanya mengatakan dia terjatuh akibat kehilangan imbangan kerana merasa pitam secara tiba-tiba. Dia malas hendak membuka cerita sebenar kerana tidak mahu memanjangkan lagi sengketa antara dia dan Ermilza. Adik iparnya itu semestinya tidak akan mengaku apa yang telah dibuatnya. Jadi siapa sahajalah yang hendak percaya kalau dia ceritakan perkara yang sebenar? Erdyzuan? Humph... jangan haraplah suaminya itu hendak percaya. Silap-silap dipusingkannya lagi fakta untuk menyalahkan Adriana juga akhirnya.

 

 

 

 

 

Rupa-rupanya kesenyapan Erdyzuan itu bukanlah hanya untuk sehari dua sahaja, tetapi terus berlarutan sehingga seminggu lamanya. Kalau dahulu semasa Erdyzuan marahkan dia kerana berdegil tidak mahu berhenti kerja, suaminya itu masih lagi menunjukkan rasa kasihnya dengan menghadiahkan ciuman buatnya dalam diam. Tetapi kali ini jangankan kata nak hadiahkan ciuman, duduk berdekatan dengannya pun Erdyzuan tidak mahu.

Gaya suaminya itu macamlah Adriana ini seperti dia mempunyai penyakit AIDS sahaja tarafnya. Setiap kali dia cuba mendekati Erdyzuan, atau cuba mencipta ruang perbualan pasti suaminya itu akan segera menjauhi dirinya. Malahan tempat tidur mereka berdua kini pun sudah mula berasingan. Sejak seminggu yang lalu Erdyzuan lebih betah untuk tidur di atas sofa di ruang tamu daripada tidur sebilik dengan Adriana ini.

Sesungguhnya hati Adriana benar-benar pilu melalui akan semua ini. Erdyzuan langsung tidak mahu bercakap dengan dia. Entah apa salahnya pun dia langsung tidak tahu. Adakah dirinya ini yang bersalah apabila dia mengalami keguguran? Bukannya dia yang minta dirinya ini keguguran. Tetapi Ermilza lah yang telah menolak dia. Lagipun bukanlah hanya Erdyzuan sahaja yang begitu mengharapkan kehadiran permata hati mereka itu. Dia juga seperti suaminya itu, begitu mengharapkan kelahiran buah cinta mereka itu ke dunia ini.

Menghabiskan sisa-sisa cuti sakit yang diberi oleh doktor selama dua minggu ini dengan duduk di rumah sahaja dirasakan lebih menyeksa kan dirinya sendiri daripada merehatkan dirinya. Dengan kesihatan fizikal dan mentalnya yang masih lagi dalam proses pemulihan, dicampurkan pula dengan sikap dingin si suami benar-benar membuatkan Adriana rasa tertekan dengan apa yang terpaksa dilaluinya. Silap-silap boleh meroyan dia jadinya nanti.

Ketika ini dia benar-benar terasa keseorangan di dunia ini. Dia tidak tahu pada siapa dia hendak mengadu segala rasa pedih di hatinya ini. Hendak mengadu pada ibu bapa mahupun ahli keluarga semuanya dia tiada. Hendak bercerita pada emak mentuanya, dia terasa segan pula. Pada Adriana sekalipun wanita itu begitu baik padanya, emak suaminya itu sedikit-sebanyak pasti akan membela anaknya juga. Hendak diadukan pada teman, selama ini dia tidak pernah mempunyai teman rapat kecuali lah... Kerol!

Mengingatkan nama Kerol ketika ini membuatkan Adriana merasa terkedu sebentar. Sudah terlalu lama benar dia tidak berhubung dengan Kerol. Sejak dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Erdyzuan, Kerol terus sahaja lenyap daripada hidupnya. Kerol tidak pernah lagi menghubungi dia dan dia juga tidak pernah mengambil inisiatif untuk menghubungi teman baiknya itu semula. Setelah dia sah menjadi milik Erdyzuan dan setelah dia merasa bahagia dengan Erdyzuan di awal-awal perkahwinannya, dia terus terlupa akan Kerol yang telah merajuk dengan keputusannya untuk tetap memilih Erdyzuan hampir setahun yang lalu.

Adriana merasakan dirinya ini benar-benar teruk. Apa punya jenis sahabat kah dia ini? Sanggup melupakan seorang teman yang sudah menganggap dia sebagai keluarga sendiri semata-mata kerana dia percaya akan janji-janji seorang lelaki yang sangat-sangat baru dikenalinya untuk membahagiakan dirinya. Jiwanya merasa sebak mengenangkan sikap dirinya sendiri. Selama membesar di rumah anak yatim dahulu dia tidak pernah mempunyai teman rapat kerana teman-teman yang senasib dengannya di situ semuanya akan sentiasa datang dan pergi silih-berganti. Teman rapat ketika dia bersekolah dahulu pula tiada satu pun yang kekal. Ada tiada yang paling lama dia rapat dengan seseorang ketika bersekolah dahulu pun hanyalah dengan Ermilza sebelum gadis itu akhirnya bertukar memusuhi dia pula.

Sejarah silam persahabatan daripada dia kecil hinggalah menginjak kedewasaan yang tidak pernah memberangsangkan itu sedikit-sebanyak akhirnya telah mencorakkan siapa dirinya hari ini. Saat ini sekalipun dia sentiasa disukai oleh orang di sekelilingnya, dialah satu-satunya manusia yang mungkin mempunyai paling kurang sahabat di muka bumi ini. Setelah banyak kali dia kehilangan sahabat baik, dia tidak betah lagi untuk mempercayai mana-mana huluran persahabatan. Dia juga begitu pesimis sekali akan erti sebenar sahabat baik sehinggalah dia bertemu dan berkenalan dengan seorang teman yang dipanggilnya Kerol.

Mengingati sekali lagi nama temannya itu, hati Adriana terdetik perasaan rindu. Rindu akan celoteh seorang Kerol. Juga rindu akan sikap ambil berat Kerol padanya selama ini. Agak-agaknya kalau Adriana menghubungi Kerol untuk berkongsi kesedihan di hatinya ini, adakah temannya itu sudi untuk menjawab panggilannya kelak? Mahu kah lagi Kerol mendengar keluh-kesah hatinya seperti dulu-dulu?

Lalu dalam rasa ragu-ragu yang membelit hatinya dan tangan yang sedikit terketar, Adriana mencapai telefon bimbit miliknya di sisi katil dan terus mendail nombor telefon Kerol. Jantungnya benar-benar terasa berdegup dengan kencang sekali ketika dia mendengar bunyi yang menandakan panggilannya ketika ini sedang disambungkan kepada pemanggil di sebelah sana. Apabila panggilannya itu mula dijawab dan telinganya menangkap bunyi suara Kerol memberi salam, bibirnya terus merasa kaku seketika. Sesungguhnya dia terlalu rindukan suara temannya itu.

"Ary? Hello? Helo Adriana? Ary... kau ke tu?"

Suara Kerol terus melantun-lantun kedengaran memanggil nama Adriana apabila langsung tiada suara Adriana kedengaran di sebalik talian nya sekalipun jelas panggilan yang diterimanya ketika itu adalah daripada nombor telefon bimbit Adriana.

Segala rasa sebak yang Adriana rasakan di hatinya sejak tadi akhirnya tidak dapat di tahan lagi apabila dia mendengarkan suara Kerol memanggil namanya dengan penuh lembut seolah-olah di antara mereka tidak pernah ada sengketa; seolah-olah Adriana tidak pernah bersalah kerana melupakan teman yang selalu mengambil berat tentang dirinya selama ini. Buat seketika Adriana tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya juga terasa begitu laju sahaja menitis membasahi pipi mulus nya ketika ini. Bibirnya juga di kebam sekuat-kuat hatinya untuk menahan suara tangisannya daripada pecah kepada pendengaran Kerol.

Setelah separuh rasa sebak di dadanya ini dapat dilepaskan dan dengan bibir yang terketar-ketar Adriana mula membuka mulutnya menyebut nama Kerol.

"Ke - Ker - Ke... rol..."

 Namun kata-katanya yang seterusnya terus hilang apabila rasa sebaknya kembali beraja di hati. Kali ini dia sudah tidak dapat mengawal lagi rasa sebaknya. Suara tangisannya akhirnya terlepas juga daripada bibirnya.

"Ary... kenapa ni? Cakaplah dekat aku apa yang dah berlaku dekat kau Ary?"

Dengan ayat yang terputus-putus Adriana cuba menyampaikan rasa hatinya yang walang ketika ini kepada Kerol...      

"Ker - Kerol... aku... aku sed - sedih... aku... tak... aku tak ada sesiapa... nak..."

Namun belum sempat Adriana menghabiskan kata-katanya, terdengar bunyi satu tepukan di belakangnya berserta suara garau yang cukup dikenalinya; suara yang sudah lama tidak menegur dirinya ini.

"Bravo... bravo... bravo..."

Mendengarkan bunyi tepukan dan suara garau itu, Adriana segera menoleh ke arah dari mana datangnya suara itu. Lebih kurang satu meter setengah di belakangnya, Erdyzuan kini sedang berdiri sambil berpeluk tubuh memandangnya. Kemeja yang dipakainya sejak pagi tadi sudah pun disingsing lengannya dan tali lehernya pula terikat separuh longgar. Wajah Erdyzuan ketika ini kelihatan begitu kelat sekali. Matanya pula begitu tajam menikam wajah Adriana. Melihatkan wajah tegang Erdyzuan itu, serta-merta tekak Adriana terasa kesat. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak enak yang bakal terjadi sebentar lagi. Pada masa yang sama telefon bimbit yang dipekap pada telinganya sejak tadi serta-merta terjatuh ke atas tilam di sisinya...

 

 

 Persimpangan Dilema (Nora & Vince)

NORA:
Masa berlalu
Tanpaku menyedari
Percintaan yang kita bina
Hampir terlerai

Apa salahku
Kau buat ku begini
Dalam dilema
Di antara jalan derita

Tidak pernah ku duga
Ini semua terjadi oh... oh...

VINCE:
Janganlah engkau
Menghancurkan segala
Setelah lama
Kita mengharungi bersama

Usah biarkan cinta kita yang suci
Di lambung ombak
Karam di lautan berduri

Hanya satu pintaku
Moga kau menginsafi oh...
oh...
Semua ini...

NORA
Telah banyak yang ku beri
Sejak dulu lagi
Pengorbanan tiada pernah jemu

Hanyalah Tuhan saja
Bisa menentukan semua
Kesabaran daku menantimu oh... oh...

VINCE
Ku tetap memaafkan
Dan berdoa kau kembali
Sebelum diri melangkah pergi...

 

(Iejay tahu ini adalah Resepi Hati Dia dan bukannya Lagu Cinta... Sepatutnya iejay letak resepi dan bukan lirik lagi... tapi maaflah tak adapt menahan diri kerana diri ini tengah teruja benar dengar lagu Di Persimpangan Dilema ini... Konon-kononnya sangat kena-mengena dengan Arylah tu... hehehe...)  


 MAAF... MAAF... MAAF ZAHIR BATIN...

 

Sesungguhnya iejay ingin memohon sejuta keampunan kerana lambat post entry yang kononnya dijanjikan akan muncul pada raya ketiga hari tu... Nak kata iejay sibuk beraya tak adalah beraya sangat pun tahun ni... Cuma bila hati tengah berkobar-kobar nak menaip je mesti ada distraction... Memandangkan kita beraya selama sebulan jadi rasanya tak ada masalah lah kan untuk anda memaafkan iejay ya...*sheepish grin*

 

Kalau anda perasan entry ni bertarikh 3 oktober 2008 kerana sememangnya entry ni sepatutnya di post pada minggu lepas. jadi untuk entry yang sepatutnya minggu ini 10 oktober 2008, iejay akan postkan secepat mungkin bila dah siap dan harap-harap tak ada lagi tertingal dateline selepas ini.

 

 


Ini ada sedikit promo (sebab saya nak menang handbag kononnya... hahaha...)

 

 

Hello there,


I've just registered to win a free handbag from HandbagPlanet.com and though you'd like a chance to win too! To celebrate their upcoming launch, HandbagPlanet.com is giving away 24 handbags in 24 hours.

Visit
www.HandbagPlanet.com to check it out!

Yours truly;


Iejay and HandbagPlanet.com

 

 

 

 



iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:58 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia